HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Mei 2008

Azalina diasak MP pembangkang
Malaysiakini


Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung dakwaan berlaku diskriminasi dalam program pelancongan di lima negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Malah, ada ahli Parlimen pembangkang menuntut supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana memberi jawapan yang mengelirukan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Suasana hangat itu berlaku ketika Azalina menafikan tuduhan yang kementerian berkenaan menggugurkan acara pelancongan di semua negeri itu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Sebaliknya, kata beliau, beberapa acara sudahpun diadakan dan akan dilaksanakan melalui promosi aktif oleh kementerian serta Tourism Malaysia.

"Di Kedah acara Visit Malaysia Year Go Green akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos ini, begitu juga di Kelantan penganjuran acara pesta nasi seratus akan diadakan pada 9 hingga 11 Julai. Dengan adanya acara itu terbukti kementerian masih menyenaraikan acara pelancongan di kalendar acara," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pelancongan.

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, ahli parlimen pembangkang tidak puas hati dengan jawapan Azalina dan berulang kali bangkit meminta penjelasan, tetapi Azalina tidak memberi laluan dan terus dengan penggulungannya.

Keadaan bertambah tegang apabila Azmin Ali (PKR-Gombak) mencadangkan Azalina dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana memberikan jawapan yang mengelirukan.

"Di bawah peraturan mesyuarat 36(12) saya ingin mencadangkan agar menteri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan dewan ini pada peringkat jawapannya, ini berdasarkan kepada peraturan 26(1p) di mana kita boleh buat serta-merta tanpa memberikan sebarang notis," katanya.

Surat kementerian

Cadangan beliau itu kemudian disokong oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang berkata: "Menteri datang untuk kelirukan dewan yang mulia ini, perkara ini tidak boleh dibenarkan sebab itu peraturan mesyuarat 36(12) perlu dipinda buat pertama kalinya untuk keadaan sekarang, di mana menteri telah melanggar hak keistimewaan".

Bagaimanapun cadangan Mohamed Azmin itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kerana menurutnya menteri sudah menjawab isu itu dan masalah yang dikemukakan serta sebarang percanggahan tidak memerlukan Azalina dirujuk ke jawatankuasa itu.

"Menteri telah menjawab isu yang dikemukakan, saya yakin jawapan kepada masalah yang dikemukakan akan dijelaskan oleh Yang Berhormat menteri," kata Ronald.

Azmin kemudian menunjukkan bukti dengan mengemukakan surat dari kementerian bertarikh 25 Mac lalu yang mengatakan senarai acara bagi negeri berkenaan digugurkan dari 'signature event'.

"Maknanya menteri mengelirukan dewan yang mulia sebab itu saya minta beliau dirujuk dalam jawatankuasa tersebut, saya minta Datuk Speaker menggunakan budi bicara untuk mengundi bahawa menteri harus dirujuk," katanya.

Kenyataan Azmin itu disokong beberapa anggota pembangkang sehingga dewan bertambah kecoh menyebabkan Ronald (foto) yang sering bersikap tenang akhirnya menguatkan suaranya dengan menegaskan bahawa semua anggota dewan perlu mematuhi peraturan kerana keputusannya adalah muktamad.

Batal perjanjian

"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membawa menteri atau ahli Parlimen yang lain, kerana itu kebijaksanaan kita untuk menentukan mana satu kes perlu dirujuk, kita harus menilai kredibiliti sesuatu perkara dan Yang Berhormat juga perlu patuh kepada perkara 44 di mana kuasa Yang Dipertua adalah muktamad,"katanya lalu memberi laluan kepada Azalina untuk meneruskan penggulungannya.

Terdahulu, Azalina berkata pembatalan perjanjian persefaham antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat adalah bertujuan memudahkan urusan pentadbiran dan operasi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) yang akan ditadbir terus serta dipantau oleh pejabat ketua setiausaha kementerian.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pula bangkit meminta penjelasan apakah halangan yang menyebabkan kementerian tidak mengadakan perbincangan terlebihdahulu dengan kerajaan negeri sebelum pembatalan perjanjian itu kerana ia akan menjejaskan aktiviti pelancongan negeri.

"Halangannya adalah percanggahan dasar, matlamat dan pelaksanaan aktiviti. Sebenarnya kementerian mengalami satu pengalaman di Kelantan di mana gaji Pengurus Besar dan kakitangannya tidak dibayar selama tiga bulan.

"Itu sebabnya pembatalan perjanjian ini akan memudahkan urusan pentadbiran dan operasi MTPN di mana KSU kementerian sendiri yang bertanggungjawabmenentukan agenda pelancongan dilaksanakan," kata Azalina.

Tiada ulasan: