Menteri akui JKM henti bantuan tanpa ikut syarat
Anis Nazri
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui terdapat pegawai-pegawainya di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghentikan bantuan kepada pihak yang sebelum ini mendapat bantuan tanpa mengikut syarat yang ditentukan.
Menterinya, Dr Ng Yen Yen, berkata ada pegawai yang pergi ke rumah orang yang mendapat bantuan, bertindak menghentikan bantuan apabila melihat ada peti ais di rumah terbabit.
"Memang betul berlaku keadaan itu apabila ada pegawai yang buat keputusan sendiri dan tidak mengikut syarat. Bagaimanapun, kita di KPWK sudah mengeluarkan arahan supaya mengikut syarat dan tidak membuat keputusan dengan pandangan sendiri. Begitu juga dengan anak-anak penerima bantuan yang bekerja. Ibu bapa mereka masih layak menerima bantuan itu," tegas beliau ketika menjawap persoalan Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja, di Dewan Rakyat, malam tadi.
Dalam pada itu, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa), membangkitkan persoalan bahawa masih ramai di kalangan ibu tunggal yang tidak menerima bantuan dan menderita bertahun-tahun kerana tidak mengetahui prosedur tertentu untuk memohon bantuan.
"Adakah kementerian juga sedar bahawa mereka tidak mempunyai wang yang banyak untuk bergerak ke sana sini bagi mendapatkan bantuan, dan keadaan ini memerlukan kementerian turun ke lapangan untuk mencari mereka sendiri," soal beliau.
Menjawap persoalan itu, Ng berkata pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat mengesan masalah ini memandangkan seorang pegawainya perlu menjaga 400 orang yang memerlukan bantuan.
"Mengikut standard antarabangsa, seorang pegawai menjaga 30 orang. Kita di sini menjaga 400 orang. Jadi, saya amat berharap ahli-ahli parlimen dapat membantu kita dengan melaporkan kepada kita mereka yang layak menerima bantuan. Kita di kementerian akan memberikan bantuan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik," tegas beliau. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan