Selangor belum putuskan hasrat beli Syabas: MB Selangor
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor belum membuat sebarang keputusan berhubung hasrat mengambil alih pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mengurangkan kos pembayaran air kepada syarikat itu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri hanya memutuskan untuk berbincang dengan Syabas mengenai usaha melaksanakan pembekalan 20 meter padu pertama air secara percuma kepada semua isi rumah di negeri ini mulai bulan depan.
"Kerajaan negeri belum buat apa-apa kenyataan mengenai perkara itu (pembelian Syabas). Kita hanya buat kenyataan bahawa kita telah menulis kepada Syabas dalam usaha untuk laksanakan air percuma," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan Ke-3 di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan Negeri Rodziah Ismail yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini mengenai hasrat kerajaan negeri Selangor membeli Syabas bagi mengurangkan kos pembayaran air kepada syarikat itu.
Rodziah dilaporkan berkata hasrat itu disuarakan setelah kerajaan negeri kini menyedari punca kenaikan harga air adalah disebabkan pengendalian daripada pihak pengurusan yang dikatakan tidak cekap.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada kenyataan beliau itu secara tidak langsung menafikan kenyataan Rodziah, Abdul Khalid berkata:" Tidak ada, bukan saya menafikan.
"Kita kerajaan negeri memang sentiasa buat kajian jangka pendek dan panjang mengenai cara terbaik untuk memastikan supaya pengguna air di Selangor dapat kebaikan daripada pengurusan air di Selangor."
Mengenai kenyataan Rodziah bahawa anggaran bayaran yang perlu dibayar kepada Syabas untuk 20 meter padu air secara percuma itu ialah kira-kira RM4 juta sebulan, Abdul Khalid berkata: "Belum ada kira-kira yang tepat." BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan