HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Mei 2008

Wan Azizah: Usul Video Lingam Ditolak Dalam Kamar Percubaan Tutup Isu Kehakiman

Usul untuk menggesa kerajaan Barisan Nasional agar laporan Suruhanjaya Diraja mengenai siasatan ke atas video klip Lingam kepada Yang Di-Pertuan Agong segera dibentangkan dalam Parlimen dan didedahkan kepada pengetahuan umum telah ditolak dalam kamar pagi ini. Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menolak Usul Tergempar tersebut amat mengecewakan, malah alasan yang dikemukakan jelas memperlihatkan percubaan kerajaan Barisan Nasional untuk menutup perkara yang berkepentingan umum ini dibahaskan dalam Parlimen.

Yang Dipertua telah memaklumkan keputusan tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(5) yang menyebut tidak lebih daripada satu usul boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat iaitu pada 14 Mei, berikutan terdapat satu usul lain daripada Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Barat pada hari ini.

Kami berpendirian bahawa, sekiranya kerajaan Barisan Nasional bersungguh-sungguh ingin memulihkan integriti sistem kehakiman negara, seperti yang dicita-citakan oleh DYMM Agong dalam Titah Baginda semasa perasmian sidang parlimen, Yang Dipertua sewajarnya menangguhkan usul yang penting itu kepada keesokan hari, dan bukannya ditolak mentah-mentah dalam kamar.

Usul tersebut perlu dibahaskan segera memandangkan Jemaah Menteri akan memutuskan samada laporan tersebut akan didedahkan kepada pengetahuan umum pada Jumaat ini.

Perbahasan usul tersebut dalam Dewan Rakyat adalah penting bagi memulihkan kembali keyakinan umum terhadap badan kehakiman negara yang begitu teruk tercemar seperti mana didedahkan dalam video Lingam.


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: