Pemimpin Hindraf kekal di bawah tahanan ISA
PUTRAJAYA: Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) kekal dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk dua tahun selepas Mahkamah Persekutuan di sini memutuskan bahawa penahanan mereka adalah sah.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff memutuskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kapasitinya ketika itu sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri berhak mengeluarkan perintah tahanan dan mematuhi keperluan prosedur di bawah akta itu.
Pemimpin itu ialah peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah; P.Uthayakumar, 46; V.Ganabatirau, 40; R. Kenghadharan, 40, dan bekas pegawai bank K.Vasantha Kumar, 36.
Panel itu sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut yang menolak permohonan habeas corpus lima lelaki berkenaan supaya dibebaskan daripada tahanan.
Alauddin yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Hashim Yusoff berkata Mahkamah Tinggi dengan berhati-hati menilai afidavit Menteri Keselamatan Dalam Negeri apabila ia memutuskan bahawa tahanan lelaki itu adalah sah dan mengikut undang-undang. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan