HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2008

Mustapa: Harga beras mungkin tidak turun

KUALA LUMPUR: Harga beras dalam negara tidak mungkin dapat diturunkan pada masa ini walaupun harga komoditi itu mengalami sedikit penurunan di pasaran antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata harga padi di pasaran antarabangsa sudah menurun sekitar US$750 setiap tan metrik namun ia masih tinggi berbanding tahun lepas.

"Jadi pada masa ini untuk harga beras dalam negara turun kemungkinannya tidak ada, kecualilah harga di pasaran antarabangsa turun kepada US$350 seperti dulu, tahun lepas.

"Sekarang ini di sekitar US$750 jadi dua kali ganda lebih tinggi daripada harga tahun lepas," katanya menjawab soalan Hamim Samuri (BNLedang) yang bertanya sama ada harga beras akan turun selaras dengan penurunan harga minyak dunia.

"Untuk menjual beras pada harga RM1.80 satu kilogram bagi beras Super Tempatan 15 peratus (ST15), harga padi perlu turun kepada kira-kira RM850 satu tan metrik tetapi sebenarnya harga padi sekarang RM1,100.

"Maka kemungkinan untuk harga beras dalam negara turun pada masa ini tidak ada," katanya.

Beliau berkata harga beras gred Super 15 peratus di Sabah dan Sarawak diseragamkan dengan harga di Semenanjung pada harga runcit RM1.80 sekilogram dan beras Super Lima peratus dan Super 10 peratus di Sabah dan Sarawak masing-masing pada RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

Mustapa berkata kerajaan juga bersetuju memberi subsidi kepada pengilang-pengilang swasta dan Bernas bagi mengeluarkan ST15 selama tempoh enam bulan mulai 1 September nanti.

"Sebanyak 130 pengilang akan diberikan subsidi tersebut yang berjumlah RM423 juta atau RM800 satu tan metrik," katanya menjawab soalan Fuziah Salleh (PKRKuantan).
BERNAMA

Tiada ulasan: