HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2008

Harris syor Sabah, Sarawak usul royalti minyak 20 peratus

BERNAMA


KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Salleh mencadangkan supaya kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak membahas serta meluluskan usul bagi meminta kenaikan royalti minyak sehingga 20 peratus daripada kerajaan pusat dan Petronas.

Harris berkata, beliau percaya kerajaan pusat boleh mempertimbangkan cadangan itu sekiranya diluluskan di kedua-dua DUN itu.

"Ini boleh dibuat kalau Sabah dan Sarawak bersatu hati meluluskan usul itu di DUN masing-masing dan ini boleh dilakukan pada persidangan akan datang," katanya pada sesi soal jawab di Konvensyen Isu-isu Sabah di sini hari ini.

Beliau ditanya oleh salah seorang peserta konvensyen yang ingin tahu sama ada Sabah, salah sebuah negeri pengeluar minyak, berpeluang untuk menikmati kenaikan royalti bahan itu.

Bagaimanapun, Harris berkata, jika kerajaan pusat menimbangkan cadangan itu, namun akan berlaku perubahan pada peruntukan kepada kedua-dua negeri itu, terutamanya peruntukan pembangunan.

"Bila dikira semula, ia mungkin berbalik kepada yang sama," tambahnya.

Harris menjadi tetamu khas untuk memberi pandangannya mengenai isu-isu seperti masalah pendatang asing tanpa izin dan isu tanah negara, khususnya di Sabah.

Tiada ulasan: