HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Tak tahan ujian punca saudara kita kembali ke agama asal

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Saudara-saudara kita yang baru menganut Islam disaran mendalami ilmu berkaitan aqidah bagi mengelakkan mereka kembali kepada agama asal selepas berdepan dengan sesuatu masalah.

Bekas pensyarah Universiti Malaya, Ustaz Mohamad Mustapha berkata, di Malaysia ramai orang menganut Islam akhirnya kembali ke agama asal setelah tidak sabar menghadapi ujian.

"Boleh jadi mereka tidak faham Islam sehingga mengambil jalan keluar dengan kembali ke agama asal..Mereka mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan keluar dari Islam.

"Kalau nak masuk Islam, biar masuk betul-betul. Kalau sudah Islam, jangan keluar lagi walau pun berlaku perkara yang tidak menyenangkan di hati," katanya ketika merasmikan Ijtimak Dakwah Saudara Baru Peringkat Zon Timur di Balai Islam, baru-baru ini.

Ijtimak tahunan itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Mohamad yang juga Adun Demit berkata, Islam mempunyai sistem akidah dan kepercayaan yang betul daripada Allah swt.

"Dari segi hierarki manusia bermula dari bawah, misalnya penghulu kampung, penggawa, pegawai daerah dan sehinggalah kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi yang paling tinggi lagi ialah Allahu Akbar, yang menggambarkan ketuanan dan ketuhanan Allah dan kekuasaan Allah swt mengatasi segala-galanya," kata beliau.

Beliau juga mencadangkan Perkim menyediakan rekod khas bagi mencatat orang yang baru menganut Islam bagi memudahkan pemantauan dibuat.

Menurutnya ramai orang bukan Islam memilih Kelantan sebagai tempat mengenali ajaran Islam memandangkan amalan beragama di sini masih meluas. - mj _

Tiada ulasan: