HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Ogos 2008

Saya undi calon yang paling ringan mudarat - Mufti Perlis
Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Sebagai pengundi Parlimen Permatang Pauh, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih calon yang harus diangkat sebagai pemimpin dan Ahli Parlimen pada 26 Ogos akan datang.

Ketika dihubungi Harakah baru-baru ini, Asri menjelaskan soal undi bukanlah merupakan semudah pertandingan 'gores dan menang' kerana ia membabitkan harapan untuk membuat perubahan kepada negara di samping mahu agama Islam dimartabatkan sebaiknya.

"Saya pilih calon yang paling ringan mudarat kepada masyarakat. Saya sarankan agar para pengundi Islam menunaikan solat Istiqarah sebagai panduan untuk memilih calon yang sesuai.

"Ini kerana landskap politik negara semakin mengelirukan dan mengaburi banyak pihak sehingga persaingan tertumpu kepada keburukan akhlak pemimpin kedua-dua belah pihak," katanya yang kesal dengan senario yang berlaku.

Kata Asri lagi politik sepatutnya untuk memastikan siapa yang mempunyai idea yang terbaik membangunkan negara dan Islam namun yang terjadi kini adalah memburuk-burukkan antara satu sama lain demi mencapai survival politik parti masing-masing.

"Masyarakat gelisah melihat corak dan politik sekarang kerana ianya lebih kepada budaya 'londeh-melondeh' keburukan sehingga ianya tidak menunjukkan kematangan berfikir dan kebebasan untuk melahirkan pandangan yang berbeza.

"Sepatunya kita mesti raikan perbezaan pendapat dan menghargai kebebasan pemikiran dan budi bahasa pemimpin yang baik daripada memburukkan akhlaknya," katanya.

Tidak semestinya pandangan berbeza membawa maksud, seseorang pemimpin itu musuh atau menentang satu pihak yang lain tetapi bertujuan untuk memantapkan perjuangan membela nasib rakyat dan agama Islam itu sendiri, kata Asri.

"Jika saya beralih pandangan dalam sesuatu isu, ada yang tuduh saya pengampu kerajaan atau menyokong pembangkang sedangkan niat saya untuk memperbetulkan keadaan demi Islam dan rakyat. Ini tandanya politik pemikiran yang 'bankrap' yang harus dimerdekakan," katanya berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya pada hari mengundi nanti.

Baginya situasi gawat yang berlaku ini memerlukan pedoman dan petunjuk daripada Allah kerana sebarang kekeliruan masyarakat akan menyebabkan sesuatu keputusan dibuat dengan tidak tepat.

"KeADILan mempunyai asasnya sendiri malah Umno juga mempunyai sejarah di Permatang Pauh, masing-masing akan dinilai oleh pengundi di situ.

"Pesan saya jangan kita cuba ghairah menggugurkan satu 'hantu' kemudian mewujudkan satu lagi 'hantu' yang baru bahkan akan lebih merosakkan masyarakat dan negara," katanya.

Beliau sebelum ini pernah merakamkan panduan memilih dan menyokong seseorang melalui buku tulisannya bertajuk ' Golongan Yang Haram Disokong.' Buku tersebut ditulis sebelum beliaumenjadi Mufti Perlis.

Katanya dalam buku itu bahawa undi mempunyai nilai besar dalam Islam sehingga ada yang menyangka apalah kaitan antara undian yang diberikan kepada seseorang dalam pilihan raya dengan kedudukannya di hari akhirat.

"Sesungguhnya undi memainkan peranan yang sama dengan sepatah kalimat bahkan undi lebih besar dari sepatah kalimat yang membolehkan seseorang pemimpin meneruskan atau dihentikan kezalimannnya.

"Dengan itu undi yang dilakukan oleh seseorang dalam negara demokrasi ini diperhitungkan Allah pada hari akhirat kelak. Hendaklah seseorang muslim membuat perhitungan yang betul dalam hal ini," katanya dalam buku tersebut yang boleh dijadikan panduan kepada para pengundi ketika pilihan raya kecil 26 Ogos nanti.- (tmj)_

Tiada ulasan: