BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kenderaan yang diluluskan oleh "sindiket" yang ditumpaskan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan dipanggil untuk diperiksa semula bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan itu terjamin, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.
Beliau berkata pegawai Puspakom akan memeriksa kenderaan tersebut di Pusat Puspakom.
"Adalah tidak bertanggungjawab untuk meluluskan kenderaan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan," katanya.
Beliau mengulas laporan bahawa 55 orang di seluruh negara termasuk 28 anggota Puspakom ditahan BPR pada Selasa dan Rabu lepas.
Mereka dipercayai memperolehi pendapatan RM1,000 sehari atau RM55,000 sebulan hasil pemeriksaan yang mereka lakukan terhadap kenderaan yang dihantar ke Puspakom.
Sementara itu Pengarah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Naimah Ramli berkata bas ekspres yang membawa penumpang ke selatan pada musim Hari Raya ini akan beroperasi di Kompleks Sukan Bukit Jalil dan bukan di Puduraya.
Pemindahan pusat operasi itu adalah bagi mengelakkan kesesakan di Pudu Raya.
Bas ekspres yang menghala ke utara tetap beroperasi di Pudu Raya dan Hentian Jalan Duta sementara ke timur akan tetap berlepas di Hentian Putra dan Plaza Pekeliling, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan