HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2008

Terengganu lulus peruntukan tambahan RM12.8 juta bina rumah PPRT

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM12.8 juta bagi membina 1,280 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negeri itu, tahun ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata peruntukan itu membabitkan pertambahan RM10,000 bagi membina rumah berkenaan yang berharga RM28,000 seunit berbanding RM18,000 sebuah, sebelum ini.

"Kita masih kekalkan jumlah yang lama, setiap satu daripada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri akan dibina 40 unit rumah PPRT.

"Setakat ini, kita bersetuju dengan kos yang ditetapkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu setiap unit rumah PPRT berharga RM28,000 sebuah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu laporan akhir daripada kementerian berkenaan berhubung kos sebenar bagi sebuah rumah itu dan pembinaannya akan dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kerajaan negeri juga bersetuju mengekalkan peruntukan sedia ada untuk bantuan membaiki rumah golongan miskin iaitu tidak melebihi RM8,000 sebuah, tahun ini.

Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa pertandingan untuk jawatan Ketua Umno Bahagian akan berkurangan walaupun setakat ini lima daripada lapan Umno Bahagian di negeri itu, bakal menyaksikan perebutan jawatan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata tiga bahagian iaitu Kemaman, Besut dan Kuala Terengganu, tidak akan berlaku pertandingan.

Ahmad merupakan Ketua Umno Bahagian Kemaman, bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) manakala Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu).

Lima Umno Bahagian yang bakal menyaksikan pertandingan ialah Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Marang.

"Mungkin (calon) tarik diri, saya pun tidak tahu. (Tetapi) saya yakin angka yang akan bertanding (merebut jawatan Ketua Umno Bahagian) akan kurang," kata Ahmad.
BERNAMA

Tiada ulasan: