JAWI digesa siasat dalang bawa imam jadi saksi sumpah Saiful
Mohd Zamirul Mohd Dzaki
PERMATANG PAUH - Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menegaskan, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu menyiasat siapa yang mengarahkan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menjadi saksi kepada sumpah yang dilakukan oleh Saiful pada 15 Ogos lalu.
Tegasnya, siasatan ini perlu kerana Ramlang sendiri mengakui bahawa beliau menerima arahan dari pihak atasan untuk menjadi saksi kepada perbuatan sumpah tersebut.
Katanya lagi, Umno pada hari ini dilihat bukan sahaja bertindak menguasai media dan jabatan tetapi institusi masjid juga mahu dikuasai oleh mereka.
Pada masa yang sama Mahfuz juga mengatakan, media arus perdana yang menyerang Dato` Seri Anwar selepas kes sumpah ini wajib meminta maaf kepadanya.
"Sekarang jelas apa yang diceritakan oleh media arus perdana sekarang ini adalah satu propaganda," katanya.
Sebelum itu, Mahfuz turut menyampaikan ceramahnya dihadapan kira - kira 2000 orang penyokong Pakatan Rakyat berdekatan Kampung Pertama, Permatang Pauh.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat, Dato` Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. - mr_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan