HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Ogos 2008

Diari Pasung RTM pesong fakta ISA

Ali Bukhari Amir


Pada pagi 26 Ogos (11.15 pagi) saya menaiki bas dari kampung ke KL. Tiba di tol Sg Dua Pulau Pinang debaran memuncak. 'Road-block' polis bermula. Setibanya di Seberang Jaya, barulah warna-warni api peperangan hari ini semakin jelas menyala terang.

Kelihatan kibaran bendera Barisan Nasional yang berselangseli dengan bendera Keadilan. Kelibat anak-anak muda pro-Keadilan berkonvoi makin jelas di mana-mana.

Sukar untuk melihat kenderaan memakai pelekat Umno dan BN berkonvoi begitu.

Dari kampung ke KL, balada Permatang Pauh

Mungkin mereka ada, tetapi hal sebegitu dibuat di tempat lain. Saya tiba di Hentian Putra KL sekitar jam 5 petang. Malam itu Diari Pasung menyiarkan pula dokumentari Kemta di Kemunting, Perak yang melibatkan tahanan ISA. Sakit hati betul menontonnya. Hisy!

Kata orang kalau mahu tekanan darah meningkat, rajin-rajinlah menonton RTM. Tapi tak apalah, sabar itulah sebaik-baik bekalan. Kalau kita sabar, kita akan dapat pahala.

Jadi, seharian dalam perjalanan sehingga ke petang, dalam fikiran saya sering terfikirkan tiga perkara. Bagaimanapun, semua ini hanya telahan ramalan peribadi saja.

Pertama, jika Permatang Pauh dimenangi Anwar, apakah nasib tahanan ISA? Kedua, jika Anwar jadi PM, bagaimanakah kedudukan Malaysia di dalam peta dunia? Ketiga, perihal kedajalan Umno yang gemar dan handal menipu rakyat.

Baiklah, marilah kita bualkan satu persatu. Pertamanya, hal-ehwal ISA. Saya merujuk hal ini terhadap dokumentari Diari Pasung malam itu.

Antara yang diwawancara ialah Dr Agus Yusof dan Dato' Ibrahim Ali. Entah bagaimana, mereka barangkali terlupa agaknya untuk menemuramah Said Zahari yang merengkok di dalam penjara selama 17 tahun, kerana mempertahankan pendiriannya.

Saya difahamkan Pak Said Zahari ketika mewawancarai beliau tidak lama dahulu bahawa pihak KDN pernah menemuramah beliau untuk diminta pendapatnya tentang ISA ini. Di mana akhirnya rakaman itu, dan atas tujuan apa tidaklah diketahui.

"Barangkali, mereka gunakan rakaman itu semata-mata untuk mengkaji dan menganalisa pandangan saya berhubung Akta ISA tersebut," demikian kata Pak Said.

Soalan cepu emas, kenapakah tak digunakan rakaman tersebut di dalam Diari Pasung untuk menggambarkan keseluruhan isi tema wacana tentang ISA? Kalau mereka gunakan perkataan ahli-ahli tahanan yang sudah insaf, itu jelas propaganda semata-mata.

Semak catatan tahanan ISA secara menyeluruh

Antara yang sudah 'insof' itu bernama Yazid. Jadi, mereka mempergunakan tahanan ISA yang telah 'insof' untuk meriwayatkan kebaikan ISA, sekali gus mempengaruhi kita

Semak juga catatan Pak Sako, memoir Said Zahari, Pak Samad dan lainnya jika Abdullah Ahmad Badawi jujur dan berani. Seperkara lagi, bagaimana mereka mahu jawab tentang ugutan, ancaman SB ke atas keluarga tahanan ISA?

Apa yang ditunjukkan ialah menu makanannya yang baik. Diakui sejak dulu malah dalam memoir catatan tahanan ISA sendiri, menu dan diet makanan mereka memang baik. Tapi, bukanlah hal itu yang dipertikaikan oleh tahanan ISA.

Yang dipertikai, ialah kenapa 'jenayah' fikrah dan pemikiran mereka tak pernah dibantah secara umum sama ada dalam mahkamah atau melalui debat terbuka oleh kerajaan?

Keduanya, 'makanan perut' dipelihara, tapi 'makanan akal dan otak' seperti menulis untuk berhubung dengan dunia luar dinafikan. Adakah tahanan ISA diberi ruang menulis?

Dokumentari itu juga menyebut bahawa tahanan boleh mengakses bahan bacaan. Namun, sempat juga dicemuh pandangan tahanan apabila tahanan melemparkan rungutan bahawa, buku-buku itu dikatakan tidak kemaskini.

"Inilah yang dikatakan mereka tidak sedar diri, tidakkah mereka sedar bahawa mereka itu cuma tahanan?" kalau tidak salah saya, kurang lebih, begitulah bunyi ayat cemuhan itu. Sakit hati, jiwa dan perasaan walaupun saya bukannya salah seorang tahanan ISA.

Dr Agus ketika ditemubual, turut menyatakan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai banduan. Bermaksud, tentu ada kelainan di antara 'jenayah politik', 'jenayah ekonomi' dan 'jenayah seksual'. Tapi, apakah ada pihak yang menggariskan bentuk 'kelainan' itu?

"Mereka tak pernah dibicarakan. Jadi mereka bukannya penjenayah biasa. Maka, tahanan ada hak beribadat, hak berhibur, menonton tv dan hak menemui keluarga," katanya.

Hak menulis dan mengundi

Kita ingin mencadangkan agar tahanan ISA ini diberi hak menulis ketika berada di dalam penjara. Dan, hal ini tentu sulit bagi kerajaan untuk memberikannya. Kerajaan boleh beri apa saja. Makanan dan minuman terbaik, hak beribadat, beruzlah dan berkhalwat.

Tapi, hal untuk memuntahkan pemikiran, idea, dan fikiran itu tidaklah boleh dipenuhi. Ini kerana, kebanyakan mereka itu bukan ditahan kerana tindakan jenayah, tetapi oleh kerana idea dan perbezaan idealogi di antara mereka dengan kerajaan.

Jadi adakah kerajaan akan memberi ruang sekali lagi untuk mereka menyebarkan idea-idea mereka itu?

Jawapannya, sekali-kali tidak! Ini kerana, oleh kerana idea itulah mereka dipasung. Saya berani potong jari jika mereka diberi hak menulis di akhbar termasuk hak mengundi!

Syahadan, kembali kita kepada persoalan ramalan awal tadi. Adakah selepas pasca politik Permatang Pauh, tahanan ISA dibebaskan dan ISA dimansuhkan?

"Saya takut ISA masih digunakan. Selepas ini digunakan atas alasan membendung aliran yang dikatakan memudaratkan agama khasnya Islam," demikianlah bicara seorang teman.

Sekali lagi diingatkan, ini cuma telahan dan ramalan saja.

Kedua, bagaimana rupa paras peta Malaysia ini selepas politik pasca Permatang Pauh? Di Amerika kini, Obama dinobatkan sebagai bakal Presiden di republik tersebut. Mujur juga tiada yang mengaitkan Obama dengan Osama, kerana sebutan nama itu hampir sama.

Adakah negara kita akan berkiblatkan Amerika jika Obama menang? Politik dunia yang tak menentu seperti Rusia menyerang Georgia baru-baru ini memungkinkan perang dunia ketiga akan terjadi. Blok kapitalis Amerika pimpinan George Bush sebelum kejatuhannya mungkin akan melakukan percekcokan dan 'chaos' dengan cara menyerang Rusia.

Malaysia, pasca Permatang Pauh di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan mahu berkiblat ke mana selepas itu? Mahu bergabung dengan Amerika atau Rusia? Matawang Amerika dan ekonominya yang lembap tentulah menyebabkan negara kita mesti membuat pilihan. Saya syor kita alihkan 'kiblat ekonomi dan politik' dengan cepat kepada blok Rusia.

Keputusan ini perlu dibuat beberapa tahun sebelum kemunculan Imam Mahdi, Ratu Adil.

Bagaimanapun, simpan syor ini dalam kepala pimpinan PR masing-masing. Kita mestilah siap sedia dengan pelbagai kemungkinan.

Hujung usia dunia

Kita kini berada di hujung usia dunia. Yakjuj Makjuj telah tiba serta dajjal si penipu telah lama bertindak melebarkan cengkamannya. Di Malaysia, tanpa perlu berdalih, Umnolah dajjal yang mewarisi legasi Freemason di Malaya sejak kehadiran Portugis, British.

Mereka menipu rakyat dengan menggunakan jentera media dan sentiasa menyatakan ISA itu bagus dan Auku itu memang baik. Memang disebutkan dalam hadis bahawa hanyalah yang beriman sahaja yang tidak mudah ditipu oleh dajjal, manakala yang lainnya teruslah ditipu dan dipermainkan dajjal dengan tipudayanya.

Syahadan, selepas Anwar menang, Umno BN akan berdendam ke atas rakyat Permatang Pauh seperti mana Umno BN melepaskan dendamnya ke atas rakyat yang tidak mengundi mereka dalam pilihan raya lalu. Antara contoh dendam itu, harga minyak dinaikkan.

Dan, memang inilah sifat dajjal seperti yang disebutkan dalam hadis nabi. Iaitu, di bawah pemerintahan dajjal, mana-mana orang yang enggan mengikutinya, maka akan diletakkan mereka itu di dalam neraka dunia. Maka, ISA itu adalah serpihan neraka dunia itu.

Tiada ulasan: