HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Dr. Mahathir kecewa liputan, 'pertikai' kebebasan media

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mempertikaikan kebebasan media dengan menekankan banyak perkara yang disentuh beliau pada sidang media baru-baru ini, susulan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

"Selepas pengumuman Barisan Nasional kalah di Permatang Pauh pemberita datang ke Yayasan Kepimpinan Perdana dan mendesak supaya saya adakan satu sidang akhbar.

"Dalam sidang akhbar itu saya secara terus terang berkata sidang akhbar tidak berguna kerana mereka tidak akan dibenar melaporkan jawapan-jawapan saya melainkan yang boleh diputar supaya ternampak saya menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaannya.

"Seperti yang saya jangka laporan yang dibuat berlainan dengan apa yang saya perkatakan," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Kata Dr. Mahathir, apabila ditanya berkenaan dengan penurunan harga minyak, beliau menjawab bahawa ia ada kaitan dengan Permatang Pauh.

"Kita patut ada lebih banyak pilihan raya kecil supaya harga minyak dikurangkan lagi.

"Yang dilapor ialah saya berkata penurunan harga minyak adalah baik untuk rakyat. Itu sahaja," katanya.

Malah, kata Dr. Mahathir, beliau juga ditanya tentang perancangannya selepas Permatang Pauh dan sama ada akan kembali ke UMNO.

"Saya ingatkan mereka bahawa saya keluar UMNO dengan bersyarat. Saya akan mohon kembali ke UMNO jika Dato Seri Abdullah tidak lagi menjadi presidennya, iaitu jika dibenar.

"Apabila saya kembali saya akan turun padang dan bekerja keras untuk menarik balik bekas-bekas penyokong UMNO dan BN yang telah sokong parti lawan dalam pilihan raya Umum ke-12," katanya.

Beliau keluar Umno Mei lalu.

Kata bekas Presiden Umno itu, beliau menjelaskan yang kerja tersebut memerlukan masa.

"Kalau kepimpinan bertukar pada Jun 2010, tidak ada masa untuk pulih parti sebelum pilihan raya umum ke- 13.

"Semua ini tidak sedikitpun dilapor dalam mana-mana akhbar atau televisyen. Inikah yang dikatakan kebebasan media yang dijanjikan oleh Dato Seri Abdullah," soal beliau.

Tiada ulasan: