HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Ogos 2008

BN terdesak, guna Parlimen lagakan PAS-KeADILan
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh disifatkan terdesak hingga menggunakan sidang Dewan Rakyat untuk berkempen memburuk-burukkan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan dua anggota BN bangun melaga-lagakan Anwar dengan PAS disifatkan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai tidak profesional.

"Kempen pilihan raya Permatang Pauh boleh dibuat di Permatang Pauh bukan di Parlimen yang sebenarnya tempat untuk kita bincangkan masalah rakyat," ujarnya semasa ditemui di lobi Parlimen semalam.

Sebelum itu dua Ahli Parlimen BN, Dato' Mohammad Aziz (BN-Sri Gading) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Chor Chee Heung menelah Anwar dengan menyatakan tuduhan menggunakan PAS dalam pilihan raya di Permatang Pauh.

Mohammad Aziz menyatakan bahawa dahulu Anwar menyerang PAS sewaktu beliau berada dalam Umno, namun kini menggunakan simpati PAS untuk meraih undi di Permatang Pauh.

Sementara Chor Chee Heung pula mengajak pengundi Permatang Pauh menolak Anwar dan menyokong kenyataan Mohammad Aziz tersebut.

Bercakap lanjut, Ustaz Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok turut menyatakan beliau sendiri yakin Anwar boleh menang berdasarkan sokongan yang diterjemah pengundi.

Beliau sendiri turut serta menjayakan kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pauh bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan utama yang lain. - mks._

Tiada ulasan: