HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Pakatan Rakyat Kini Semakin Kukuh, Dua AP Terengganu Mungkin Lompat

SM NOR


Kuala Terengganu – Dengan kembalinya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen, Pakatan Rakyat (PR) menjadi lebih kukuh dengan membentuk satu gabungan lebih yang kuat.

Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Abd Muttalib Embong mencadangkan agar PAS, PKR dan DAP berbincang dengan lebih serius mengenai perkara tersebut demi kebaikan ketiga-tiga parti itu dan lima negeri naungannya.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan setiap keputusan atau apa juga tindakan yang diambil oleh PR selepas ini dapat diselaraskan di semua negeri yang diperintah pembangkang agar keliha-tan lebih selari.

Justeru, cadangan Wan Muttalib tersebut telah mula kelihatan dengan pertemuan pertama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang telah diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang Tingkat 14, Bangunan Parlimen semalam ini.

Pertemuan tersebut telah dipengerusikan oleh Anwar telah dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pertemuan tersebut menegaskan kembali pendirian parti-parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat untuk memperkukuhkan semangat kerjasama masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, dua anggota parlimen dari negeri Terengganu mungkin akan melakukan lompatan, berhijrah meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat.

”Bahkan saya juga terdengar, bahawa kalau ada yang menyeberangi masuk Pakatan Rakyat, maka ada ahli-ahli parlimen negeri Terengganu juga paling kurang dua orang, akan melompat masuk Pakatan Rakyat, “kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika berucap di Kampung Tanjung Sabtu semalam.

Beliau berkata program 16 September Pakatan Rakyat menuju Putra Jaya dan mengubah kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat masih atas landasan yang betul.

Menurutnya, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Tengku Hassan berkata, BN semakin lemah dengan parti-parti gabungan yang bernaung dibawahnya menyatakan hasrat untuk keluar dari BN.

“Di Perak Parti Gerakan meminta supaya keluar daripada BN, di Kedah juga, Parti Gerakan juga membuat cadangan kepada pimpinan (mereka) supaya keluar daripada BN,

“Di Pulau Pinang, mereka (Parti Gerakan) merancang untuk juga membuat cadangan dalam kongres (Parti Gerakan) yang akan datang supaya keluar daripada BN, disetengah-setengah tempat MCA juga telah berbisik-bisik untuk juga mencadangkan supaya keluar daripada BN,

”mereka semua (parti-parti tersebut) menyalahkan kepada pimpinan Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad badawi) menyebabkan mereka kalah dalam pilihanraya (umum) baru-baru ini,”ujar Tengku Hassan ketika mengulas tentang kebangkitan rakyat yang sedang berlaku diseluruh negara.

Pada 20 Ogos lalu, tokoh Parti Gerakan Pulau Pinang, Dato' Toh Kin Woon bertindak keluar parti dan menyokong PKR membuktikan bahawa parti itu semakin tidak diterima ramai masyarakat.

Toh pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon kecewa dengan Gerakan kerana terlalu banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh kepimpinan negara.

Mengulas tentang kunjungan hormat pimpinan PAS Terengganu terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Dato’ Tengku Hassan berkata Ahmad lebih dilihat sebagai Menteri Besar ‘Yang DiPertuan Agong’ dari dilihat sebagai Menteri Besar UMNO.

”Bukan macam Menteri Besar UMNO, nampak macam Menteri Besar ‘Agong, sebab itu kita pergi ”kata beliau.

Menurut beliau sudah dua kali pertemuan diadakan antara pimpinan PAS dengan Ahmad Said.

Kunjungan hormat kali pertama adalah selepas ADUN PAS mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri Mei lalu, manakala secara rasminya pertemuan kali kedua adalah pada 15 Julai lalu.

Tiada ulasan: