HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Ogos 2008

Sempena sambutan kemerdekaan ke 51: mendesak Abdullah mengundurkan diri Politically Incorrect

Ruhanie Ahmad


Esok kita merayakan kemerdekaan negara yang ke-51 tahun. Kemuraman suasana terpancar di mana-mana. Rasa sedih dan pilu menyelubungi jiwa. Ini kerana dalam kedewasaan usia kemerdekaan, kita terpaksa berhadapan dengan kepimpinan nombor satu negara yang paling lemah dalam sejarah tanahair.

Realiti kelemahan pemimpin besar ini jarang-jarang sekali disuarakan secara rasmi, meluas dan terbuka, konon kerana ianya “politically incorrect” kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang masih terus bertakhta di Purtajaya.

Soal kelemahan ini banyak kali dibicarakan secara terbuka oleh segolongan bloggers sosio-politik Malaysia. Malangnya, kumpulan ini pula dilabelkan sebagai kelompok partisan yang menyebarkan fitnah untuk mencemarkan imej, kredibiliti dan integriti Abdullah.

Ada juga pelbagai NGO akar umbi berusaha membicarakan hakikat ini menerusi forum di merata negara. Tapi, usaha mereka pula sering disabotaj oleh pihak yang menerima arahan daripada Putrajaya.

Pada ketika ini ada warga akar umbi yang berusaha merobah kepimpinan Abdullah menerusi saluran UMNO. Tetapi, hanya 110 daripada 20410 cawangan UMNO di seluruh tanahair yang kini berani bertindak sedemikian rupa.

Buta Hati

Yang lainnya sama ada tidak peduli apa yang sedang dan akan berlaku, sibuk berpolitik untuk pertahankan jawatan masing-masing, sudah buta hati akibat politik wang, atau takut ditekan dan diugut.

Pihak yang mengakui hakikat kelemahan Abdullah, tetapi takut untuk bertindak menegakkan kebenaran, lebih rela jadi hipokrit. Mereka redha memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih. Mereka lakukan ini semua kerana enggan “ditekan atau dianaiya.” Tetapi, ada juga antara mereka yang mengharapkan untuk “dibeli” dengan harga yang cukup lumayan.

Fenomena ini menyebabkan rakyat jelata yang kecewa dengan Abdullah jadi tambah marah. Mereka yang mahukan Abdullah mengundurkan diri secara terhormat jadi makin keliru. Mereka keliru kerana niat Abdullah hendak mengundurkan diri memang telah tersebar luas selepas PRU 12. Tetapi, niat ini dibatalkan kerana desakan kuat segelintir manusia di sekeliling Abdullah.

Sekarang kita rasakan sendiri bahana kedolak-dalikan ini. Keyakinan rakyat terhadap Abdullah makin terhakis. UMNO dilanda dilemma. Peralihan kuasa daripada Abdullah kepada penggantinya hanya akan dilakukan pada 2010. Tempoh yang panjang ini hanya menjanjikan anxieties, uncertainties, keresahan, kekecewaan dan kemarahan di kalangan rakyat jelata yang mengharapkan perubahan kepimpinan tertinggi negara dengan segera.

Dalam keadaan seperti ini, banyak pihak menudingkan jari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mewariskan tampuk kepimpinan Malaysia kepada Abdullah. Mereka lupa, UMNO juga turut bertanggungjawab dalam hal ini kerana UMNO yang memuktamadkan pilihan Mahathir dengan merestui Abdullah jadi Presidennya.

Boneka Asing

Mahathir menyerahkan Malaysia kepada Abdullah dalam keadaan baik - tidak ada krisis keyakinan, tidak ada manipulasi keluarga, tidak ada campur tangan asing, tidak diperlekehkan komuniti antarabangsa.

Mahathir juga mewariskan Malaysia kepada Abdullah dalam keadaan rakyat jelata hidup sejahtera, harmoni, merasai kemakmuran, menyaksikan kestabilan politik, sentiasa komited kepada kemajuan negara, sentiasa menambah-nilai kemampuan diri, sentiasa memelihara kemerdekaan tanahair, sentiasa mempertahankan kedaulatan pertiwi.

Ini kerana Mahathir menerima tampuk kekuasaan kerajaan dan parti dengan penuh rasa tanggungjawab. Beliau menguruskan kerajaan, BN dan UMNO dengan amanah, cekap dan jujur. Mahathir berdisiplin, berwibawa tinggi, sentiasa menjajarkan dirinya dengan perkembangan global dan serantau menerusi proses pengkayaan ilmu yang berterusan, mampu mentafsirkan implikasi geopolitik kepada survival negara-bangsanya, berwawasan futuristik, berminda proaktif, pintar mentafsir mimpi, peluang dan realiti, tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar, tidak berkompromi dengan mana-mana jiran tetangga yang busuk hati.

Pastinya Mahathir juga mengharapkan Abdullah berkhidmat dan berjuang demi agama, bangsa dan tanahair. Maksudnya, jangan sekali-kali dikongkong, dikuasai, dimanipulasi atau dicorak-warnakan oleh keluarga, sahabat atau jiran tetangga. Abdullah dituntut berdisiplin, berwibawa tinggi, tegas, bijaksana, amanah, prihatin, jujur dan ikhlas. Dalam ertikata lain, Mahathir mengharapkan Abdullah tidak relakan diri, kerajaan dan partinya jadi boneka kepada sesiapa; tidak disusupi oleh mana-mana boneka; tidak jadi lemah, tempang dan terumbang-ambing.

Harapan Mahathir ini adalah juga harapan rakyat jelata kepada Abdullah. Tetapi, mungkin Mahathir tidak huraikan harapan ini secara terperinci kepada Abdullah. Biarpun begitu, harapan ini pastinya mampu dirincikan sendiri oleh Abdullah.

Kata Dua

Pada ketika ini, amat janggal untuk sesiapa bersemuka dengan Abdullah dan ingatkan beliau akan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri, terutama sekali selepas BN mengalami kekalahan teruk di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dalam PRU12. Kekalahan tersebut adalah manifestasi kepada sesuatu yang perlu diperbetulkan, yang memerlukan kajian yang jujur, mendalam dan menyeluruh; yang menuntut Abdullah sendiri jadi paksi utama kepada proses melaksanakan koreksi total sewajar-wajarnya.

Tetapi, kerana situasi semasa semakin gawat dan bercelaru akibat Abdullah terus diulit keyakinan kononnya kerajaan masih kuat dan siasahnya juga terus disokong oleh rakyat, beliau mestilah diberikan kata dua yang tegas supaya berundur dari persada kekuasaan di Putrajaya. Inilah sahaja pilihan terbaik buat saat dan ketika ini.

Pada waktu yang sama, adalah juga sia-sia dan membuang masa untuk sesiapa insafkan Abdullah bahawa beliau bukannya tauke sarkas yang perlu menaungi segolongan badot kelas atasan; bukan collector boneka aneka wajah yang boleh meriasi pejabatnya di Putrajaya; bukan kepala gerombolan lanun kolar putih yang bermaharajalela sesuka hatinya; bukan pemilik syarikat sole proprietorship yang mesti mengaut khazanah rakyat untuk dijadikan warisan keluarga.

Begitulah hakikatnya Abdullah pada hari ini. Era kepimpinan Abdullah ini akan tercatat dalam sejarah tanahair sebagai satu-satunya yang penuh dengan pelbagai citera negatif. Abdullah juga akan tercatat dalam sejarah sebagai pemimpin yang membawa UMNO ke arah kehancurannya.

Banyak lagi persoalan mengenai Abdullah yang boleh dijadikan kata dua untuk mendesak beliau mengundurkan diri dengan seberapa segera. Antaranya adalah mengenai samarnya pemikiran strategik beliau selaku seorang Perdana Menteri di abad ke-21 yang menjadikan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, sebagai sasaran utama puak zionis yang menguasai AS dan sekutunya. Dalam konteks ini, Abdullah tidak sensitif dan gagal membaca seluruh kilat dan kilau geopolitik mutakhir. Beliau gagal mentafsir setiap gerak membabitkan kuasa besar Barat serta proksi-proksinya di rantau ini.

Singapura

Contohnya, sewaktu jadi Timbalan Pedana Menteri, Abdullah amat vokal terhadap Singapura yang berusaha mempolitikkan isu harga air hingga ke pelantar antarabangsa. Bila berkuasa, kenapakah tersebar luas tohmahan bahawa Abdullah telah menggadaikan maruah bangsa dan kedaulatan negara ini kepada Singapura? Kedolak-dalikan Abdullah mengenai projek Jambatan Bengkok di Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor, hingga kini belum terjawab misterinya. Kemurahan hati Abdullah membuka Iskandar Malaysia yang disorot umum sebagai wilayah tambahan kepada Singapura kini sangat-sangat memilukan banyak pihak. Kesediaan Abdullah menangguhkan perbincangan ke atas seluruh isu tertunda membabitkan Singapura pula terus diselubungi tanda tanya besar. Kekalahan Malaysia dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh yang kini diserahkan kepada Singapura amat menyayat hati majoriti rakyat jelata.

Oleh itu, sampai bilakah desakan supaya Abdullah mengundurkan diri secara terhormat daripada persada kepimpinan tanahair akan dianggap sebagai “politically incorrect”? Berapa lama lagikah kenyataan-kenyataan yang benar mengenai kelemahan Abdullah akan terus jadi suara derhaka?

Selagi Abdullah masih mahu terus berkuasa? Selagi Abdullah masih setia kepada maksud bait-bait puisi “Damai Abadi”? Selagi insan tertentu belum jadi Perdana Menteri mencecah usianya 40 tahun? Selagi Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh dimomokkan dengan persepsi negatif? Atau, selagi kerajaan, BN dan UMNO belum tersungkur ke bumi untuk menyembah kekalahan yang paling total dalam sesuatu pilihan raya umum?

Persoalan-persoalan ini melatarbelakangi pemikiran banyak pihak pada perayaan kemerdekaan negara ke-51. Tetapi, seluruh persoalan ini masih amat sukar sekali untuk dijadikan “politically correct” bagi memudahkan Abdullah mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada kepimpinan tanahair tercinta ini!

Esok kita sambut hari kemerdekaan negara kita. Tapi lihatlah sendiri, berapa banyak bendera dikibar dikereta-kereta seperti dulu? Mana ada keghairahan mengenai sambutan kali ini? Adakah semua ini mencerminkan hati dan jiwa rakyat jelata yang sedang luka dilanda dilemma akibat kepimpinan Abdullah yang lemah dan tempang? Renungkan dan fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan: