HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Perbelanjaan kerajaan persekutuan dijangka meningkat kepada 4.4 peratus

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan kerajaan persekutuan pada tahun 2009 dijangka meningkat 4.4 peratus kepada RM205.899 bilion dari RM197.211 bilion pada tahun 2008.

Perbelanjaan mengurus dijangka bertambah 2.1 peratus kepada RM154.170 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak 11.8 peratus kepada RM51.729 bilion, kata Kementerian Kewangan (MOF) di dalam Laporan Ekonomi 2008/2009 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Perbelanjaan mengurus diperuntukkan sebanyak RM154.170 billion atau 74.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan dalam Bajet 2009.

Sebahagian besar daripada peruntukan ini, kata Kementerian Kewangan digunakan bagi perbelanjaan terikat dan kenaan tetap seperti emolumen, bayaran khidmat hutang serta pencen dan ganjaran.

"Dasar fiskal yang berhemat, cekap dan efektif akan diteruskan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.

Defisit bajet pada tahun 2009 dijangka turun kepada 3.6 peratus dari 4.8 peratus pada tahun 2008.

Berikutan kesan kenaikan harga bahan api, makanan dan komoditi lain serta bahan berkaitan pembinaan, katanya kerajaan akan menyediakan dana yang lebih besar untuk bayaran subsidi, termasuk program jaminan makanan, program bantuan sosial dan kebajikan serta memastikan pelaksanaan projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

Laporan itu menyatakan peruntukan bekalan dan perkhidmatan meningkat 2.3 peratus kepada RM26.488 bilion bagi memastikan penyelenggaran asset awam yang lebih baik serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Untuk geran, menurutnya serahan dan bayaran tetap, sebanyak RM86.328 bilion disediakan, termasuk subsidi dan sumbangan untuk badan berkanun kerajaan.

Peruntukan bagi subsidi dijangka kekal tinggi iaitu sebanyak RM33.799 bilion atau 21.9 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

Peruntukan subsidi disediakan terutamannya untuk bahan api berjumlah RM21 bilion, perbezaan kadar faedah termasuk pinjaman pengajian tinggi (RM978 juta), skim berkaitan padi (RM1.16 bilion), serta rebat tunai bagi pemilik kenderaan persendirian sehingga bulan Mac 2009 (RM2 bilion).

Sehingga 21 Ogos, 2008, Pos Malaysia Bhd telah membayar RM1.6 bilion kepada 3.7 juta pemilik kenderaan berdaftar, kata Kementerian Kewangan.

Di samping itu, katanya peruntukan sebanyak RM1.2 bilion akan disediakan untuk memberi subsidi harga runcit minyak masak.

"Kerajaan juga akan memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta mengawal harga melalui usaha mencegah aktiviti menyorok stok, penyeludupan dan mengambilan untung secara berlebihan," katanya.

Tiada ulasan: