HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Ogos 2008

(FOKUS BERITA):

Siapa berpengaruh di Permatang Pauh? Anwar, Arif, Saiful atau Ezam
Oleh G. MANIMARAN


PERKEMBANGAN sepanjang 10 hari yang lalu cukup menarik. Selain detik dan peristiwa, personaliti-personaliti yang turun gelanggang sebagai 'calon' bukan rasmi juga memeriahkan kempen politik pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Yang terbaru ialah imam Masjid Wilayah Persekutuan Ustaz Ramlang Porigi sebanyak empat kali sepanjang malam tadi.

Pintu masuk pejabat am bangunan atau dikenali sebagai rumah Umno Bahagian Permatang Pauh menyambut tetamu dengan pelekat tertera wajah Anwar dan tanda dilarang - membawa mesej "Anwar Dilarang".

"Kita tidak mahu Anwar di Permatang Pauh," kata Datuk Arif Shah Omar Shah dalam satu perbualan minggu lalu.

Bangunan itu yang terletak di Sg. Semambu, Penanti sebenarnya merupakan premis yang pernah digunakan bersama oleh Anwar ketika mengetuai Bahagian Permatang Pauh dan ketika beliau masih berada dalam parti dan kerajaan sehingga September 1998.

Sebelum diumumkan sebagai calon, kali terakhir Arif Shah bersemuka dengan Anwar kira-kira dua bulan lalu pada satu majlis perkahwinan keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Yang pastinya kedua-dua mereka tidak pernah menyangka akan bertemu dalam pertarungan yang bernama pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Dan, mereka bertemu sekali lagi di masjid ketika solat tengah hari Jumaat lalu.

"Saya pun tak sangka saya akan bertanding dalam pilihan raya kerusi Permatang Pauh," kata Arif Shah tetapi hari ini yakin akan membawa kemenangan kepada BN esok.

Berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya, beliau merayu agar diberikan satu peluang mewakili kerusi Parlimen Pauh.

"Jadi sebagai anggota parti saya akan menghormati keputusan parti dan berusaha mencapai matlamat parti," kata Arif Shah yang memperlihatkan sifat mesranya.

Rumahnya di Seberang Jaya, yang dijadikan bilik operasi utama selain Rumah Umno Permatang Pauh sebagai premis jentera pilihan raya.

Sehingga malam tadi pihak lawan pun tidak mengkritik secara peribadi walaupun beliau tetap menjadi sasaran dalam kempen Pakatan Rakyat.

Ketika Anwar menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Arif Shah merupakan Ketua Pemudanya.

"Saya tidak takut berhadapan dengan Anwar," kata beliau sambil mengakui bahawa beliau mengetuai kelebihan dan kekurangan Anwar.

Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999.

Sebagai "guru politik" satu ketika dulu, Arif Shah berkongsi cerita bahawa beliau tahu tentang secara mendalam tetapi mahu mengelakkan pendekatan berkonfrontasi dalam mengharungi kempen pilihan raya kecil.

Arif Shah popular di kalangan penduduk tempatan sebagai pemimpin senang mesra dan mengutamakan kesederhanaan.

Di satu pihak, Anwar juga merupakan anak tempatan.

"Ini tempat saya," ungkapan yang selalu digunakan oleh beliau dalam ceramahnya untuk menggambarkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang selalu mengecam dan mencabar bekas Timbalan Perdana Menteri itu supaya sama-sama bersumpah
sebagaimana dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan berhubung isu dakwaan
meliwat.

Berbanding Arif Shah, Anwar telah diletakkan dan dilihat sebagai "pembawa harapan baru ke Malaysia" oleh penyokong-penyokongnnya.

Anwar telah dianggap sebagai bakal Perdana Menteri. Itu sebabnya dalam kebanyakan ceramah kempen dan bahan terbitan parti yang meletakkan beliau sebagai calon pilihan raya kecil Permatang Pauh menyifatkannya sebagai pembawa perubahan di arena politik kebangsaan.

Moto yang dibawa ialah "Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh". Anwar juga mengatakan bahawa beliau akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen dan ia telah pun dipersetuju semua pemimpin anggota Pakatan Rakyat.

Malah beliau juga sering mengatakan bahawa akan membentuk kerajaan pada 16 September dengan penyertaan wakil rakyat BN.

Justeru kedua-dua pemimpin ini dilihat dari sudut populariti yang berbeza. Seolah-olah kedua-dua mereka berada di kutub yang berbeza, sudah pasti dari parti yang berlainan, tetapi kelebihan dan kekuatan mereka jauh berbeza.

Mengambil kira kekuatan dan kelebihan yang ada pada mereka, sejauh mana isu Saiful dan kemunculan Ezam Mohamad Nor, bekas Setiausaha Politik kepada Anwar dan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi satu aset dan beban kepada masing-masing calon yang bertanding itu.

Hampir setiap hari nama Saiful dan suara Ezam kedengaran di Permatang Pauh. Nama Ezam pernah disebut sebagai bakal calon. Tetapi tidak menjadi. Sudah tentu bukan nama Saiful.

Sehingga pagi ini soal sumpah Saiful turut disebutkan.

Ini belum kira lagi risalah-risalah yang diedarkan oleh parti-parti bertanding.

Ketika jentera pilihan raya BN juga mahu Anwar bersumpah, Anwar sehingga pagi semalam ketika hadir merasmikan Konvensyen Madani anjuran Yayasan Al-Nahdoh, Kg. Petani menegaskan bahawa beliau telah diminta supaya tidak berbuat demikian. "Ini bukan setakat nasihat (daripada ulama), tetapi diberi amaran supaya jangan membuat sumpah," katanya.

Selepas kemunculan Ustaz Ramlang malam tadi, hari ini Anwar mengulangi pendiriannya itu.

Selaku bekas orang kuat Anwar, Ezam telah menyentuh pelbagai isu berkaitan dengan Anwar sepanjang lapan hari yang lalu. Malam tadi Ezam bercakap dalam ceramah berjadual "Mengapa Anwar Tidak Mahu Bersumpah".

Ezam walaupun tidak disambut baik oleh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, beliau telah menjadi perhatian. Jika tidak dilihat wajahnya dan hanya mendengar, orang boleh menganggap yang berucap itu Anwar. Inilah pengaruh dan kekuatan Ezam di satu sebelah.

Ezam memberitahu mStar Online bahawa beliau mempunyai rahsia yang akan dikeluarkan satu persatu untuk menghadapi kempen kali ini.

Sejak Ezam masuk semula Umno tiga bulan lalu ini merupakan pilihan raya kecil pertama bagi dirinya, Umno dan BN.

Sejauh mana rahsia Ezam akan membantu Umno dan BN, yang pemimpinnya mahu mengkuburkan impian Anwar kembali ke Parlimen dan mengetuai kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Tiada ulasan: