HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Ogos 2008

Hujan diramalkan pada 26 Ogos ini

BUKIT MERTAJAM: Para pengundi pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Selasa ini dinasihat keluar awal untuk mengundi memandangkan Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dari pagi hingga petang pada hari itu.

Hujan sederhana diramalkan berlaku pada sebelah pagi Selasa ini dan akan berlarutan hingga ke petang dan disertai ribut petir, menurut jurucakap jabatan itu kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Ilyani Farha Mohammad berkata 110 peti undi yang akan ditempatkan di 25 pusat undi bagi pilihan raya kecil itu telah siap.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Supt Shaharon Anuar Abdul Latif berkata polis telah membuat tambahan anggota sejak dua hari lepas menjadikan jumlah keseluruhan anggota yang ditugaskan untuk pilihan raya kecil itu seramai 6,000 orang berbanding 3,000 pada hari penamaan calon 16 Ogos lepas.

Katanya Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak, Selangor dan Pahang juga telah bersiap sedia memberi bantuan jika keadaan memerlukan.

Katanya bagi memastikan keadaan terkawal, polis mengadakan sekatan jalan di beberapa tempat termasuk di Seberang Prai Utara dan Selatan serta di sempadan negeri Kedah dan Perak seperti Kulim, Sungai Petani, Bagan Serai dan Parit Buntar.

Beliau turut menasihatkan penyokong dan individu luar yang bukan pengundi supaya tidak datang ke Permatang Pauh kerana ia akan memburukkan lagi kesesakan di kawasan itu.

Beliau juga mengingatkan pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain.

"Adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana orang yang ambil kad pengenalan (orang lain) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: