HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Ogos 2008

BPR mula rekod keterangan Nallakaruppan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S. Nalakaruppan hari ini memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menerima RM60 juta dari Magnum Corporation ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pengarah Siasatan BPR Datuk Shukri Abdul ketika dihubungi mengesahkan bekas orang kanan penasihat PKR itu dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaannya namun enggan mengulas lanjut.

"BPR mula merekod keterangan Nallakaruppan sejak pukul 3 petang ini. Bagaimanapun pegawai kami tidak mengambil keterangannya di Ibu Pejabat BPR Putrajaya.

"Lokasinya tidak dapat didedahkan kepada media tetapi saya boleh mengesahkan bahawa BPR sedang merekodkan keterangan beliau," katanya di sini hari ini.

Nallakaruppan, 61, pada ceramahnya di Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu mendakwa menyerahkan RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 untuk tujuan yang tidak diketahui.

Nallakaruppan mendakwa menyerahkan sendiri wang itu kepada Anwar dan turut mendakwa Penasihat PKR itu meluluskan banyak lesen perjudian serta kedai empat nombor ekor ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: