KUALA TERENGGANU: Kakitangan kerajaan negeri Terengganu akan dibenarkan pulang setengah jam lebih awal daripada hari bekerja biasa pada bulan Ramadan ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong berkata ia serupa seperti tahun lepas untuk membolehkan kakitangan kerajaan khususnya wanita pulang lebih awal bagi membuat persediaan berbuka puasa.
Beliau berkata waktu rehat untuk kakitangan kerajaan negeri juga dipendekkan bagi mereka menunaikan solat dan sebagainya.
"Pekeliling tahun lepas (mengenai perkara itu) masih dipakai dan kita akan maklumkan kepada jabatan dan agensi kerajaan melalui surat biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Songket, Batik & Kraf Terengganu 2008 di sini hari ini.
Sementara itu Menteri Besar Datuk Ahmad Said dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Mokhtar pada festival songket tersebut berkata, kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai pengeluar songket dan batik terulung di negara ini.
Namun beliau berkata songket dan batik Terengganu kini menghadapi persaingan dari negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
"Sejak akhir-akhir ini, terdapat masalah pekerja mahir dalam bidang tradisi ini menyebabkan ada pengusaha yang tidak mampu menghasilkan produk secara berskala besar.
"Anak-anak muda kini kurang berminat untuk menceburkan diri sebagai pencanting batik dan penenun songket sehingga turut menimbulkan masalah kepada industri warisan kita ini," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan