Oleh W. Fauzdin NS
Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Imam Masjid Wilayah Ustaz Ramlang Porigi kerana di atas keberaniannya menyuarakan kebenaran dan menolak kebatilan. Meskipun beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak sejajar dengan kedudukannya sebagai Imam tetapi ketegasannya menentang fitnah dan kezaliman amat dihargai. Sebagai orang Islam adalah wajib baginya mempertahankan maruah dirinya yang dikaitkan dengan Sumpah Laknat yang `bidaah' itu.
Sudah tentulah sebagai seorang yang ingin melaksanakan kebenaran akan diuji oleh Allah SWT dan ini lah yang terjadi pada ustaz muda ini. Meskipun dugaan yang beliau hadapi tidak sehebat yang dilalui oleh DS Anwar, tetapi pengorbanannya bukan sedikit telah membantu perjuangan DS Anwar di Permatang Pauh. Beliau kini telah bersedia menghadapi apa jua risiko yang bakal dihadapinya. Kita difahamkan di antara risiko yang bakal dihadapi oleh Ustaz Ramlang Porigi adalah berkemungkinan akan dipecat dari menjadi Imam di Masjid Wilayah.
Saya pasti Ustaz Ramlang Porigi tidak merasa terkilan sekiranya benar beliau akan dipecat kerana sebagai seorang yang percaya kepada takdir dan kekuasaan Allah SWT, beliau pasti redha dan menerimanya. Cuma, sebagai seorang pejuang yang berani mendedahkan kemungkaran dan kezaliman, beliau seharusnya diberi pembelaan setakat yang kita mampu. Oleh yang demikian, saya secara peribadi menyeru agar mana-mana negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat menimbangkan agar melantik Ustaz Ramlang Porigi sebagai Imam di mana-mana masjid di negeri-negeri Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipecat. Ini lah mungkin salah satu cara kita menghargai pengorbanan yang telah beliau lakukan demi membantu perjuangan kita semua. Perlantikan beliau boleh dilakukan dengan mesyuarah dan muafakat keseluruhan jemaah mukim tersebut.
Penghargaan yang kita berikan ini bukan sahaja wajar diberi kepada beliau seorang, tetapi kepada semua pejuang-pejuang yang telah ditekan atau kehilangan mata pencarian demi berjuang bersama kita. Sudah sampai masanya kita memikirkan untuk menjaga kebajikan pejuang-pejuang kita yang bukan sedikit mengalami kesukaran dan kesempitan hidup walaupun sekarang kita telah menguasai 5 buah negeri dan semakin hampir ke Putrajaya. Fikir-fikirkanlah apa jua bentuk bantuan dan peluang yang boleh kita beri kepada mereka mengikut kemampuan yang kita ada.
Mudah-mudahan perjuangan kita akan terus diberkati selagi kita tahu berterima kasih dan menghargai teman-teman seperjuangan. Jangan kita diumpamakan seperti.`habis madu, sepah dibuang'. Siapakah kita sekarang yang kini berada hampir di puncak kekuasaan tanpa pejuang-pejuang seperti ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan