710 tidak boleh mengundi?
Beh Lih Yi
Kemungkinan sekurang-kurangnya 710 pengundi dibimbangi tidak dapat mengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh esok kerana wujud dua set senarai daftar pemilih.
Satu ialah senarai daftar pemilih yang telah diwartakan dan yang satu lagi senarai yang dikemaskini oleh Suruhanraya Pilihanraya (SPR), yang akan digunakan dalam pilihanraya kecil esok.
Dan yang menjadi masalah ialah nama mereka terdapat dalam senarai daftar yang diwartakan, tetapi didakwa tidak ada dalam senarai daftar pemilih yang dikemaskini, yang akan digunakan SPR esok.
Ekoran itu berlaku 'pertikaman lidah' antara Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor dan kumpulam wartawan ketika beiau cuba menjelaskan perkara itu sewaktu mengadakan sidang akhbars selama 90 minit di Permatang Pauh pagi tadi.
Wartawan menemui Kamaruzaman di di Institut Latihan Guru Tuanku Bainun, yang akan digunakan sebagai pusat penjumlahan undi esok.
Pada akhir sidang akhbar tersebut, beliau berkata, mereka yang tidak berpuashati dengan penjelasan mengenai keraguan itu yang dibangkitkan oleh PKR semalam, boleh membawanya ke mahkamah.
Pertikaman lidah itu bagaimanapun, tidak berakhir di situ tetapi berterusan sewaktu Kamaruzaman mengadakan pertemuan berasingan selama 40 minit dengan pemimpin PKR - R Sivarasa dan Fuziah Salleh - kemudiannya,
'Ini satu pembohongan'
Kontroversi tersebut tercetus ekoran dakwaan PKR semalam bahawa terdapat sejumlah 868 nama yang tidak dapat dikesan dalam daftar pemilih, yang telah 'dikemaskini' pada 31 Julai - yang akan digunakan esok - berbanding dengan daftar pemilih yang diwartakan pada 19 Jun.
Biasanya, daftar pemilih yang diwartakan, akan digunakan sebagaidaftar pemilih rasmi dalam pilihanraya yang diadakan. Daftar pemilih yang diwartakan adalah senarai muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, walaupun wujud pertikaian mengenainya.
Bagaimanapun, anehnya, SPR memutuskan untuk menggunakan senarai pemilih yang 'dikemaskini' - dan belum diwartakan - untuk pilihanraya kecil esok dan ini telah mencetuskan persoalan mengenainya.
Selain itu, PKR juga mendakwa, senarai pemilih itu turut mengandungi 400 pengundi pos yang diragui dan mendakwa kecacatan itu akan menjejaskan kira-kira 2,000 pengundi untuk parti tersebut.
Ketika mengulas dakwaan bahawa 868 nama dibuang dari daftar senarai yang 'dikemaskini', Kamaruzaman menjelaskan hari ini, bahawa hanya 158 nama yang dibuang dari senarai terbaru itu.
Alasan mengapa nama-nama tersebut dibuang, antaranya ialah, silap pendaftaran, kematian dan mereka yang berusia lebih 100 dan SPR berpuashati yang mereka telah meninggalkan dunia.
Kamaruzaman yang kelihatan agak marah dengan dakwaan PKR itu berkata: "Ini satu pembohongan, Ia dilakukan untuk mencemar nama baik SPR".
Seramai 58,459 pengundi layak membuang undi esok - bertambah 10 orang daripada daftar memilih dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Suasana di sidang akhbar tersebut semakin panas apabila para wartawan berulangkali
Ditanya mengapa daftar pemilih yang tidak diwartakan itu yang akan digunakan dalam pilihanraya kecil kali ini, Kamaruzaman meminta pihak media menunjukkan kepadanya peruntukan undang-undang yang memerlukan beliau mewartakan daftar pemilih tersebut.
Katanya, nama-nama yang telah dipotong dari daftar pemilih tersebut dibuat mengikut kuasa yang diberikan kepadanya sebagai ketua pendaftar pemilih.
Menurut Kamaruzaman lagi, beliau juga tidak perlu mempamerkan daftar baru pemilih.
Sidang akhbar itu tamat selepas 90 minit berlangsung, dengan para wartawan masih keliru berhubung perkara tersebut.
Ramai dijangka mengundi
Dalam sesi berasingan dengan dua pemimpin PKR tersebut, Kamaruzzaman berkeras mengatakan bahawa SPR telah mematuhi undang-undang berhubung perjalanan pilihanraya, termasuk penyediaan daftar pemilih.
Kedua-dua pihak berkeras dengan pendirian masing-masing dan pertemuan itu berakhir dengan pemimpin PKR itu bersetuju untuk mengemukakan nama 868 terbabit, yang menurut mereka telah dipotongkan ole SPR daripada daftar pemilih petang ini untuk pengesahan.
Permintaan wartawan supaya satu lagi sidang akhbar diadakan petang ini untuk menjelaskan perkara itu tidak dilayan bila Kamaruzaman berulangkali berkata beliau akan menyemak perkara itu terlebih dahulu.
Bagaimanapun, selepas berulangkali didesak oleh Fuziah dan Sivarasa, Kamaruzaman menarik balik kenyataannya sewaktu sidang akhbar sebelumnya bahawa PKR berbohong.
Sementara itu, Kamaruzaman berkata, beliau menyangka peratusan keluar mengundi yang tinggi esok. Dalam pilihanraya umum lalu, seramai 81 peratus keluar mengundi.
Katanya, keputusan pilihanraya kecil esok dijangka dapat diumumkan antara jam 9.30 dan 10.30 malam.
Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan