Roy Rasul
KUALA LUMPUR - Hari Wanita Kebangsaan negara jatuh pada tarikh 25 Ogos lalu bertemakan 'Wanita Penjana Ekonomi Negara'. Tarikh tersebut sebenarnya diperkenalkan bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno, Tun Tan Sri Dr Fatimah Hashim.Apa pun, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melihat perayaan Hari Wanita Kebangsaan kali ini, bagaikan tidak menyeluruh.
Setiausahanya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, meskipun diraikan saban tahun, namun sambutan kelihatan sepi dan hambar. Ini dakwanya, mungkin tarikh itu berpihak kepada sejarah perjuangan Pergerakan Kaum Ibu Umno semata-mata dan dilihat tidak mewakili sejarah perjuangan wanita keseluruhannya.
"Lebih malang bila mana Perjuangan Umno kini dilihat gagal untuk mengurus tabdir negara, rasuah, salah guna kuasa, peningkatan jenayah,ancaman keselamatan terhadap wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan pelbagai penyakit sosial yang parah.
"Peranan dan fungsi kaum wanita dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sememangnya tidak dapat dinafikan," katanya.
Katanya, peranan dan fungsi cergas wanita bermula sejak sejarah awal Tanah Melayu, hatta ketika negara kita berada dalam cengkaman penjajah, era perjuangan menuntut kemerdekaan, era membangunkan ekonomi negara dan sehinggalah sekarang dalam zaman teknokrat, langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.
Berdasarkan perangkaan tahun 2006, katanya, jumlah penduduk Malaysia ialah seramai 26.64 juta dan 13.08 juta (iaitu 49.1%) daripadanya merupakan kaum wanita.
Guna Tenaga Wanita Malaysia 2006 jelas membuktikan betapa 45.8% daripada populasi wanita itu merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung iaitu bekerja di pelbagai sektor pekerjaan.
Selebihnya pula katanya, merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara tidak langsung sama ada masih belajar, melanjutkan pelajaran, suri rumah sepenuh masa (68.6%) dan lain-lain.
"Kaum wanita tanpa mengira ideologi politik yang sempit mesti terus diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan. Usaha pemerkasaan dan pemberdayaan wanita mesti dibuat secara menyeluruh; di Kota dan di Desa, berkerjaya atau tidak, yang kaya mahupun yang miskin, yang kuat mahupun yang lemah, yang tua mahupun yang muda semuanya mesti diangkat martabat kehidupan mereka," katanya.
Kerajaan yang menghargai pengorbanan wanita semestinyalah bersikap mampu dan mahu memastikan wujudnya dunia dan persekitaran yang selamat untuk kaum wanita. Ironinya, keselamatan dan keamanan untuk kaum wanita semakin diperjudikan oleh pihak pemerintah.
Statistik rogol sahaja dakwanya meningkat sehingga 9 mangsa wanita setiap hari. Statistik Kehilangan kanak-kanak 3-4 orang sehari!
"Inikah hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada kaum wanita Malaysia selepas 50 tahun memerintah negara," soalnya Atirah. Beliau berkata, kaum Wanita mahukan satu perubahan iaitu keselamatan terjamin ke atas anak-anak dan ahli keluarga serta anggota masyarakat.
"Tidak ada ertinya menyambut Hari Wanita Kebangsaan setiap tahun jika segala titik bengit ini tidak mampu diperbetulkan oleh kerajaan. Sesungguhnya, Kita tidak mahu menerima madu di tangan kanan dan pada masa yang sama diberikan racun pada tangan kiri," katanya.
Sementara itu, Presiden Tenaganita, Irene Fernandez berkata, selari dengan pengiktirafan Hari Wanita Umno, sambutan hari pekerja kebangsaan sehingga sekarang masih gagal untuk membela kaum wanita dengan tuntutan semasa.
Bahkan katanya kepada Harakah 25 Ogos lalu, nasib pekerja wanita agak terjejas dengan pekembangan ekonomi negara yang tidak stabil.
"Contohnya lebih 80 peratus wanita terlibat dalam sektor pengeluaran, tetapi gaji mereka sangat rendah iaitu dalam purata RM800, ditambah pula dengan tekanan kenaikan harga barangan yang terpaksa mereka pikul.
"Mereka bekerja pula selama 12 jam sehari dan tenaga mereka sekali lagi diperah apabila sampai ke rumah dan inilah hakikat yang ditanggung pekerja wanita," katanya.
Tuntutan tersebut katanya, menjadikan penjanaan ekonomi mereka terjejaS. Begitu juga katanya, nasib kira-kira 30,000 wanita yang bekerja di sektor perladangan dan pertanian.
Rata-rata mereka dakwanya, berada dalam ketogori yang agak bahaya kerana terpaksa berhadapan dengan bahan-bahan kimia seperti racun perosak dan sebagainya.
"Jadi bagaimana mereka hendak menjana ekonomi jika kesihatan mereka teramcam," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan memberi perlindungan kepada mereka dan kerajaan juga tidak boleh meminggirkan kaum wanita daripada menikmati hak mereka sebagai pekerja.
Ini katanya, biarpun wanita menceburi semua bidang pekerjaan tetapi mereka masih dipinggirkan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (Jim), Che Asmah Ibrahim berkata tidak dinafikan golongan wanita banyak menyumbang untuk menjana ekonomi negara.
Bagaimanapun katanya, apabila wanita itu keluar bekerja khususnya untuk menyara keluarga kerajaan hendaklah mempastikan tempat kerja mereka terjamin.
Terutamanya beliau berkata, di segi jaminan keselamatan keluarganya, kemudahan menjaga anak dan sebagainya.
"Perkara-perkara ini akan dapat menyokong wanita untuk keluar bekrja dan dalam erti kata lain kita tidak hendak dengan penglibatan wanita dalam menjana ekonomi ini akhirnya institusi keluarga diabaikan.
"Jadi perlu ada kumpulan sokongan melihat kepada aspek-aspek kebajikan wanita yang bekerja," katanya.
Dalam konteks ini katanya, elemen-elemen kebajikan untuk wanita yang bekerja terabai. Seterusnya beliau berkata, wanita yang keluar bekerja hendakkah dilengkapi dengan pelbagai kemahiran.
"Kadang-kadang wanita yang bekerja menghadapi tekanan lebih termasuk keluarga, diri dan kerjayanya.
"Mereka ini mesti dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang mencukupi supaya keseimbanagn dapat dicapai termasuk juga pengurusan kewangan keluarga itu sendiri," katanya.
Dalam pada itu katanya ketika dihubungi Harakah, bukan saja wanita yang bekerjaya dilihat sebagai penjana ekonomi negara, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi.
Tegas beliau, ini kerana mereka juga menjamin kesejahteraan sosial bagi mewujudkan peningkatan ekonomi negara. - (tmj)_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan