HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2008

Jakim: Ramlang boleh dikena tindakan tatatertib
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kempen pilihan raya Permatang Pauh yang berakhir semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata penjawat awam yang terlibat dengan program kempen pilihan raya adalah bercanggah dengan peraturan kerajaan.

"Bagaimanapun Jakim akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penglibatan beliau dalam perkara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dua hari lalu Ramlang yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul memberi kejutan dengan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Ramlang muncul di Masjid Perda di Permatang Pauh yang turut dihadiri Anwar juga mendedahkan bahawa beliau 'dipaksa' menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful.

Wan Mohamad menjelaskan Jakim akan menggunakan prosedur biasa untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi membantu siasatan.

"Kita juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada imam berkenaan.

"Kalau ada bukti yang menunjukkan beliau terlibat secara langsung kita rujuk dengan lembaga disiplin," katanya.

Ditanya kemungkinan perkhidmatan Ramlang akan ditamtkan atau ditukarkan, beliau enggan mengulas lanjut.

"Kita perlu tunggu keputusan lembaga disiplin sama ada kes ini berat atau ringan," katanya.

Ramlang dilantik oleh Jakim sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Tiada ulasan: