HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2008

Histeria di SMK Tanjung Lumpur terus jadi mesteri
Shamsiah Zulkafli


KUANTAN – Misteri gangguan histeria ke atas para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini masih belum terjawab dan seolah-olah tidak berkesudahan.

Gangguan histeria yang berlaku setiap hari sejak tiga bulan lalu itu tidak menampakkan jalan penyelesaian sehingga hari ini, sekali gus mencetuskan persoalan adakah sekolah itu wajar ditutup dan para pelajarnya dipindahkan ke sekolah lain.

Hari ini, empat lagi pelajar perempuan diserang histeria dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Perkembangan terbaru itu dilihat mewajarkan tindakan seumpama itu diambil memandangkan sebahagian para pelajarnya akan menduduki beberapa peperiksaan penting hujung tahun ini.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang bersimpati dengan nasib pelajar turut meminta kumpulan Darul-Syifa cawangan Pahang menyelesaikan masalah tersebut secara total.

“Saya sudah memanggil kumpulan Darul Syifa bersama seorang pengamal perubatan tradisional untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Namun semua pihak perlu bersabar kerana proses pemulihan ini mungkin mengambil masa agak panjang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif serta wakil SMK Tanjung Lumpur bagi menyelesaikan masalah tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, langkah tersebut perlu disegerakan apatah lagi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad turut meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan beberapa jabatan lain menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau mengakui kejadian histeria yang dialami pelajar sekolah berkenaan berpunca daripada gangguan makhluk halus yang terdapat di sekitar sekolah itu.

Menurutnya, daripada 35 pelajar yang mengalami histeria sebelum ini, pihaknya telah mengenal pasti 12 pelajar yang masih terus mengalami gangguan yang sama.

Kata beliau, sehubungan itu pihaknya akan menjalankan proses pemulihan termasuk dengan mengadakan sesi motivasi, solat hajat dan bacaan Yasin secara berterusan.

Katanya, pendekatan berdoa kepada Allah bagi mengatasi masalah tersebut secara berterusan akan dapat mengelakkan berlaku syirik.

“Saya percaya manusia tidak lemah berbanding jin sebab itu juga kita tidak mahu menggunakan khidmat jin bagi menentang jin,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika diminta mengulas kejadian terbaru hari ini berkata, pihaknya akan mencari alternatif menempatkan pelajar terlibat di tempat lain dan bukan di Wad Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum ini.

“Bagi mengelakkan kontroversi dan rasa tidak puas hati ibu bapa, kita mungkin menyediakan pusat pemulihan di lokasi lain untuk rawatan,” ujarnya.

Pada 25 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan SMK Tanjung Lumpur diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan mengalami sakit-sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, bacaan Yasin serta menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan semangat para pelajar sekolah yang diserang histeria tersebut, namun sehingga kini semua usaha itu gagal.

Tiada ulasan: