HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Apa khabar Ibrahim Abu Shah?

Ahmad Lutfi Othman


Apabila kekerapan penerbitan Harakah dikembalikan dua kali seminggu, ia dilihat langkah terbuka kerajaan untuk membuka ruang lebih selesa buat perdebatan awam.

Bagaimanapun ada pihak menanggapnya sebagai pendekatan lunak Umno-BN untuk 'memikat' PAS, yang sarat dengan motif politik, sekali gus mahu menjarakkan hubungan parti Islam itu dengan sekutu Pakatan Rakyat.

Tidak sukar membuktikan kebebasan bersuara di negara ini masih dicengkam kuat.

Selain undang-undang drakonian, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, ISA, OSA, Akta Polis, dan Auku masih berleluasa, sikap bebal pemimpin utama Umno-BN terhadap "pandangan kedua" cukup menjolok mata

Lihat saja bagaimana perbezaan pandangan dalam Umno dipancung, membuatkan suara kritikan tenggelam, dan amalan setia membabi-buta dibudayakan.

Sepatutnya keputusan tsunami politik 8 Mac mengajar Umno untuk tidak lagi memperbodohkan rakyat, namun ia langsung tidak memberi iktibar buat parti yang kehilangan tiga negeri, Perak, Kedah dan Selangor.

Media utama yang dikongkongnya terus menyiarkan berita, analisis dan pandangan selari dengan keinginan halua telinga penguasa.

Ya, mungkin Harakah tidak dirampas lagi, Suara Keadilan dapat terbit lebih kerap walaupun permitnya tidak membenarkan, Sinar Harian bebas menyiarkan perkembangan kerajaan Pakatan Rakyat, namun "cahaya di hujung terowong tidak secerah disangka".

Dorongannya adalah desakan politik, bukan sikap keterbukaan menghormati atau meraikan kritikan lawan.

Di bawah Menteri Penerangan baru, debat politik membabitkan tokoh ternama pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, disiarkan secara langsung.

Langkah baik yang boleh mengangkat martabat demokrasi harus disokong, dan harus disuburkan sebagai satu tradisi, bukan pesta berhelah yang bermusim. Lagi pun suara nurani rakyat kini sukar disekat.

Demonstrasi mahasiswa UiTM - khabarnya tercetus di segenap kampus seluruh negara - yang menyanggah keras cadangan awal Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim untuk membuka kemasukan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera, dari satu sudut, boleh juga dilihat sebagai cerminan kebebasan buat anak-anak muda.

Saya cuba mencari elemen positif daripadanya, dengan mengalu-alukan sikap proaktif gerakan mahasiswa, meskipun mereka mengecam pimpinan Pakatan Rakyat.

Namun, hairan juga, tiba-tiba saja UiTM yang terkenal dengan pentadbiran 'kuku-besi' Naib Canselor Ibrahim Abu Shah, bukan hanya membenarkan "amarah orang muda" dilepaskan, malah "memaksa" mereka turun ke jalan!

Satu senarai panjang boleh diunjurkan jika mahu berbicara soal tekanan Ibrahim terhadap warga UiTM. Ada pensyarah yang dilihat propembangkang dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke Sabah atau Sarawak, tanpa diberi peluang bela diri.

Sekatan pilihan raya kampus diperketatkan sehingga pelajar bukan Aspirasi takut mengambil borang pencalonan, apatah lagi bertanding.

Sikap bebal Ibrahim yang berbangga dengan "semangat Melayu" dapat ditonton dengan jelas dalam debat perdana RTM satu waktu dulu.

Seolah-olah, baginya, bangsa bukan Melayu yang "banyak menuntut hak" merupakan seteru yang perlu dihantar balik ke negara asal.

Kepungan mahasiswa bukan sekadar tertumpu di UiTM. Ia juga mengasingkan para pensyarah dalam dunia gelap-gelita. Modal insan berotak geliga dipasung di menara gading.

Lagi sekali, suasana keterbukaan yang cuba dijelmakan di luar kampus langsung tidak bersambut oleh para naib-naib canselor. Universiti mungkin kian diperindahkan dengan hiasan fizikal, namun jiwa penghuninya meraung kelemasan.

Beberapa profesor yang kerap Harakah hubungi untuk mengulas perkembangan semasa, yang selari dengan bidang pengkhususan masing-masing, mendapat surat amaran atau tunjuk sebab.

Kesalahan mereka kerana tidak memohon kebenaran naib canselor sebelum bercakap dengan media!

Ada pensyarah yang disekat kenaikan pangkat, dinafikan hak memegang jawatan pentadbiran dalam fakulti hanya kerana berbicara dengan Harakah.

Dan ia berlaku, di dua buah universiti terkemuka dalam negara, yang kian merosot tahap pencapaiannya dalam ranking dunia. - mks._

Tiada ulasan: