HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Ogos 2008

Majlis Fatwa Kebangsaan: Lafaz sumpah hanya selepas proses perundangan
mstar online


KUALA TERENGGANU: Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.

"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.

"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: