HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Ogos 2008

Tiada permit perarakan sambut kemenangan dikeluarkan
mstar online


BUKIT MERTAJAM: Polis tidak akan mengeluarkan permit kepada mana-mana pihak untuk mengadakan perarakan menyambut kemenangan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh esok.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata langkah itu bagi mengelak parti yang menang mengadakan perarakan besar-besaran sehingga boleh menggugat keselamatan negara.

"Kedua-dua parti terlibat iaitu Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menang pilihan raya, jadi tak perlulah buat sambutan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pasukan RELA Permatang Pauh di sini, hari ini.

Beliau berkata penyokong parti yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu tidak digalakkan datang beramai-ramai ke Permatang Pauh bagi memberi sokongan kepada calon mereka.

"Pengundi sudah ada lebih 50,000 orang, jangan lah tambah lagi dengan datang beramai-ramai sehingga menganggu proses pengundian.

"Bila ramai sangat penyokong datang sehingga membanjiri Permatang Pauh, pengundi mungkin takut untuk keluar mengundi dan ini akan menghalang proses demokrasi berjalan lancar," katanya.

Beliau juga menasihati pengundi yang selesai menunaikan tanggungjawab mereka supaya terus pulang ke rumah dan mengelak daripada menghadiri sebarang perhimpunan.

"Kita mahu pengundi masuk dalam bilik mengundi dalam keadaan baik dan keluar juga dalam keadaan baik," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). BERNAMA

Tiada ulasan: