HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Bajet 2009 dibentang petang ini, dijangka gembirakan semua

mstar online


PETALING JAYA: Bajet 2009 yang dibentangkan petang ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen diharap dapat menggembirakan dan melegakan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan pertengahan berikutan harga makanan dan bahan bakar yang tinggi.

Ia merupakan bajet pertama selepas pilihan raya umum ke-12 yang diadakan 8 Mac lalu dan di sebalik kesan kenaikan harga minyak secara mendadak sejak awal tahun ini.

Malah ia merupakan bajet pertama diumumkan Abdullah dengan kehadiran semula bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Dalam bajet kali ini, penganalisis berkata, kerajaan akan memperkukuh dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang distruktur dengan baik bagi membantu Rakyat mengatasi bebanan akibat kos hidup yang tinggi.

"Memandangkan kerajaan sentiasa ikhlas dalam usaha untuk membantu rakyat, ia tidak akan mengabaikan bantuan dan keselamatan kepada mereka yang terdedah kepada kesan ekonomi iaitu mereka yang memerlukan sokongan jaringan keselamatan sosial.

Objektif kerajaan ialah sentiasa memantau perkembangan dan meningkatkan kerangka kerja pengawal aturan bagi memastikan manfaat sosial yang diperlukan dan tidak mengehadkan bantuan kewangan langsung kepada mereka yang miskin," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bagi menangani kesan persekitaran ekonomi yang mencabar bagi kumpulan miskin dan berpendapatan rendah, kerajaan dijangka memperuntukkan bajet bagi menyokong sektor sosial dan melaksanakan program-program sasaran.

"Kumpulan berpendapatan sederhana juga dijangka menerima lebih banyak bantuan daripada kerajaan yang akan memperkenalkan mekanisme yang akan memanfaatkan mereka dalam menghadapi senario ekonomi semasa," katanya.

Kakitangan awam pula mengharapkan bonus, terutama menjelang musim perayaan.

Usaha lain yang dijangka diperkenalkan termasuk peningkatan sistem pengangkutan awam yang meliputi perkhidmatan rel dan bas kerana ia akan mengurangkan beban golongan pekerja berikutan harga petrol yang tinggi.

Dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, kerajaan akan meneruskan dasar mesra perniagaan.

Berbanding negara lain di rantau ini, Malaysia dianggap destinasi FDI di rantau ini dan dalam bajet kali ini, diharapkan kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif bagi mengekalkan saingan.

Menurut penganalisis itu, bajet ini akan menguji kerajaan selepas berhadapan tempoh yang sukar pada pilihan raya umum lepas, dengan kemerosotan pretasi, dan dipantau rapi semua pihak, termasuk ahli ekonomi.

Tiada ulasan: