Duit Raya RM47 juta Hanya Untuk Kerabat JKKK
Ditulis oleh WanKay
Kuala Terengganu - Sejumlah RM46.594 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Terengganu sebagai bantuan duit raya kepada 153,201 rakyat, sebenarnya telah dibolot oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta kaum kerabatnya.
Bantuan tersebut yang disalurkan melalui dana khas kerajaan persekutuan (wang royalti) sepatutnya diagihkan secara adil dan telus, namun sebaliknya, ramai golongan miskin dan kurang upaya yang tersisih.
Beberapa penduduk mendakwa mereka tidak tersenarai sebagai penerima bantuan dana khas itu meski pun tergolong di kalangan berpendapatan rendah.
Selain itu, Buletin Online telah menerima aduan orang ramai yang telah menerima bantuan duit raya tersebut pada tahun lalu, kini dipotong dari senarai penerima kerana dikatakan condong kepada PAS pada Pilihanraya Umum yang lalu.
Encik Awang Muda, 57, dari Kampung Padang Hangus yang berpendapatan tidak menentu sebagai buruh kasar.
Katanya, pendapatan kurang RM1,200 sebulan bekerja sebagai buruh kasar amat perit dalam menyara enam anak yang masih bersekolah.
“Masa kerajaan PAS dulu, kami sekeluarga pernah dapat bantuan dana khas tetapi kini tidak lagi. RM1,200 sebulan tidak cukup tanggung enam anak,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang penoreh, Encik Jusoh Maska, 58, juga dari Kampung Padang Hangus mendakwa tidak pernah mengecapi ‘nikmat’ wang dana khas hasil royalti minyak sejak ia diagihkan kerajaan dengan nama wang ehsan lapan tahun lalu.
“Saya hanya bekerja menoreh pokok getah untuk membesarkan tiga orang anak lagi. Saya tidak pernah dapat duit ‘ehsan’ (dana khas) sejak dulu lagi.
“Saya sekarang ini ada mengidap kencing manis dan penyakit lelah,” ujarnya yang sekali sekala batuk.
Rakannya, Mohd Nor Yunus, 62, juga seorang penoreh getah kini masih menyara 9 orang anak dengan hasil pendapatan dari pekerjaan tersebut.
“Pok Nor pernah dapat sekali dulu tetapi sekarang tidak lagi dan sudah dipotong sebab berlainan parti dengan pemerintah hari ini.
“’JKKK pernah kata orang PAS tujuh keturunan pun tidak akan dapat lagi duit ehsan (dana khas) ini,” dakwanya.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) ‘cakap tidak serupa bikin’ dan sikap JKKK yang berdendam.
Saudara Marzuki Embong, 31, mendakwa tidak pernah diberitahu oleh Pengerusi JKKK Kampung Padang Hangus tentang pengagihan borang dana khas bantuan raya sebelum ini.
Katanya, sebahagian rakyat tidak tahu dan mungkin yang tahu hanya di kalangan orang-orang UMNO sahaja.
“Kami memang langsung tidak ada maklumat tentang pengagihan borang bantuan raya itu kerana pihak JKKK hanya beri kepada orang UMNO sahaja,” ujarnya.
Seorang warga emas, Encik Embong Abdullah, 72, kini sudah tidak mampu bekerja serta mengharapkan bantuan anak-anak.
“Pak cik sudah tidak bekerja dan harap bantuan anak-anak sahaja. Pak cik pun sedar anak-anak bukan senang sangat kerana masing-masing ada tanggungjawab dan keluarga.
“Bantuan dana khas yang kerajaan berikan itu Pak cik tidak pernah dapat pun mungkin pihak JKKK ingat kami orang senang,” ujarnya.
Rakannya, Encik Mohamad Ali, 61, dari Kampung Seberang Tepoh mendakwa tidak pernah menerima bantuan raya dana khas tersebut.
Menurut beliau sudah enam bulan tidak bekerja kerana masalah kesihatan tetapi masih dikira tidak layak sebagai penerima bantuan berkenaan.
“Saya hanya buat kerja kampung seperti menanam sayur, menoreh getah untuk tanggung keluarga dengan anak seramai lapan orang dan ada yang masih bersekolah lagi,” jelasnya.
Encik Ariffin Seman, 70, mendakwa pemimpin masyarakat seperti JKKK yang dilantik kerajaan negeri tidak ‘cakna’ (prihatin) dengan orang kampung.
Katanya, jika terdapat sebarang bantuan hanya berlegar di kalangan ‘puak-puak’ (kumpulan) Umno sahaja.
“Pok Pin tidak pernah dapat sekali pun duit dana khas raya walau pun ada jiran-jiran yang lebih senang dapat duit itu.
“Pada Pok Pin, ‘puak’ JKKK tidak ‘cakna’ (prihatin) dengan rakyat dan tidak mesra,” ujarnya.
Encik Ngah Abdullah, 51, juga dari Kampung Seberang Tepoh mendakwa ‘dipotong’ bantuan dana khas yang pernah diperolehinya.
“Semasa PAS memerintah boleh tetapi selepas itu bila kerajaan Barisan Nasional menang terus dipotong kerana politik,” ujarnya.
Kata beliau, pekerjaannya sebagai seorang penoreh getah tidak semewah pegawai kerajaan tetapi sekadar cukup makan sahaja.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Encik Zulkifli, 38, dari Kampung Bukit Berangan mengadu nama beliau dan beberapa orang yang lain telah di potong dari senarai penerima duit raya tersebut.
Beliau yang ditemui berkata, sebelum ini, setiap tahun apabila menjelang Aidil Fitri, beliau beliau akan dipanggil ke balai raya.
Namun sebaliknya pada tahun ini, beliau mendapat tahu bahawa nama beliau dan beberapa orang lain yang menghantar anak-anak mereka belajar Fardhu Ain di rumah ‘orang PAS’, telah dikeluarkan dari senarai penerima.
“Saya hantar anak mengaji di rumah ‘orang PAS’ kerana tidak ada pilihan lain setelah kelas Fardhu Ain yang diadakan dirumah Pengerusi JKKK ditamatkan,
“Takkan saya nak biarkan anak-anak tak mengaji? Atau memang pihak JKKK tak mahu anak-anak pandai ugama?,” soal beliau.
Menurutnya adalah tidak adil sekiranya kaum kerabat yang dekat dengan JKKK terus mendapat bantuan duit raya, sedangkan ada diantaranya yang tidak layak.
Semalam, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkata bantuan duit raya dana khas akan diagihkan pada minggu pertama Ramadan ini secara berperingkat mengikut kawasan masing-masing.
“Setiap keluarga miskin akan terima RM300, bagaimana pun jika keluarga itu mempunyai lebih
Katanya, bilangan penerima bantuan tersebut meningkat berbanding tahun lalu dan nama-nama penerima terpilih melalui tapisan senarai yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan