HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2008

Nelayan terima insentif sara hidup RM200 sebulan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara akan diberi bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan mulai 10 September ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata kerajaan dijangka akan membelanjakan RM14 juta sebulan bagi elaun itu.

Beliau berkata insentif itu diharapkan dapat membantu golongan nelayan khususnya pemilik individu bot perikanan yang berlesen dan pekerja tempatan yang bekerja di atas bot yang berlesen dalam menghadapi tekanan kenaikan harga minyak.

"Kita sedar banyak masalah-masalah yang dihadapi nelayan antaranya mengenai diesel, pencerobohan bot serta lesen bot dan saya beri jaminan akan berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kepentingan nelayan terpelihara, " katanya.

Mustapa berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kali ke23 di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya hanya 16,000 nelayan yang memiliki Kad Nelayan layak menikmati elaun itu kerana telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Kad Nelayan itu diperkenalkan pada 4 Jun lepas bagi melayakkan 70,000 nelayan berdaftar untuk menerima elaun berkenaan.

Mustapa berkata memandangkan masih ramai nelayan yang belum berdaftar, tempoh pendaftaran yang sepatutnya berakhir Ahad ini dilanjutkan sehingga Oktober depan.

"Saya meminta kepada nelayan yang belum lagi membuat pendaftaran bagi mendapatkan kad nelayan, segeralah berbuat demikian," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: