HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2008

Bebas empat, tahan enam lagi - GMI kecam tindakan kerajaan

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri terus dikecam, biarpun membebaskan empat tahanan ISA baru-baru ini kerana dalam masa sama bertindak menahan enam yang lain.

GMI dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa enam tahanan itu telah ditahan bawah akta zalim itu pada Julai lalu.

Bagaimanapun, menurut GMI pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pembebasan empat tahanan tersebut, yang dua daripadanya ditahan lebih enam tahun.

Mereka yang dibebaskan ialah Shahrial Sirin, Abdullah Minyak Silam, Zainuddin Suharno dan Jaki Hamid - kesemuanya warga Indonesia dan telah dihantar kembali ke Indonesia.

Shahrial dan Abdullah ditahan melebihi enam tahun atas tuduhan JI, manakala Zainuddin dan Jaki ditahan selama dua tahun atas tuduhan DI.

GMI mengalu-alukan pembebasan keempat-empat mereka, yang jelas tidak dibuktikan kesalahan mereka di mana-mana mahkamah terbuka di negara ini, selain berpendapat pembebasan itu juga atas desakan Kempen Bebaskan Enam Tahun ISA.

Selain itu, kata GMI tindakan kerajaan menghantar balik keempat-empat tahanan itu ke Indonesia tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh dimaafkan.

" Mereka terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk bersatu dengan keluarga mereka, tetapi tindakan kerajaan menghantar mereka ke Indonesia tidak boleh dimaafkan, khususnya terhadap keluarga Shahrial yang baru kehilangan anak perempuannya - Aina Mardhiah, 3 Julai lalu," tegas GMI. - mks._

Tiada ulasan: