HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Ogos 2008

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang esok?

Oleh G. MANIMARAN



PETALING JAYA: Tinggal kurang 24 jam sasaran tarikh 31 Ogos yang diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) Perak untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak!

Adakah ia akan menjadi kenyataan esok?

"Saya menunggu tarikh itu (31 Ogos). Ia Merdeka bagi kita semua," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Ipoh hari ini.

"Pada 31 Ogos, Pakatan Rakyat akan tetap mempunyai 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kami akan menyambut hari kemerdekaan yang sebenar," tambah beliau.

Menteri Besar itu menekankan, esok sebenarnya merupakan hari kemerdekaan yang sebenar bagi rakyat negeri Perak.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya membentuk kerajaan baru - kerajaan campuran - selepas menang 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN hanya mampu menguasai 28 kerusi. Pembangkang turut menang di 11 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 13 kerusi.

Awal bulan ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali
melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu akan jatuh menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang jatuh esok.

Bulan lalu, beliau yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN.

Malah akhir bulan lalu, Tajol Rosli ada menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS jika bersedia untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN.

Nizar merupakan wakil PAS dan dilantik sebagai Menteri Besar.

Turut ditawarkan ialah tiga ataupun empat jawatan Exco kepada parti tersebut.

Selepas tanggal 31 Ogos, rakyat akan menanti sama ada sasaran Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai tarikh 16 September membentuk kerajaan baru persekutuan akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: