Irwan Muhammad Zain
KUALA LUMPUR - Sesi sebutan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dijadual bermula hari ini terpaksa ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memfailkan semakan semula terhadap keputusan hakim berkenaan buat kali kedua ke Mahkamah Tinggi.
Pihak pendakwa dan peguam bela penasihat KeADILan terus bertelagah mengenai urusan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi walaupun Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, S.M Komathy Suppiah mendapati sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.
Pada awal sesi sidang mahkamah pagi tadi, Peguam R. Sivarasa yang mewakili pihak pembelaan mempersoalkan tentang pelanggaran akujanji pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dato' Mohamed Yusof Zainal Abiden yang berjanji akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Sivarasa berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 51(A) yang menjelaskan segala dokumen yang berkaitan mestilah disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan.
Bagaimanapun Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah peruntukan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terutamanya bagi sub-seksyen 35(2) yang memperuntukan bahawa memandangkan ada permohonan semakan semula, semua prosiding di mahkamah rendah hendaklah digantung.
Pada 11 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang dibuat Komathy pada 7 November lalu.
Kemudian pada 12 November, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) memaklumkan bahawa Hakim Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 20 hingga 21 November depan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung semakan tersebut.
Alasan yang diberikan Mohamed Yusof masih tidak memuaskan hati pihak pembelaan yang tetap menggesa pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan kerana kes tersebut akan tetap dibicarakan. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan