Safar Jumaat
DAKWAAN bekas Ahli Parlimen (Umno) Parit Sulong, Dato' Ruhanie Haji Ahmad kononnya pencalonan dua calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikaitkan dengan politik wang, adalah dakwaan berat yang perlu dibersihkan.
Kebetulan, pencalonan Mohd Ali dan Muhammad hanya mencukupi quota minimum disaat-saat akhir yang dilihat seperti ada 'kuasa luar' yang menyebabkan ianya mencukupi walaupun tidak mudah mendapatkannya.
Ruhanie yang dikenali dengan panggilan Ron ini turut menawarkan diri bertanding anggota Majlis Tertinggi (MT), tetapi tidak mendapat cukup pencalonan, hinggalah saat-saat akhir.
Sehingga habis semua kecuali lima bahagian mengadakan persidangan, 73 nama berjaya dimasukkan dalam senarai pertandingan MT, yang mensyaratkan sekurang-kurang 10 pencalonan atau lima peratus.
Ron tidak pula menyebut, pencalonan turut terkait dengan isu politik wang, seolah-olah, yang mencalonkan Muhyiddin 'bersih' tetapi yang mencalonkan selain dari Muhyiddin, 'disyaki' ada unsur-unsur lain, khususnya politik wang.
Persoalannya, mengapa Ron tidak bertindak mengadukan hal ini kepada Lembaga Disiplin (LD) yang sudah mengesahkan menerima 1,000 aduan mengenai berlakunya politik wang, tetapi belum kelihatan membicarakan sesiapa dari kalangan jerung untuk dihalang daripada bertanding dalam pemilihan Mac depan.
Bukan Ron sahaja, ramai lagi orang-orang besar dalam Umno yang mengesahkan mereka tahu ada berlaku politik wang.
Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, mempelawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) komited dalam menyalankan siasatan seterusnya menyeret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Exco Pergerakan Pemuda Umno mula membayangkan dia seorang yang bersih dari politik wang, malahan menolak sebarang perlawaan debat untuk menyatakan misi dan visi, kecuali mengajak semua calon-calon supaya 'menjauhkan diri dari politik wang'.
Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim pula membayangkan dialah yang paling bersih kerana setiap kali kenyataan yang dikeluarkannya, seolah dia dan pegawai-pegawainya tidak pernah menghulur sesiapa di peringkat bahagian supaya 'bawa kawan-kawan makan' untuk meminta pencalonan.
Bila sahaja dia mengetahui namanya sudah layak bertanding kerana pencalonan sudah mencukupi, Rais berkata; "sokongan yang diterimanya sehingga melayakkannya bertanding pada pemilihan parti Mac depan, membuktikan masih ada ruang dalam Umno untuk pemimpin yang ikhlas dan bebas daripada rasuah politik.
"Pencalonan menunjukkan ahli melihat keikhlasan seseorang yang mahu memperkasakan Umno, tanpa meminta balasan wang ringgit sebagai ganjaran sokongan.
"Mereka ini memberikan sokongan secara ikhlas kerana yakin dengan kemampuan saya untuk membantu bakal Presiden dan timbalannya untuk mengukuhkan Umno supaya kembali diterima rakyat," katanya.
Rais yang gembira dengan perkembangan itu tidak pula menjanjikan apa-apa kenyataan pahit yang bakal dikeluarkannya nanti sebaik sahaja mengetahui, perwakilan tidak memberikan undi yang mencukupi untuknya menang kerusi Naib Presiden.
Nampaknya, Rais dan Mukhrizlah setakat ini yang nampaknya tidak bermain dengan politik wang - jika percakapan dan kenyataannya diambil kira.
Pada pandangan mereka berdua, orang lain yang turut bertanding, semuanya 'pakai duit' untuk mendapat pencalonan, tetapi mereka, tidak!
Betul ke? Atau Rais memang tidak popular di kalangan grassroot. Mustahil semua bahagian yang ingin mencalonkannya meminta wang darinya dan mustahil, bahagian-bahagian yang tidak mencalonkannya, mendapat wang dari calon-calon yang mereka (bahagian tersebut) calonkan.
Tidak ada seorang pun calon yang secara langsung atau tidak langsung tidak menggunakan unsur duit, tawaran, janji dan sebagainya untuk mendapatkan pencalonan. Malahan, dari segi 'hukum', berdosa besar Rais jika dia beranggapan, semua yang mendapat pencalonan, kecuali dirinya disebabkan rasuah politik.
Berdosa juga Rais kalau dia hanya merasakan dia sahaja yang berwibawa, berkemampuan dan boleh memperkasakan Umno.
Apakah Umno akan 'mati' bersama-sama 'matinya' Rais? Perwakilan dan ahli-ahli Umno melihat dari kacamata mereka sendiri. Ketika Rais melihat dirinya layak, mungkin ahli-ahli Umno di peringkat cawangan dan bahagian merasakan sebaliknya.
Ketika kerajaan mahu mencalonkan Rais sebagai calon Setiausaha Agung Komenwelth suatu ketika dahulu, mungkin kerana kerajaan merasakan Rais mampu, berwibawa dan boleh menjalankan tugas-tugasnya tetapi Rais pula tidak merasakan apa yang kerajaan rasakan.
Janganlah Rais mahu orang mesti berpandangan sama seperti pandangannya dan janganlah Rais mengajak semua orang (baca: ahli-ahli Umno) mempercayai bahawa hanya dia sahaja yang berwibawa, berkemampuan dan boleh memperkasakan Umno.
Cukup susah kerja yang mahu Rais lakukan itu kerana 'percaya' adalah satu modal yang cukup susah.
Kadang-kadang, kita pun hairan bagaimana orang lain boleh percaya diri kita sedangkan 'isteri' kita pun tidak percaya kepada kita. Rais pasti setuju ayat ini!
Begitu juga Ron, ketika dia mungkin ingin menjadi penulis dan orang politik yang mempunyai isme sendiri, janganlah membuat dakwaan dan tuduhan yang boleh menyakitkan hati orang lain.
Dakwaan mengaitkan Mohd Ali dan Muhammad dengan 'politik wang' kerana mendapat pencalonan yang mencukupi adalah tuduhan yang berat.
Begitu juga Rais, walaupun serkap jarangnya tidak siapa boleh menafikan, tetapi menuduh pencalonan perlukan balasan dengan wang adalah dakwaan jahat yang betul-betul tidak munasabah.
Ketika orang tidak mencalonkan Rais kerana mereka tidak pernah dapat mendampingi Rais, kerana protokol, ego dan cakap berkelok-kelok. Janganlah ingat, (baca : fikir) orang lain, segala-galanya dibeli padahal, orang lain sudah mendekati dan mendampingi grassroot ketika berjawatan dan ketika tidak ada apa-apa.
Mereka tidak 'mengambil cuti' untuk sambung belajar, padahal, sengaja mahu mencari jalan tidak mahu 'melayan karenah' orang-orang bawahan.
Akhirnya, orang-orang bawahan tahu siapa yang boleh mereka bernaung dan siapa yang boleh mereka 'buat kawan'. Rais kena tahu itu.
Dan kalau sudah tahu, beritahu Ron sama. Janganlah bercakap ikut sedap mulut kerana lidah memang tidak bertulang. - mr_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan