HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 November 2008

Minta tangguh roboh premis perniagaan

SINAR HARIAN


JALAN RAJA LAUT – Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin semalam menghantar surat rayuan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan untuk menangguhkan operasi merobohkan premis perniagaan besi buruk dan bengkel kereta di Kampung Loke Yew di Jalan Semarak, di sini.

Beliau yang ditemani lebih 10 pengusaha kedai besi buruk dan barangan terpakai serta bengkel tiba di Ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira jam 9 pagi dan menyerahkan surat terbabit kepada Penolong Pengarah di Pejabat Datuk Bandar, Md Aznan Md Zin.

Zuraida ketika ditemui berkata, beliau bukan ingin menghalang pembangunan yang ingin dilaksanakan DBKL tetapi perlu berdasarkan perancangan manakala pengusaha yang terlibat harus diberikan tempat gantian secara bertulis.

“Mereka juga berhasrat untuk mengekalkan bangunan di atas tapak tersebut dan saya ingin meminta jasa baik Datuk Bandar untuk mengkaji perkara ini serta memberi pertimbangan sewajarnya,” kata beliau.

Katanya, ada di antara mereka yang terbabit telah beroperasi selama 20 tahun serta mempunyai kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan

Zuraida berkata, pengusaha berkenaan telah berjumpa dengannya mengenai perkara itu, justeru menjadi tanggungjawabnya untuk menyelesaikan isu tersebut dan beliau merasakan tempoh selama lima hari yang diberikan oleh DBKL kepada pengusaha terbabit untuk berpindah adalah terlalu singkat.

“Kalau betul janji nak tangguhkan pemindahan mesti ada hitam putihnya dan saya minta mereka diberikan tempoh semalam dua bulan untuk berpindah supaya adil bagi kedua-dua pihak,” ujarnya.

Tiada ulasan: