BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas penyelaras Hindu Rights Action Force (Hindraf), R.S. Thananthiran hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di Parlimen pada 22 Okt lalu.
Selain Thananthiran, seorang anggota Police Watch Malaysia S.Jayathas turut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk memberi keterangan mereka.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika ditemui mengesahkan polis telah mengambil keterangan daripada kedua-dua individu terbabit.
Kedua-dua mereka tiba di IPD Sentul kira-kira 10.15 pagi dan keluar kira-kira dua jam selepas itu.
Ketika ditemui pemberita, Thananthiran berkata: "Kami berdua ditanya kira-kira 20 soalan mengenai penyerahan memorandum itu pada 22 Okt tetapi kami hanya menjawab beberapa soalan sahaja memandangkan ia adalah hak kami untuk tidak menjawab. Kami hanya rakyat biasa.
"Kenapa kami dipanggil untuk memberi keterangan, walhal kami hanya ke Parlimen pada hari terbabit untuk serah memorandum. Walau bagaimanapun, kami ucap terima kasih kepada polis kerana sikap profesional mereka hari ini," katanya.
Beliau berkata esok Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan Anggota Parlimen Teluk Intan Dr M. Manogaran telah dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan penyerahan memorandum pada 22 Okt.
"Saya rasa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar juga perlu dipanggil beri keterangan memandangkan ada lebih 40 laporan polis dibuat ke atasnya seluruh negara berhubung kenyataan beliau yang tidak tepat mengenai Hindraf," kata Thananthiran.
Pada 22 Okt penyokong Hindraf berkumpul di Parlimen atas alasan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengaktifkan semula pasport pemimpin mereka.
Kumpulan itu mendakwa pasport P. Waytha Moorthy yang kini membuang diri di Britain, sengaja tidak diaktifkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan