HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mac 2009

Politik wang akan hancurkan UMNO dan negara - Rafidah

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - "Sekiranya kita undi orang berdasarkan berapa habuan yang kita dapat, akan hancurlah parti, hancurlah negara kerana UMNO itu tulang belakang BN dan BN adalah kerajaan yang mentadbir negara."

Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung politik wang dalam UMNO.

Malah katanya, amalan tidak bermoral itu yang berleluasa dalam UMNO akan hanya menjauhkan generasi muda daripada parti itu yang akhirnya akan merugikan UMNO.

"Anak-anak muda akan mengambil sikap berkecuali padahal kita boleh menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran mereka. Tetapi kerana tidak mampu untuk membayar dalam pertandingan, mereka tidak mendapat tempat dan yang ruginya adalah kita sendiri.

"Saya adalah Ahli Majlis tertinggi (MT) yang akhir dari zaman Tun Abdul Razak. Maknanya saya lihat perjalanan budaya dalam politik kita sangat menyedihkan sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan memperkenalkan calon-calon Exco Wanita UMNO dengan Perwakilan Wanita Pahang di Dewan Kediaman Menteri Besar Pahang hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Rafidah berkata demikian ketika diminta mengulas gejala politik wang dalam UMNO dan keputusan Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan kepada beberapa pemimpin menjelang pemilihan, termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Beliau turut meminta ahli UMNO menghormati dan mematuhi keputusan Lembaga Disiplin parti yang bertindak mengenakan tindakan berdasarkan tatacara sedia ada.

Menurutnya, gejala politik wang termasuk dalam pergerakan Wanita UMNO akan hanya menghancurkan UMNO yang menjadi tulang belakang parti Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan.

"Jadi, lama kelamaan kalau politik wang menjadi budaya di negara ini, maka masa depan pemimpin Melayu akan pudar. Kita akan hanya dapat pemimpin yang kaya raya kerana ada duit dan ditaja oleh orang tertentu kerana hendakkan sesuatu,'' ujarnya.

Tiada ulasan: