BERNAMA
PUTRAJAYA – Hanya dua minggu selepas membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua di Parlimen, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan projek-projek bernilai RM3.202 bilion minggu ini kepada pelbagai kontraktor bagi menambah baik, meningkat dan memajukan kemudahan dan infrastruktur di seluruh negara.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu RM1.3 bilion diberi kepada kontraktor bagi menambah baik, meningkat dan memajukan kemudahan dan infrastruktur di 322 sekolah di seluruh negara.
Kira-kira RM95.5 juta pula akan diberi bagi projek menambah baik dan memulihkan balai-balai polis.
“Pemberian projek-projek yang begitu cepat dibuat selepas bajet mini dibentangkan di Parlimen menunjukkan betapa seriusnya pihak berkuasa bagi menangani krisis global yang juga memberi kesan kepada Malaysia,” kata Najib dalam satu kenyataan di sini.
Najib berkata, ini juga menunjukkan bukti betapa seriusnya perhatian kerajaan demi kepentingan rakyat dan bagi merangsang keyakinan dan aktiviti sektor swasta.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain itu, projek-projek yang dikenal pasti di bawah pakej rangsangan ekonomi yang pertama juga akan dipercepatkan demi faedah rakyat dan dipantau Unit Pengurusan Projek (PMU) yang diketuai Datuk Ir. Mohd. Othman Zainal Azim, yang juga Ketua Pegawai Operasi PMU.
“Setakat ini, 16,386 projek bernilai RM1.67 bilion di bawah pakej rangsangan pertama telah diberi dan dilaksanakan. Ini termasuk projek bagi membangun dan memajukan modal insan demi kepentingan rakyat dan meningkatkan daya saing,” katanya.
Najib berkata, pembangunan kampus IT HP di Cyberjaya sedang berjalan dan kontrak itu telahpun diberi.
Sejumlah 30 pelatih bagi program latihan penempatan dan pekerjaan graduan kini sedang ditemuduga.
Menjelang akhir bulan depan, semua 38,000 projek di bawah pakej rangsangan ekonomi yang pertama dijangka dikeluarkan dan dijangka siap menjelang Ogos,” katanya.
“Kami komited bagi memastikan pelaksanaan projek itu disegerakan bagi membantu rakyat dan badan perniagaan untuk mengharungi masalah yang dibawa oleh krisis ekonomi global,” kata Najib.
PMU dan Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU) dan agensi-agensi berkaitan telah dipertanggungjawabkan untuk memantau pakej rangsangan ekonomi kedua.
Najib berkata, sebagai tambahan, sebuah jawatankuasa teknikal, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, juga telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan itu.
Jawatankuasa itu akan bermesyuarat secara tetap dan melaporkan kepada Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Najib.
Dengan penubuhan PMU dan pemantauan tetap oleh Menteri Kewangan sendiri, ia akan memastikan matlamat yang ditetapkan mengikut kedua-dua pakej rangsangan itu akan tercapai.
Pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion telah diumumkan pada 4 November 2008 dan pakej kedua, RM60 bilion itu telah dibentangkan di Parlimen pada 10 Mac 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan