HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mac 2009

Peruntukan RM17.5 juta bina ladang laut

SINAR HARIAN


LANGKAWI - Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan untuk membina ladang laut (tukun) baru di seluruh negara bagi tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah membelanjakan RM5 juta dalam tempoh dua tahun untuk membina ladang laut ini.

Menurutnya, kerajaan kini memberi tumpuan meningkatkan sektor pengeluaran ikan bagi mengurangkan pengimportan bahan makanan itu.

“Kami dapati pengeluaran ikan kurang efisien dan dengan langkah yang dilakukan oleh kerajaan diharap pengeluaran ikan dapat ditingkatkan sungguh pun Malaysia adalah negara kedua pengeluar ikan terbesar dunia.

“Eksport utama negara adalah udang, namun kita masih mengimport ikan dari negara jiran kerana pengeluaran bagi penggunaan dalam negara masih lagi kurang,” katanya selepas program masyarakat nelayan Langkawi bersama kementerian di Jabatan Perikanan Bukit Malut, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Mustapa berkata, kerajaan mensasarkan sebanyak 25 pembinaan ladang laut baru bagi tahun ini dengan setiap satunya berharga RM500,000.

Menurutnya, jumlah ladang laut yang terdapat di negara ini adalah 61 buah dan dengan penambahan ladang laut baru ini, pengeluaran ikan dapat ditingkatkan.

Beliau berkata, selain penambahan ladang laut, pemberian insentif kepada nelayan juga diharap dapat meningkatkan pengeluaran.

“Nelayan yang mempunyai lesen bakal menikmati subsidi diesel sebanyak 30 sen daripada harga RM1.20 bagi setiap liter, 10 sen insentif tangkapan bagi setiap satu kilogram dan kos sara hidup sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

Pada majlis itu, 411 nelayan menerima sijil pinjaman dana nelayan, dana nelayan terbaik, sijil program HIP dan kelulusan pinjaman mikrokredit oleh Agro Bank.

Tiada ulasan: