HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mac 2009

Kerajaan negeri mohon maaf kepada 343 pelajar

SINAR HARIAN


PANDAMARAN – Kerajaan negeri memohon maaf kepada 343 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana wang sagu hati tidak sampaI ke tangan penerima.

Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu berkata, hanya 30 pelajar sahaja yang menerima wang sagu hati bernilai RM100 setiap pelajar dan selebihnya patut menerima pada malam yang sama majlis itu.

Menurut beliau, hadiah wang sagu hati sumbangan kerajaan negeri ini bertujuan menggalakkan dan memberi dorongan supaya anak-anak di Klang belajar bersungguh-sungguh.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri ingin memohon maaf kepada semua murid yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A dalam UPSR tahun lalu kerana wang sagu hati itu tidak sampai ke tangan mereka khasnya di kawasan Klang sehingga mengecewakan mereka.

“Bagaimanapun, kita sudah mengambil langkah segera. Setiap pelajar akan dihubungi melalui telefon dan surat di mana kita akan memilih satu tarikh, masa dan tempat yang sesuai untuk diadakan satu majlis penyampaian wang tersebut. Hal ini akan dibincangkan dengan Exco lain,” katanya.

Ronnie berkata, sekiranya ada pelajar yang tidak dapat hadir, pihaknya akan mengirimkan cek berdasarkan alamat yang diberikan.

Katanya, apa yang berlaku adalah kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan dan beliau turut memaklumkan berada di Johor Baru pada malam itu kerana menghadiri mesyuarat semua Exco pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau kesal dengan ketidakhadiran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan ke mesyuarat khas itu.

Sementara itu, Selangor telah menempa kejayaan, apabila empat PBT terpilih dalam 10 PBT terbaik dengan mendapat empat bintang iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tempat kedua, Majlis Bandar raya Petaling Jaya (MBPJ) tempat ketiga, Majlis Bandar raya Shah Alam (MBSA) tempat kelima dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tempat ketujuh.

Katanya, pencapaian ini merupakan satu keputusan cemerlang yang ditonjolkan oleh PBT terbabit dan beliau berharap ahli majlis dan seluruh kakitangan berusaha keras untuk mempertingkatkan lagi.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini memperuntukkan hadiah sumbangan sebanyak RM200,000 kepada 10 PBT yang terbaik.

Menurut Ronnie, setiap PBT dinilai berdasarkan keberkesanan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada masyarakat.

Setiap PBT juga digesa agar terus giat meningkat-kan prestasi yang baik dan profesional kepada masyarakat.

Tiada ulasan: