Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janjinya apabila masuk semula Umno sebaik sahaja, Presiden sebelumnya Abdullah Ahmad Badawi berundur dan Dato' Seri Najib Tun Razak mengepalai parti itu.
Kehadiran sensasi Dr Mahathir pada hari terakhir di persidangan Perwakilan Umno di PWTC mendapat sambutan hangat daripada perwakilan-perwakilan seluruh negara.
Ini menunjukkan walaupun pada suatu ketika beliau terpaksa bersara kerana dianggap sebagai watak yang tidak disukai ramai sehingga menjadi 'racun kepada undi', tetapi selepas kepimpinan lembik Abdullah selama lima tahun, perwakilan Umno amat menyenangi pendekatan kepimpinan Mahathir yang berunsur kuku besi.
Akhirnya hari ini, Perdana Menteri yang baru, Dato' Seri Najib Tun Razak terus menunjukkan belangnya apabila mendapat mesej ini daripada perwakilan.
Najib telah mengistiharkan perang ke atas tuntutan perubahan yang dilaungkan oleh rata-rata rakyat biasa pelbagai bangsa, kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan.
Serangan terbaru adalah menggunakan segala jentera kerajaan untuk menggagalkan hasrat parti-parti dalam Pakatan Rakyat mencapai kemenangan melalui pilihan raya kecil yang bersifat demokrasi.
Selain taktik kotor seperti memberi peruntukan berbilion ringgit untuk membeli undi dan memburukkan nama calon pembangkang dan menakut-nakutkan pengundi, pemerintah hegemoni Umno kali ini telah menggerakkan SPR, KDN dan polis untuk menyusahkan kerja-kerja pilihan raya Pakatan Rakyat, katanya.
"Antaranya termasuk mengharamkan surat khabar Suara Keadilan dan Harakah, syarat-syarat ceramah umum yang terlalu ketat seperti tidak dibenarkan menyentuh persoalan Altantuya, dan kemelut perlembagaan Negeri Perak dimana Umno telah mempengaruhi Institusi Raja dan Sultan Perak untuk merampas kuasa di DUN Perak dan lain-lain lagi," dakwanya.
Ini bukan sahaja jelas menunjukkan Umno dan kumpulan kecil yang diwakilinya itu sudah bersedia untuk mengekalkan kedudukan pemerintahan mereka dengan apa jua cara, ia juga menunjukkan BN telah dikawal sepenuhnya oleh birokrat-birokrat korup yang tamak dan hanya mementingkan diri sendiri, katanya.
"Mereka ini telah lama membelakangkan kepenting Negara dan bangsa dari kepentingan diri sendiri. Mereka ini tidak akan nampak kehidupan merana pekerja pelbagai kaum, mereka juga tidak akan dengar rungutan dan keluhan rakyat jelata," katanya.
Kembalinya Mahathir ke Umno merupakan satu penunjuk jelas rasuah, kronisme dan nepotisme semakin menjadi-jadi pada akhir-akhir pemerintahan Umno/BN ini, katanya.
PSM mencabar Dr. Mahathir menunjukkan sedikit keprihatinan kepada tuntutan Rakyat dengan meneruskan pendiriannya yang selama ini dipegang olehnya, iaitu membantah campur tangan Institutsi Raja dalam pembentukkan kerajaan sama ada kerajaan pusat ataupun negeri dengan tegas, lantang dan secara terbuka.
PSM juga menyeru pengundi di ketiga-tiga kawasan piliha nraya kecil iaitu: Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai , menunjukkan tekad dalam menuntut perubahan sejati dengan menolak hegemoni Umno, katanya. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan