HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 April 2009

LZS kenal pasti pertubuhan perlukan bantuan

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Sejumlah RM900,000 bantuan zakat diserahkan kepada 28 rumah kebajikan di seluruh negeri oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini, semalam.

Majlis penyampaian bantuan zakat yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Abdul Haleem Hapiz Salihin bertujuan membantu rumah kebajikan dalam usaha menangani masalah sosial.

Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar berkata, keadaan ekonomi negara hari ini tidak menjejaskan LZS untuk terus memberi bantuan zakat kepada mereka yang berhak dan memerlukan malah kutipan setiap tahun juga meningkat.

“Kita akan berikan kepada yang memerlukan untuk meringankan bebanan mereka. Jumlah yang diberikan kepada setiap pertubuhan atau rumah kebajikan berbeza mengikuti kapasiti penghuni, perbelanjaan keperluan.

“Sebahagian daripada peruntukan yang diberikan telah diluluskan tahun lepas dan terdapat 10 pertubuhan kali pertama menerima bantuan ini,” katanya.

Menurut beliau, setiap tahun akan diberikan peruntukan mengikut keperluan bagi mengelakkan mereka memohon daripada syarikat korporat.

Ahmad Shahir berkata, ini adalah tahun kedua bantuan diberikan malah LZS masih lagi mencari mana-mana pertubuhan kebajikan yang perlu dibantu.

“Bagaimanapun katanya, laporan aktiviti yang melibatkan penggunaan peruntukan kewangan tersebut perlu dihantar kepada LZS untuk dikemas kini setiap enam bulan. Ini bagi melihat perjalanan kewangan, ke mana disalurkan dan akan ditambah sekiranya perlu.

“Bantuan diberikan berdasarkan kepada permohonan yang dibuat oleh pertubuhan dan bantuan akan dihentikan sekiranya pertubuhan sudah stabil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Mais mengingatkan bahawa pihaknya berhak menarik balik bantuan sekiranya disalah guna oleh mereka dan akan dilaporkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj selaku Ketua Agama Negeri.

Rumah kebajikan yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada rumah yang menempatkan anak yatim, warga emas, bekas penagih dadah, wanita bermasalah, ibu tunggal dan pesakit Aids.

Antara yang telah menerima adalah Pengurusan Anak-anak Yatim Damai (RM60,000), Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (RM60,000) dan Pertubuhan Penawar Warisan (RM55,000).

Tiada ulasan: