HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2009

Membangunkan Pulau Warisan Dengan Menghapuskan Warisan Sejarah

BULETIN ONLINE


Dasar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu adalah dasar yang paling tidak munasabah kerana membangunkan Pulau Warisan dengan menghapuskan warisan.

Sederet bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun yang terletak disebelah kiri, hujung jalan Kampung Cina menuju ke Pasar Besar Kedai Payang akan dimusnahkan sama sekali.

Hanya ungkapan ‘Nasi Sudah Menjadi Bubur’ dapat diluahkan oleh penduduk tersebut yang ditemui Buletinonline baru-baru ini.

Rumah-rumah kedai lama bakal dirobohkan untuk pembangunan ‘double frontage’ Pulau Warisan adalah sebahagian dari bangunan telah diwartakan sebagai warisan sejarah oleh sebuah badan dunia dibawah organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun apakan daya penduduk disitu, atas nama pembangunan yang menjadi ‘kegilaan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu, pengiktirafan yang penuh bermakna tersebut akan Cuma tinggal kenangan.

Pengambilan balik tanah kerajaan bagi kerja-kerja pembesaran jalan menuju Pulau Warisan (di belakang kampong Cina Kuala Terengganu) turut mencetuskan rasa tidak puas hati 102 buah keluarga yang terlibat.

Apa tidaknya, mereka telah diarahkan berpindah tanpa dibayar walaupun satu sen pampasan atas kerugian yang mereka alami.

Bekas Ahli Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Encik Tan Poh Kok merayu pihak kerajaan mempertimbangkan bayaran pampasan kepada penduduk di Kampung Cina

Beliau menegaskan penduduk terbabit bukan anti pembangunan tetapi mahukan keadilan serta menuntut hak mereka.

“Kami semua sudah tinggal disini (kampun Cina) lama dan ada yang dua generasi masih menetap di bangunan lama (lebih 100 tahun) ini.

“Kami tidak menentang pembangunan dan kemajuan tetapi berikan hak dan keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” jelasnya.

Menurutnya, fasa pertama yang sedang dilaksanakan sekarang melibatkan 10 buah rumah dan sebuah balai raya penduduk di Kampung Cina.

Seorang pemiliknya, Encik Chua Bun Seng, 68, mendakwa belum menerima apa-apa bayaran pampasan atau saguhati yang ‘dijanjikan’ pihak bertanggungjawab.

Encik Chua berkata, kerajaan negeri mengambil sikap ‘lepas tangan’ seolah-olah hanya menyerahkan kepada pihak kontraktor menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya dan ramai lagi penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah ini tidak menerima apa-apa bayaran lagi yang dijanjikan itu.

“Kerajaan sudah ‘lepas tangan’ dan dalam pertemuan antara penduduk dengan wakil rakyat (Toh Chin Yaw) beliau tidak memberi apa-apa jaminan positif (Gambar kanan - Chua Bun Seng…mana bayaran kami?).

“Sekarang rumah sudah roboh, kami sekeluarga sudah pindah tetapi bayaran mana?,” soalnya ketika ditemui.

Penduduk juga mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Encik Toh Chin Yaw tidak mengambil apa-apa usaha dan menyerahkan 100 peratus urusan bayaran ‘saguhati’ itu kepada pihak kontraktor.

Seorang pemilik kedai, Haji Yasin Syeikh Abdul Kadir, 55, berkata, penilaian yang dibuat terlalu kecil dan memohon ehsan kerajaan negeri supaya ia dipertimbangkan semula.

Katanya, jumlah saguhati RM5,000 setiap satu keluarga tidak mencukupi kerana kos perpindahan yang ditanggung melebihi apa yang akan penduduk perolehi.

“Mana cukup sekarang dengan bayaran RM5,000 kerana kos upah pecat rumah, pengangkutan dan pasang semula melebih dari bayaran itu hari ini.

“Pembelaan perlu dilakukan kerana majoriti penduduk terlibat orang berpendapatan rendah dan miskin,” jelasnya.

Menurutnya, dalam sesebuah rumah pula terdapat dua hingga tiga buah keluarga yang terhimpit serta perlu tempat tinggal yang lebih selesa.

Seorang juruelektrik, Encik Chong Wan Keh, 56, berkata walau pun hati ‘berat’ untuk pindah tetapi terpaksa mengalah.

Ini kerana, katanya jika tidak pindah nanti pihak kontraktor datang roboh dan penduduk akan didakwa di mahkamah.

“Kami semua tidak dibayar lagi yang ‘dijanjikan’ (saguhati) walau pun rumah sudah ‘hilang’ (pindah).

“Kami ini orang susah dengan bayaran RM5,000 yang dijanjikan itu apa yang dapat dibuat dan harap tambahlah sikit lagi,” ujarnya dengan nada terharu.

Puan Foo Siew Keah, 54, merayu kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) mengutamakan kebajikan dan hak rakyat.

Katanya, sewaktu kempen pilihan raya pelbagai janji-janji manis diberikan kepada rakyat tetapi tidak dikotakan

“Masa kempen pilihan raya beritahu rakyat kerajaan Barisan Nasional ‘membela’ rakyat tetapi akhirnya, rakyat tidak lena tidur kerana pelbagai masalah.

“Saya rayu juga kerajaan negeri tolong fikirkan sedikit pampasan dan tempat tinggal ganti kerana penduduk di kampung Cina tidak ada tempat lain,” ujarnya.

Manakala, Puan Lim Chua Tee, 55, mahukan kerajaan negeri tidak mengutamakan kepentingan pembangunan semata-mata dengan ‘mengorbankan’ rakyat di masa akan datang.

Katanya, tempat tinggal ganti wajar disediakan oleh kerajaan negeri kerana penduduk terbabit tidak mempunyai tempat lain.

“Slogan Rakyat Didahulukankan, Pencapaian Diutamakan tidak dihayati oleh kerajaan negeri hari ini ,” jelasnya.

Ketika tinjauan dibuat, kerja-kerja pembersihan sisa-sisa tapak bangunan terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor dan terdapat di kalangan penduduk terbabit masih datang melihatnya kerana kenangan Warisan Sejarah yang ‘hilang’.

"Menang jadi arang dan kalah jadi abu" - Pertelingkahan UMNO Terengganu Merebak Ke Akar Umbi

BULETIN ONLINE


Walaupun sesetengah pemimpin UMNO Terengganu cuba menutup pertelingkahan yang berlaku, hakikatnya perbalahan dalam parti itu kini sudah menjadi ‘barah’ dan merebak hingga ke peringkat cawangan.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad mendakwa UMNO Terengganu semakin pulih dari perpecahan dengan perlantikan kepimpinan baru Badan Perhubungan UMNO negeri.

Yahaya berkata jangan bermimpi, PAS akan dapat menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Namun hari ini, dilaporkan akhbar Utusan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali telah mempersoalkan keputusan Perhubungan UMNO Terengganu.

Ramlan mendakwa tindakan kepimpinan negeri mengarahkan UMNO Cawangan Tasik Tok Lebai supaya mengadakan semula mesyuarat cawangan telah menimbulkan tanda tanya selain rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Katanya, UMNO Terengganu telah mengarahkan cawangan tersebut berbuat demikian kerana mesyuarat pertama yang diadakan pada 18 Mei lalu didakwa tidak sah tanpa kehadiran wakil UMNO bahagian Setiu.

"Mengapa pula mesyuarat pertama didakwa tidak sah tanpa kehadiran wakil UMNO bahagian sedangkan peraturan telah jelas sebagaimana dalam Perlembagaan UMNO," katanya.

Beliau turut mendakwa pihak tertentu dalam Badan Perhubungan UMNO negeri telah cuba mengambil kesempatan, mengelirukan ahli-ahli dan melemahkan semangat ahli di cawangan .

Dalam perkembangan yang sama, sebuah laman blog mendakwa kemelut UMNO Setiu belum berakhir lagi dan episodnya disambung dalam mesyuarat cawangan UMNO dibahagian.

Laman tersebut menyebut, sebagai syarat, mesyuarat cawangan UMNO hendaklah dilaksanakan dan diwakili oleh AJK bahagian yang ditentukan oleh pengurusan Bahagian.

Tetapi, menurutnya, apa yang mengecewakan berlaku di DUN JABI.

Ramlan yang kalah dalam pemilihan Ketua bahagian berdegil, tetap ingin melaksanakan mesyuarat cawangan di DUN Jabi berdasarkan jadual mereka sendiri, tidak kira samada wakil bahagian akan hadir atau tidak.

”Keadaan ini menyebabkan ramai ahli ahli kebingungan dan tertanya tanya samada mesyuarat cawangan yang dijalankan tanpa wakil dari bahagian adalah sah atau tidak??.”tulis laman blog itu.

Menurutnya, kecelaruan yang berlaku di DUN Jabi sudah tidak dapat dibendung lagi ini kerana Ketua Bahagian, Dato’ Mohd Jidin Shafie dan Ramlan sudah tidak boleh duduk semeja.

”Yang lebih menyedihkan ADUN JABI (Ramlan Ali) berkiblatkan bekas MB (Dato Seri Idris Jusoh) dan Ketua Bahagian (Mohd Jidin) berkiblatkan MB sekarang (Dato’ Ahmad Said),”tegas laman itu

Oleh itu katanya, walaupun Ahmad Said turun padang ke JABI, Ramlan menghilangkan diri dan hanya hadir pada majlis yang dihadiri oleh Idris.

Pada pandangan penulis blog itu, apa yang dilakukan oleh Ramlan adalah lebih merupakan bersifat pentingkan diri sendiri.

”saya difahamkan oleh pengikut beliau (Ramlan) bahawa jikalau beliau tidak dicalonkan (semula) dalam PRU 13 akan datang, maka beliau akan pastikan DUN Jabi jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.

Sifat "menang jadi arang dan kalah jadi abu" adalah strategi yang beliau jalankan sekarang ini, tambah penulis blog itu yang dipercayai adalah ahli UMNO Bahagian Setiu.

PRU 13: BN Masuk Jerat Sendiri

SUARA KEADILAN


Tindakan Mahkamah Persekutuan membelakangkan peruntukan untuk memberi keputusan memihak kepada Barisan Nasional bersabit krisis Perak bakal menjerat parti itu sendiri pada pilihanraya umum akan datang.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan berkata rakyat semakin arif mengenai sistem perundangan negara dan pasti menggunakan kelebihan itu untuk menolak BN dan sesiapa yang menolak Pelembagaan Negara.

Chan merujuk kepada cubaan Mahkamah Persekutuan mengelirukan rakyat dengan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa menentukan status sama ada sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri itu kosong atau sebaliknya.

Chan berkata Artikel 34(1), 31(5) dan 33(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengenalpasti pihak yang berkepentingan dalam isu perletakan jawatan seseorang ADUN.

“Dalam kes membabitkan tiga ADUN yang melompat tersebut, pihak yang berkepentingan seperti yang dijelaskan dalam Perlembagaan ialah Hee Yit Foong, Osman Jailu dan Jamaluddin Mat Radzi, Dewan Undangan Negeri dan Speaker V. Sivakumar.

“Tidak disebut pun SPR dan dengan itu badan itu harus diketepikan dalam isu ini,” tegas Chan.

Pada Jun lalu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman, dalam penghakiman setebal 20 muka surat mendakwa Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958, memberikan SPR dan bukan Speaker, kuasa mutlak menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi.

Chan berkata peruntukan perlembagaan jelas menyatakan apabila timbul kesangsian mengenai status seseorang ADUN, keputusan muktamad hendaklah diperolehi daripada Dewan Undangan Negeri dan bukannya di mahkamah.

“Jadi apabila pertikaian wujud sama ada tiga orang ADUN pembelot ini telah meletak jawatan, mereka sepatutnya merujuk kepada Dewan untuk mendapatkan satu keputusan muktamad,” kata Chan.”Mereka gagal berbuat demikian tetapi sebaliknya terus membawa kes mereka kepada Mahkamah Persekutuan yang menunaikan permintaan mereka untuk diisytiharkan sebagai masih menjadi ADUN. Hakim turut mengisthiarkan SPR adalah badan yang menentukan kerusi mereka kosong atau tidak,” tambah beliau.

“Itulah kerosakan yang mereka telah lakukan. Ada kemungkinan apa yang mereka bertiga lakukan beserta keputusan Mahkamah Persekutuan akan menyebabkan rakyat menolak kerajaan BN sehingga kalah pada pilihan raya akan datang,” Chan memberi amaran.

11 Dalil Mengapa Umno Akan Kalah di Manek Urai

PEMUDA SARAWAK


Pilihan raya Manek Urai 2009 merupakan pilihan raya kecil ke-7 yang diadakan di Malaysia selepas pilihan raya umum ke-12 berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Haji Ismail Yaacob pada 5:55 pagi 22 Mei 2009 di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan.

Pada 28 Mei 2009, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof telah berkata bahawa pilihan raya kecil ditetapkan pada 14 Julai 2009 ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai 2009, bermakna lapan hari tempoh berkempen telah diberikan.

Calon Pakatan Rakyat/PAS yang dipilih adalah Fauzi Abdullah manakala calon BN/Umno ialah Tuan Aziz Tuan Mat. Berikut adalah 11 Dalil Mengapa Umno akan kalah di Manek Urai.

1.Tuan Aziz dikatakan antara calon yang terjempit dalam kemelut masalah Umno di Kuala Krai.

2.Tuan Aziz dikatakan bukan orang yang direstui oleh Ketua Bahagian, Ramzli Abdul Rahman.

3.Budaya ‘cah keting’ yang sinonim dengan UMNO Kelantan juga mungkin akan ‘membantutkan’ peluang BN.

4.Jentera kempen BN/Umno Manek Urai telah berpecah kepada dua kumpulan kerana perebutan kuasa.

5.Umno sama ada di peringkat Manek Urai mahupun di peringkat negeri berada dalam keadaan yang amat lemah.

6.Umno berhempas pulas merayu simpati pengundi, namun rakyat di Manek Urai terus memperlihatkan sikap dingin terhadap Umno.

7.Tuan Aziz berumur 39 tahun semasa dia meletak jawatan sebagai Pengurus KESEDAR tetapi layak mendapat pencen.

8.Dilihat sebagai ‘Orang’ Najib Razak dan masyarakat di Manek Urai pada hakikatnya tidak menyukai Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

9.Lawan Tuan Aziz dari PAS Fauzi Abdullah seorang yang amat-amat cakna pada masyarakat sekeliling.

10.Tuan Aziz tidak faham akan keperitan masyarakat Manek Urai kerana dia berkolar putih berbanding dengan lawannya yang berkolar biru seperti majoriti pengundi Manek Urai.

11.Fauzi Abdullah mempunyai sebuah Van persendirian yang diwakafkan sebagai Van Jenazah kepada penduduk Kuala Krai. sesiapa sahaja boleh menggunakan Van Jenazah tersebut jika mahu dan tiada bayaran dikenakan.

Video Rosmah: Polis siasat Badrul

Jimadie Shah Othman


Seorang pemimpin PKR mendakwa dihubungi dua anggota polis Cawangan Khas berhubung video yang memburuk-burukkan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor yang kini tersebar luas di internet.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau dihubungi mereka – dipercayai dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan – berhubung penerbitan video klip itu.

"Saya kata, saya tidak tahu tentang penerbitan video itu. Saya dapat tahu pun selepas baca blog Selamatkan Umno dan Malaysia Today.

"Saya cuma muatkan balik dalam blog saya selepas itu. Terpulanglah kepada pembaca (untuk menilainya)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Badrul Hisham berkata, beliau pertama kali dihubungi anggota polis Kuala Lumpur, yang dikenalinya, pada hari awal minggu lalu.

Sehari selepas itu, tambahnya, beliau dihubungi pula seorang lagi anggota polis cawangan itu dari Negeri Sembilan - juga dikenalinya - bagi mencari siapakah pihak di belakang penerbitan video itu.

Dalam perbualan telefon kira-kira sepuluh minit itu, Badrul Hisham berkata, beliau telah memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau tidak terlibat dan tidak tahu-menahu pihak yang terlibat menerbitkan siri dokumentari pendek itu dalam bentuk video.

Malaysiakini minggu lalu melaporkan, sejak awal bulan ini, video itu memberikan label liar "perempuan puaka" terhadap isteri Datuk Seri Najib Razak.

Badrul Hisham juga berkata, dalam perbualan itu, beliau turut disoal sama ada mengenali ahli keluarga dan jiran Rosmah yang diwawancara dalam video itu.

"Sebagai orang negeri Sembilan, pernah terlibat dengan (aktivisme) belia di Sikamat, tentu saya kenal balu bekas speaker DUN (Datuk Ariffin Ali).

"Tetapi dia (Che Mah) tentulah tidak kenal saya.

"Macam saya kenal Najib, kalau tanya dia siapa Cikgu Bad, mesti beliau tidak tahu," katanya, sambil berkata dua polis tersebut sering menghubungi sebelum ini.

Diminta mengulas kontroversi video itu, Badrul Hisham berkata:

"Perkara itu tidak perlu penyiasatan polis. Ia cuma cerita sensasi yang tidak perlu (campur tangan) polis.

"Cukuplah orang yang terlibat menafikannya."

Pegawai koma diserang anjing

Haiwan dikuarantin, pemilik kena RM200

BERITA HARIAN ONLINE


TELUK INTAN: Pegawai penguat kuasa cukai taksiran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) koma selepas diserang anjing ketika mangsa menjalankan tugas di Taman Ikhlas di sini, kelmarin.

Valdev Singh Dabra Singh, 54, parah di leher, muka dan patah tangan kiri diserang anjing ketika mengunjungi sebuah rumah di situ.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, anjing itu menerkam leher mangsa yang sedang berbincang dengan pemilik rumah berkenaan bersama beberapa pegawai penguat kuasa lain.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Haiwan untuk tindakan susulan.

Sementara itu, sumber MPTI berkata, mangsa bertugas pada Ahad bagi memudahkan urusan kerana kebanyakan penduduk berada di rumah.

Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa itu menasihatkan pemilik rumah membayar cukai sebelum tarikh akhir.

"Kejadian berlaku begitu pantas sehingga tuan rumah dan rakan sekerja mangsa tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, tetapi keluarganya mahu merujuk mangsa ke hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.

Anjing berkenaan dikuarantin 14 hari oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, manakala pemiliknya dikenakan kompaun RM200.

Gagasan pemikiran Kerajaan Perpaduan, mana silapnya?

Dr Dzulkefly Ahmad


Penulis akan mengakhiri penguatkuasaan 'gag order' yang dikenakannya sendiri. Mentelahan banyak pihak yang menggesa supaya penulis jangan terus membisu.

Penulisan ini akan mengutarakan penghujahan mengapa gagasan pemikiran Kerajan Perpaduan (KP) ditanggapinya sebagai 'menentang arus' dan berlawanan dengan momentum kebangunan tata orde Politik Baru yang sedang dalam proses pendewasaannya dan sangat-sangat dihajatkan oleh pengundi, sekaligus membela kepentingan rakyat dan kemaslahatan negara.

Penulisan ini terpaksa mengambil pendekatan separa ilmiah dan separa popular. Ringan bagi yang lebih mengetahui, berat bagi yang kurang menekuni. Yang pentingnya hujah ilmiah mesti diutarakan sebelum isu ini dapat ditamatkan secara muktamad.

Sesungguhnya, analisis secara tepat terhadap gagasan ini sukar untuk dilakukan dengan lebih objektif kerana sehingga kini tidak pernah dibentangkan dalam pendekatan akademik (terbuka atau tertutup) melalui satu kertas konsep yang menghuraikan falsafah, maksud dan pengoperasiannya.

Tanpa itu, penilaian terperinci sememangnya sulit. Namun yang dihujjahkan di sini bukanlah aspek detail atau mikronya, tetapi secara makro atau gambaran besarnya. Sebelum itu beberapa 'caveat' atau peringatan awal.

Pertama, kerana yang dilontarkan Presiden parti adalah bersifat pandangan atau 'ijtihad politik' dan tidak bersangkutan secara langsung dengan persoalan hukum, maka penulis amat jelas bahawa ia bukan persoalan halal-haram, atau salah-betul.

Penulisan tertumpu kepada aspek menilai gagasan pemikiran ini di segi ketepatan atau sebaliknya 'ijtihad' politik ini serta kesannya kepada politik negara amnya dan kemaslahatan perjuangan PAS (dan Pakatan) khususnya.

Keduanya, penulis sedar tidak timbul isu tidak wala atau kurang hormat kepada Presiden andainya penulis menolak gagasan pemikiran ini.

Sebabnya? Jelas dalam hal 'pandangan politik' seperti menurunkan strategi atau pendekatan taktik perjuangan, pandangan Rasulullah s.a.w. sendiri pun pernah beberapa kali ditolak oleh para sahabat.

Khubab bin Munzir, contohnya pernah memperbetulkan strategi perang yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Badar ketika jelas bahawa perkara itu adalah dari 'pandangan' Baginda yang menempatkan tentara muslimin di tempat yang tidak strategik dengan kata-kata tegasnya "fainna haza laisa bimanzilin" (ini bukan kedudukan yang paling strategik).

Begitu juga contoh perbezaan pandangan di peperangan Khandak ketika Rasulullah s.a.w. berhajatkan untuk berperang di luar Madinah sementara sahabat-sahabat mahu bertahan dalam kota Madinah. Tidak pula mereka dituduh tidak wala dan tidak mentaati Rasulullah s.a.w. Sayugia bagi semua mengambil faham.

Cuma alangkah baiknya kalau kesemua lontaran ide ini ditangani dengan lebih cermat melalui saluran pemutusan sesuatu ide dalam parti. Namun penulis, selaku optimis tegar, bersedia menerima bahawa di sebaliknya kegawatan dan ribut ini, mungkin ada kebaikan yang tidak semua dapat membaca dan mencerapnya. Mungkin juga kita perlu belajar dari kesilapan.

Juga, amatlah diyakini bahawa Presiden PAS sebagai seorang pemimpin negara, telah menggerakkan agenda KP ini untuk semata-mata bertujuan membawa negara keluar dari pelbagai krisis yang tidak berkesudahan dan kemelut yang berpanjangan termasuk impak kemelesetan ekonomi, kereputan institusi-institusi kritikal negara seperti Kehakiman, PDRM, SPRM, SPK dsbnya, sementara mengambil pelbagai kemaslahatan memperbaikki demokrasi dalam pendekatan KP ini.

Pokoknya dan tegasnya, konsep Kerajaan Perpaduan adalah satu pemerintahan yang akan menggembleng seluruh parti-parti politik dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menangani krisis yang dihadapi negara sehingga diharapkan dapat ditangani bahaya-bencana kebrentakan kemelut ini.

Oleh itu kerap dikatakan Presiden PAS bahawa dalam KP tidak ada 'pembangkang', kerana kesemuanya 'memerintah' dan amat menasabah juga bahawa pengagihan kedudukan kementerian adalah berdasarkan dan berkadar dengan kekuatan kedudukan kerusi setiap parti komponen BN atau Pakatan di Parlimen dalam pentadbiran KP.

Cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai 'utopian' atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik sistem pelbagai parti ala-Westminster seperti di negara ini.

Pun begitu, ini bukan sebabnya gagasan KP ini patut ditolak kerana sukar untuk dilaksanakan. Ia juga tidak wajar ditolak atas sebab tidak kesemua parti-parti komponen BN dan Pakatan bersetuju untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan ini. Sememangnya ada komponen BN atau Pakatan yang menolak gagasan ini atas apa pun sebab perhitungan politik mereka masing-masing.

Sebaliknya, berikut adalah sebab-sebab utama mengapa Kerajaan Perpaduan wajar ditolak rakyat demi kepentingan negara.

Pertama:

Dalam kebangunan landskap politik negara yang semakin menampakkan kecenderungan ke arah mematangkan amalan demokrasi ala-Westminster ini ke arah 'Sistem 2 'Parti' yakni Barisan lawan Pakatan, apa jua tindakan yang merencat dan menghalang pendewasaan trend politik tesebut adalah satu yang ditanggapi 'pundit politik' sebagai satu 'Retrogression' atau "Songsang" dan 'Berpatah-Balik'.

Kerajaan Perpaduan, dalam apa jua bentuknya, di segi ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan penyongsongan kebangunan politik baru tanah air atau "political trajectory of a new Malaysia."

'Sistem 2-Parti' sebagai yang membuka satu lambaran landskap baru memberi peluang untuk kita contohi amalan politik negara-negara maju di Barat.

Mungkin ada yang menyanggah, buat apa ikut Amerika atau United Kingdom? Betul, tapi nampaknya sehingga kini tidak ada lagi contoh negara umat Islam yang layak diteladani di segi kematangan amalan demokrasi dalam abad 21 Masehi atau 15 Hijrah ini.

Sistem semak-imbang urus-tadbir yang mantap meninggalkan kesan yang baik bagi negara dan ini juga adalah anjuran Al-Quran dalam 2 ayat (Al-Baqarah, Al-Hajj).

Maka ini langkah pertama, bagi mempersiapkan negara yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinan politik di peringkat Pusat dalam PRU ke-13. Pertandingan BN lawan Pakatan diramal menjadi lebih sengit dan tajam sekali ke depan ini.

Ingat PRU ke-12 bukanlah pertandingan sistem 2-Parti. Pakatan ditubuhkan atas kepentingan parti-parti pembangkang untuk menjadi pemerintah selepas pilihan raya di 5 buah negeri dan tidak sebelumnya.

Maka pembentukan sistem 2-Parti di negara ini serentak menginstitusikan amalan 'semak-imbang' demokrasi yang mengiktiraf dua parti besar yang sentiasa bertarung bagi merebut kerpercayaan rakyat dan kuasa pemerintahan, sekaligus mengingatkan Barisan Nasional bahawa di sana ada sebuah lagi kerajaan yang bakal mengambil alih negara ini andainya pemulihan keyakinan rakyat gagal dicapai oleh BN dalam pemerintahan parlimen ke-12 ini.

Segala petanda sehingga kini mengisyaratkan BN akan gagal memulihkan keyakinan rakyat untuk kembali menyokong mereka. Dengan kata lain, sistem 2-parti mempersiapkan psikologi rakyat, persiapan birokrasi dan kesediaan negara bahawa pertukaran kerajaan bukanlah satu kiamat kecil bagi BN. Akan silih berganti peralihan kuasa dan pemerintahan seperti yang disebutkan juga di dalam Al-Quran (Ali-Imran: 140). Nah, itu lebih cantik penghujjahannya.

Kedua:

Penulis beralih menghujjahkan ketidaktepatan gagasan KP di segi disiplin ilmu Usul Fiqh. Benar, Presiden PAS bertindak bagi mengambil pelbagai kemaslahatan untuk mengatasi kedudukan kemelut dan krisis yang mendepani negara dan bermatlamatkan kepentingan rakyat.

Kesemua itu adalah perkara-perkara yang boleh disebutkan dalam istilah 'maslahah' yang hendak dicapai, walaupun belum pasti mampu dicapai dengan pendekatan KP ini.

Dalam usaha untuk mendapatkan pelbagai kemaslahatan ini, penulis mengingatkan parti bahawa perhitungan 'mafsadah' atau 'kemudaratan' perlu diambil kira. Tidak ada yang lebih besar dari perhitungan kemudaratan kepada perjuangan parti.

Tegasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam yang mengambil pentas dan memilih garis demokrasi sebagai jalan dan wasilah untuk merealisasikan perjuangan Parti Islam SeMalaysia, PAS ini, maka persoalan mendapat dan mengekalkan Sokongan dan Mandat Rakyat adalah perkiraan paling awla (utama) dalam perjuangan parti.

Justeru itu, PAS perlu menegaskan kepada kesemua peringkat pimpinan dan aktivis parti bahawa sementara PAS wajar mengekalkan sokongan tegar kaum Melayu-Islam, buat julung-julung kalinya juga PAS telah memecahkan tembok prajudis kaum Bukan-Melayu-Bukan Islam, lantas diberikan kepercayaan dan mandat sokongan oleh golongan kaum tersebut.

Kesemua ini adalah hasil usaha PAS secara berterusan dengan pelbagai pendekatan yang Inklusif dan Telus, untuk membuktikan bahawa perjuangan 'PAS Untuk Semua' itu adalah satu komitmen parti Islam ini dan bukannya satu retorik kosong.

Bergantung kepada demografi negeri dan kawasan pilihan raya, sokongan kelompok pengundi Melayu-Cina-India adalah sangat-sangat memberangsangkan kepada PAS (dan Pakatan) mutakhir ini.

Keseluruhan sokongan ini perlu diurus dengan baik bagi terus meningkatkan sokongan kepada parti Islam ini.

Di sesetengah kawasan kerusi campuran, sokongan kaum Cina boleh sahaja mencecah 60-70% bahkan lebih, sementara kaum India sehingga 55-60%. Sokongan kaum Melayu kepada PAS masih berlegar disekitar 40-50% di negeri-negeri Pantai Barat dan sedikit melebihi itu di Kelantan dan Kedah.

Adalah amat wajar pimpinan parti diperingatkan bahawa dalam apa jua gagasan politik yang mahu dilontarkan bahawa kesan secara jangka pendek, sederhana dan jangka jauh perlu diperhatikan secara cermat dan strategik. Betul kita mahu mengambil kemaslahatan, tetapi perhitungan kemudaratan juga perlu dibuat dengan teliti.

Bahkan dalam hal menggunakan hujah Usul Fiqh sekalipun, kita akan berdepan dengan satu tuntutan prinsip yang menegaskan bahawa:

"Dar al-Mafaasid muqaddamun ala jalbi al-Masoleh" (Menolak Kemudaratan adalah lebih penting dari mengambil Kemaslahatan.)

Berpandukan tuntutan kaedah Fiqh ini, maka meskipun ada kemaslahatn yang hendak dicapai dalam tindakan menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan (yang belum tentunya dapat dicapai pun), maka menolak kemudaratan yakni kehilangan sokongan rakyat dalam perjuangan sebuah parti Islam, adalah jelasnya lebih awla dan penting di segi perhitungan Syarak.

Bersandarkan kepada hujah tersebut, adalah juga penting bagi pimpinan tertinggi parti untuk mencermati segala lontaran gagasan pemikiran supaya tidak menjejaskan Mandat atau Sokongan Rakyat (Al-Masdaqiyyah Al-Ijtima'iyyah).

Lebih-lebih lagi kalau tindakan kita itu menghakis kepercayaan kepada pimpinan parti akibat perbuatan kita sendiri yang dilihat mengkhianati kepercayaan rakyat atau dipersepsi membelakangi prinsip-prinsip Keadilan dan sekaligus boleh membawa kebrentakan dan konflik dalaman dalam Pakatan.

Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w mendapat dan mengekalkan sokongan kaum Bukan Islam dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani dan juga Musyrikin) di Kota Madinah yang jelasnya ketika hijrah, Baginda adalah golongan minoriti dan bukan majoriti.

Ketiga:

Hujah ketiga yang bersandarkan sumber 'Tajribah' atau Pengalaman parti ini dengan Umno/BN, maka tidak wajar penulis menurun segala pengalaman pahit sama ada 'bersama' dengan Umno/BN, tambah-tambah kalau 'bersaing' dengan Umno/BN. Cukup setiap seorang kita menghitung pengalaman masing-masing.

Jelasnya Umno mengeletek kesukaan mendapat tawaran PAS untuk menyelesaikan kemelut negara natijah buruk segala perilaku kebobrokan kepimpinan parti terbesar Melayu itu, seumpama orang mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang.

Atau dengan kata lain memang Umno/BN sangat-sangat berhajat untuk meneruskan dialog dan muzakarah Kerajaan Perpaduan ini dengan PAS, bukan untuk menyanggupinya tetapi sudah cukup besar menafaat yang mereka kecapi kalau 'muzakarah' tersebut boleh dimulakan bagi menyaksikan kebrentakan di pihak PAS dan Pakatan dan runtuhnya sokongan Bukan Melayu-Bukan-Islam kepada PAS.

KP adalah seumpama suntikan 'booster' untuk Umno/BN untuk terus mendapat talian hayatnya, sementara suntikan racun kepada PAS/Pakatan. Dengan izin Allah Azza Wajalla jualah segala-galanya berakhir dengan Kebijaksanaan Politik berpihak kepada PAS/Pakatan tatkala tertolak gagasan Kerajaan Perpaduan.

Semoga Perjuangan ini di pelihara Allah Azza Wajalla. Amin Ya Rabb! - mks.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat) _

Rakyat dijemput jayakan "Himpunan 100,000 rakyat" di Stadium MBPJ malam ini

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Rakyat terutamanya penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai bagi menjayakan himpunan 100, 000 rakyat anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub himpunan malam ini diadakan bertujuan menjelaskan pelbagai isu berhubung Pakatan Rakyat dan isu-isu semasa.

Himpunan ceramah perdana malam ini akan dibarisi pimpinan utama Pakatan Rakyat antaranya; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Himpunan akan dimulakan pada jam 9.00 malam, kata Salahuddin. - wann/mks._

Selangor catat kes tertinggi keganasan rumah tangga

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga paling tinggi di kalangan negeri lain apabila merekod 102 kes sepanjang tahun lepas dan 60 kes sehingga Mac tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Pulau Pinang pula mencatat jumlah kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 64 kes tahun lepas dan 22 kes sehingga Mac lepas.

"Mengikut perangkaan, 90 peratus daripada mangsa kes adalah wanita dan beberapa langkah telah dilaksanakan untuk melindungi dan membantu mangsa keganasan rumah tangga," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Shahrizat berkata salah satu sebab keganasan rumah tangga berlaku ialah terdapat anggapan sama ada dari kaum lelaki mahupun wanita, bahawa tiada kesaksamaan gender.

"Dalam penyelidikan yang telah dijalankan oleh pakar, sebab lain keganasan juga berlaku kerana satu pihak merasakan beliau boleh menguasai pihak yang lain, malangnya wanita juga yang jadi mangsa," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian itu akan memulakan program kesaksamaan gender untuk memberi pendedahan kepada kaum wanita dan lelaki.

"Kementerian juga mengadakan program, antaranya mempergiatkan program advokasi bagi menjelaskan mengenai hak mendapatkan perlindungan, membantu mangsa membuat laporan polis serta memberi perlindungan sementara kepada mangsa yang memerlukan tempat selamat," katanya.

Kepada soalan seterusnya Mohsin Fadzli sama ada kementerian tersebut bercadang untuk mewujudkan Mahkamah Keluarga bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dengan cepat seperti kes gantung tidak bertali serta diganggu suami secara mental dan diberi katakata kesat, Shahrizat berkata kementeriannya akan meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 tidak lama lagi.

"Kementerian sedang mengambil langkah untuk meminda beberapa peruntukan yang ada untuk mengambil kira keskes seperti yang diutarakan oleh Yang Berhormat tadi.

"Kita sudah berada di peringkat akhir di mana maklum balas yang dikutip akan dibawa ke Kabinet untuk meminda akta ini supaya isu yang dibawa oleh Yang Berhormat akan diberi perhatian dan implementasi akta ini akan lebih efektif dan efisien," katanya.

Debat terbuka: Najib tolak jemputan Nik Aziz

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak pelawaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu yang menyatakan 'hasrat' mahu mengadakan debat terbuka dengan beliau.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau menolak jemputan itu kerana berpendapat cara dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu perbezaan politik antara Umno dan PAS atau masa depan umat Islam, negara dan kekalutan politik ntara kedua-dua parti ialah menerusi musyawarah.

"Saya tak nampak apa faedahnya debat ini. Saya nampak ramai tidak bersetuju dengan debat yang tak mendatangkan apa-apa faedah," kata Presiden Umno dipetik akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Beliau ditemui wartawan di kediamannya di Putrajaya semalam.

Pemimpin-pemimpin Umno menolak pelawaan Nik Aziz itu tetapi disambut baik oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Najib yang sebelum ini berulang kali menyatakan kesediaan untuk membincangkan idea kerajaan perpaduan, yang dilontarkan semula oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang awal bulan ini tetapi ditolak Pakatan Rakyat minggu lalu, menambah:

"Soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui debat.""Jalan terbaik bukan debat tapi forum bermusyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas untuk membincangkan masa depan umat Islam dan negara," kata Najib yang dilantik sebagai Perdana Menteri April lalu.

Najib menambah, kritikan dan unsur kutuk-mengutuk perlu dielakkan sebelum kedua-dua pihak boleh duduk berbincang.

"Janganlah kita mengutuk pihak lain. Jika kita sudah huna dan kutuk pihak lain, bererti orang kita ini tak nak cari kaiat sepakat sedangkan kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara," katanya.

KOMEN HADI

Semalam, Hadi berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan daripada Nik Abdul sebelum menyatakan pendiriannya mengenai syor untuk berdebat secara terbuka dengan Najib.

"Saya mahu dapatkan penjelasan dulu... saya kena hubungi (Nik Aziz) dulu," kata beliau ketika diajukan soalan tentang pendirian beliau ekoran hasrat Nik Aziz yang mahu mengadakan debat terbuka dengan Najib.

Hadi berkata, beliau perlu mendapatkan penjelasan Nik Aziz terlebih dahulu memandangkan apa yang dilaporkan dalam media "tidak lengkap."

Ketika ditanya adakah berpeluang mendapatkan kenyataannya petang ini, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau tidak pasti bila dapat menghubungi Nik Aziz.

Minggu lalu Nik Aziz mencabar Najib untuk berdebat yang kononnya bagi menyelesaikan beberapa perkara seperti kerajaan perpaduan dan isu fitnah-memfitnah.

Nik Aziz dilaporkan berkata, pada debat itu beliau mewakili pemimpin Islam manakala Najib dianggapnya sebagai pemimpin sekular.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mengakui idea Menteri Besar Kelantan itu belum dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pusat PAS setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat cabaran Nik Aziz tersebut adalah atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

"Saya melihat ia pandangan peribadi beliau sebagai Menteri Besar Kelantan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan itu yang turut menyokong diadakan debat terbuka berbanding dialog.

"Debat terbuka itu adalah sesuatu yang baik... debat boleh diadakan dalam suasana yang baik. Saya sendiri pernah berdebat di Awani, RTM...," katanya beliau sambil menambah, perdebatan daidakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud.

"Kita tidak patut takut (untuk mengadakan debat)," kata beliau lagi.

Bagaimanapun beliau menolak andaian bahawa debat yang disyorkan Nik Aziz tidak wajar memandangkan PAS dan Pakatan Rakyat telah menolak untuk mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan minggu lalu.

Idea kerajaan perpaduan dilontarkan oleh Hadi dan ditentangkan oleh Nik Aziz."Kerajaan perpaduan dan debat ini dua isu yang berbeza... ini hal lain, (apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz) yang mungkin termasuklah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulim-Bandar Bharu, Zulkifli Nordin berkata, dialog adalah cara terbaik menyelesaikan soal Islam Umno ataupun PAS.

"Lebih sesuai diadakan dialog berbanding dengan debat (yang disyorkan Nik Aziz),” katanya.

"Dialog kita boleh kawal... ini kerana apa tujuan kita mengadakan perbincangan? Kita adakan perbincangan untuk mencari penyelesaian.

"Kalau kita hendak menyelesaikan masalah, kita adakan dialog. Ia lebih sesuai," katanya.

Ketika ditanya sama ada dialog perlu diadakan hanya antara Nik Aziz dan Najib, pemimpin PKR itu memberitahu, dialog boleh diadakan dalam bentuk berkumpulan dengan dimudahcarakan oleh individu bebas.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Umno berpendapat Najib tidak patut dan tidak wajar melayan permintaan untuk mengadakan debat dengan Nik Aziz.

Nik Aziz sebelum ini mendakwa parti itu sama seperti ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, dalam ceramahnya di Manek Urai baru-baru ini.

Bahana lalok dadah, gam

Oleh Zuliaty Zulkiffli


JITRA: Seorang lelaki yang dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam tergamak menggigit cuping telinga bapa tiri sehingga putus sebelum mengunyah dan menelannya apabila cuba dihalang menikam ibunya, tengah malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong di sini ketika lelaki berusia 27 tahun itu naik angin apabila ibunya enggan membuka pintu kerana pulang terlalu lewat.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yop, berkata kejadian berlaku ketika dia memeluk anak tirinya yang dalam keadaan khayal dan mahu menikam ibu sendiri.

“Disebabkan tidak berjaya melepaskan diri, dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati hingga putus sebahagiannya, namun saya terus memeluknya hingga polis tiba walaupun terasa sakit amat sangat,” katanya.

Mengimbas kejadian itu, Yob yang juga kakitangan kerajaan, berkata dia sedang tidur di ruang tamu rumah isteri keduanya itu sebelum terdengar bunyi ketukan pintu bertalu-talu.

Isterinya yang berusia 40-an enggan membuka pintu kerana marah dengan tindakan anak tirinya yang sering pulang terlalu lewat.

Berikutan tidak mahu kecoh dan mengganggu jiran selain berasa kasihan, Yop bangun membuka pintu.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila anak tirinya meluru ke arahnya dengan perasaan marah.

“Saya cuba mengelak, tetapi dia mengeluarkan sebilah pisau lalu meluru untuk menikam ibunya, tetapi saya sempat memeluk untuk mengelak dia bertindak ganas.

“Ketika dalam pelukan saya, dia meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi gagal sebelum dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati sehingga putus,” katanya yang menerima beberapa jahitan di telinga yang kini `kudung’ sebahagian.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, isterinya sempat menghubungi polis.

“Ketika itu saya berasa kesakitan yang amat sangat di telinga, tetapi tidak menyedari ia sudah putus dan berdarah hinggalah polis tiba di rumah kami tidak lama kemudian,” katanya.

Dia dibawa ke Hospital Jitra (HJ) kira-kira lima kilometer dari rumah mereka dengan menaiki motosikal yang ditunggang isterinya, kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan itu, Yob membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Yob berkata, anak tirinya yang sudah beberapa kali keluar dan masuk penjara serta hospital untuk rawatan dan dia tidak menyangka kali ini, suspek akan bertindak lebih agresif.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Warga emas mati atas katil pondan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad


KUANTAN: Kelu lidah seorang pondan apabila pelanggannya, seorang warga emas pengsan secara tiba-tiba ketika mereka berada dalam bilik sewa sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa berusia 78 tahun dari Kubang Buaya ditemui mati di tempat kejadian dengan masih lengkap berpakaian.

Harian Metro difahamkan, mangsa yang baru tiba di bilik sewa berkenaan berbaring di atas katil sambil memegang dadanya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Terkejut dengan keadaan mangsa, pondan berusia 31 tahun berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu menghubungi rakannya meminta bantuan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis dan ambulans.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, polis tidak mengesyaki kematian mangsa akibat perbuatan jenayah berikutan tiada kesan cedera atau lebam pada badan mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan(HTAA) untuk dibedah siasat sebelum doktor mengesahkan punca kematian akibat serangan sakit jantung.

“Jenazah mangsa dituntut keluarganya selepas bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Air terjun ragut 6 nyawa

BERNAMA


IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diminta menutup atau meletakkan notis di kawasan perkelahan Air Terjun Lubuk Timah, Simpang Pulai berikutan enam kes lemas di kawasan itu sejak enam bulan lepas termasuk satu kes semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian terbaru, seorang remaja, Ko Wai Hong, 17, dari Taman Gunung View di sini berkelah bersama rakannya di kawasan tersebut pada pukul 5 petang kelmarin dan ditemui lemas semalam.

Semasa mandi, Wai Hong dikatakan cuba menyelamatkan rakannya yang sedang lemas tetapi dia dibawa arus dan tenggelam manakala rakannya terselamat, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, beberapa rakan lain cuba membantu mangsa tetapi gagal lalu meminta bantuan polis.

Seramai tujuh anggota unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian untuk mencari mangsa tetapi tidak berjaya menyebabkan operasi ditangguhkan pada pukul 8 malam kerana cuaca gelap.

80 peratus pelayar Facebook Sinar Harian setuju diadakan debat terbuka

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Hampir 80 peratus pembaca yang melayari laman Facebook Sinar Harian mahukan debat terbuka yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

:Melalui laman Facebook yang dikelolakan Sinar Harian itu juga ramai berpendapat bahawa Najib perlu memberi reaksi positif berkenaan perkara itu dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan khususnya terhadap beliau.

:Antara reaksi yang diberikan, perdebatan sebegini perlu dalam usaha membawa kebaikan dan penyatuan semula bangsa terutamanya Melayu namun jika ia membawa kepada rasa benci dan menjarakkan jurang perpaduan, ia sama sekali tidak perlu.

:Dalam laman itu juga ada pihak yang menyokong agar ia dijadikan pentas membaiki reputasi, malahan ada yang menyokongnya agar ia menjadi pentas menyatukan bangsa.

:“Najib perlu menerima tawaran debat yang dianjurkan kerana ramai pihak yang akan bersetuju dengan tindakan ini termasuklah DAP, ia bakal membuka mata telinga semua pihak tentang siapa sebenarnya Najib.

:“Karisma serta keupayaannya akan diketahui oleh mereka yang sebelum ini tertutup dengan satu pandangan.

:“Pada masa yang sama, masyarakat sendiri mampu menilai Nik Aziz dari segala segi sama ada emosi, sikap dan keprihatinan beliau,” memetik salah satu reaksi pembaca.

:Melalui laman itu juga ada yang berpendapat bahawa ia merupakan langkah awal sebelum perdebatan yang sebenarnya, selepas selesai debat (jika berlaku), orang akan tahu menilai apa yang disampaikan dan mula bertanya kepada diri sendiri.

:“Debat sebenar akan berlaku di peringkat penerimaan masyarakat, dan apa yang berlaku di pentas debat itu hanyalah permulaan kepada debat yang sebenar,” reaksi dalam laman berkenaan.

:Dalam pada itu, mengulas isu yang sama, ada pembaca yang turut mencadangkan agar debat sebegini diterima semua pihak dalam membentuk masyarakat yang mempunyai keupayaan intelek yang tinggi.

Ezam cabar pemimpin tertinggi Pas

SINAR HARIAN ONLINE


PETALING JAYA – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Md Noor berkata, beliau sedia menyertai Pas sekiranya pemimpin tertinggi parti itu mengumumkan bahawa Pas adalah tunjang utama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Beliau yang kini menyertai UMNO berkata, jika Pas berani membuat pengumuman sedemikian, beliau tidak teragak-agak meninggalkan UMNO dan menyertai parti itu.

“Saya cabar pemimpin tertinggi dalam Pas supaya mengumumkan bahawa parti itu adalah tunjang utama dalam Pakatan Rakyat (PR). Jika mereka berani, saya masuk Pas.

“Mereka tidak mampu berbuat demikian kerana mereka hanya penumpang dalam PR,” katanya ketika berucap pada satu ceramah di Dewan Masyarakat Taman Sri Manja, di sini, semalam.

Ceramah oleh bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu menjadi timbalan perdana menteri satu ketika dahulu dihadiri ratusan penyokong Ezam yang ternyata mahukan beliau kembali aktif dan berjuang demi survival bangsa Melayu.

Terdahulu, Ezam dilantik Ketua Penerangan UMNO Cawangan Makmur Setia Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Dengan pelantikan itu, ia menjadi langkah pertamanya berpolitik di kawasan itu setelah keluar daripada UMNO tahun 1998 yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Nik Aziz tidak berganjak

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan pendiriannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah akan tetap menghantar surat mempelawa mengadakannya secara terbuka.

Beliau kecewa dengan penolakan pemimpin UMNO terhadap cadangan itu atas alasan membuang masa dan tidak memberikan sebarang faedah.

"Sekiranya benar UMNO memperjuangkan Islam, ia tidak harus bersalut dengan fahaman lain (kebangsaan) yang menyebabkan keadaan bercelaru dan tidak menjadikan Pas sebagai seteru.

"Islam macam mana (UMNO)? Dia lawan kami, dasar kami terang-terangan Islam. Kalau UMNO Islam juga, tak payah lawan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya lagi, surat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri lusa.

Nik Aziz turut menafikan cadangan debat itu dibuat untuk kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Semalam, dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan debat itu bukan pendekatan yang baik bagi menyelesaikan isu yang menyentuh kepentingan umat Islam di negara ini.

Dr. Mahathir menganggap debat terbuka hanya membuang masa manakala Abdullah merasakan lebih baik jika kedua-dua pemimpin parti Melayu itu duduk berbincang dalam semangat persaudaraan sesama Islam.

Ditanya mengapa tidak diambil pendekatan muzakarah sebagai jalan terbaik, Nik Aziz berkata, ia tidak akan menyelesaikan isu umat Islam.

''Saya nak minta tentukan kenapa orang Melayu yang sudah beragama Islam tolak dasar Islam. Debat selaras dengan tuntutan Allah selepas nasihat, ceramah dan bila hikmah dilakukan.

''Bagaimana nak abdi kepada Allah melainkan menerusi nabi yang membawa Islam bersama iman dan ishan. Bila kita buat pandai-pandai dengan nasionalis, sosialis, demokrasi, habis kacau," ujarnya.

Beliau percaya, debat tidak terarah kepada perbalahan dan menyifatkan ia sebagaimana prosedur mahkamah dengan peguam dan pendakwa masing-masing berhujah mencari kebenaran sebelum diputuskan.

Ditanya sama ada akan terus menutup 'pintu' bagi menyelesaikan kemelut umat Islam dan ummah keseluruhannya, beliau berkata:

''Saya minta satu sahaja (debat), yang lain, kita kira semula. Orang tolak debat, kita henti dulu.''

Menyentuh pendirian kerasnya menolak gagasan perpaduan melalui hubungan dua parti sebelum ini, Nik Aziz menegaskan, dengan kedudukan itulah, beliau sebenarnya lebih inginkan perpaduan.

''Tetapi perpaduan berasaskan Islam. Nabi sendiri menentang bapa saudara, bapa mertua kerana perjuangkan Islam sehingga kena halau ke Madinah.

''Saya hendak bersatu, tetapi atas dasar apa, gangster juga bersatu. Ah long juga bersatu. Benda ini akan jadi bekal akhirat. semua manusia nak bersatu lebih-lebih lagi Islam kerana ia agama menyatukan dengan hala tuju yang jelas," ujarnya.

Katanya lagi, soal perpecahan akan sentiasa berterusan melainkan semua pihak bersatu tujuan menjadi hamba Allah yang setia dan segala kebaikan akan muncul bersama itu.

Ditanya mengapa beliau seolah-olah tunduk kepada kepentingan pakatan pembangkang dan bukannya kepentingan umat Islam sehingga menolak gagasan perpaduan, Nik Abdul Aziz menjelaskan;

''Kalau Melayu sahaja bukan ummah, kerana ummah adalah seluruh rakyat. Perjuangan ummah lebih bermakna dalam pakatan berbanding dengan perpaduan yang dianjurkan.''

Isnin, 29 Jun 2009

Kedudukan Khir Toyo Diketahui 8 Julai ini.

TV SELANGOR


Ketua Pembangkang Selangor, Khir Toyo akan mengetahui nasibnya apabila cadangan menggantung Adun Sungai Panjang itu dikemukakan di persidangan dewan undang negeri, minggu depan.

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim berkata tindakan ke atas Khir akan diputuskan pada sidang dewan yang akan bermula 8 Julai ini dan kedudukannya akan diputuskan pada sidang kali ini.

Khir yang didapati bersalah kerana melanggar peraturan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, menghadapi tindakan gantung selama setahun, termasuk elaunnya sebagai wakil rakyat.

Menurut Teng, Bekas Menteri Besar itu akan dibenarkan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung minggu depan.

"cadangan untuk mengantung ketua pembangkang diputuskan oleh jawatankuasa hal dan kebebasan, keputusan hanya merupakan syor yang hendaklah diperakui oleh sidang dewan undangan negeri, sekirannya usul dibahas pada sidang kali ini, akan buat keputusan untuk menerima syor tersebut, membuat pindaan atau menolak, itu boleh berlaku," katanya.

Khir bersama isterinya, Zaharah Kechik enggan hadir pada perbicaraan awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung isu Balkis, Mac lalu.

Selain Khir, empat lagi Adun BN turut menghadapi tindakan kerana menghina dewan dengan mengeluarkan kenyataan media, mempertikaikan perbicaraan awam Selcat.

Mengenai Datin Seri Zaharah, Teng berkata laporan polis ke atas isteri menteri besar itu telah dibuat oleh setiausaha dewan undangan negeri dan pihaknya masih menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis.

"Laporan polis terhadap datin zahara kecik telah dibuat oleh setiausaha dewan undangan jadi proses untuk siasatan selanjutnya untuk pendakwaan ia akan dijalankan oleh pihak polis dalam soal siasatan. Sementara itu pihak pejabat pendakwa raya akan memutuskan untuk mendakwa beliau atau tidak itu diluar bidang kuasa dun undangan negeri," jelasnya

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri kali ini, Teng berkata pihaknya menerima sebanyak 414 soalan bertulis dan telah diagihkan kepada jabatan berkaitan untuk menyediakan jawapan.

Sebanyak tiga usul akan dibincangkan, antaranya tindakan polis terhadap perhimpunan awam, Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang dan pengantungan gambar Menteri Besar di pejabat kerajaan persekutuan di negeri ini.

Selain itu, persidangan kali ini juga akan meraikan sambutan 50 tahun dewan undangan negeri Selangor dengan pelbagai program sepanjang tahun ini.

"program-program yang ada itu termasuk perdebatan mahasiswa, penerbitan buku dan video, pameran yang akan diadakan dengan muzium Selangor, ini adalah program yang telah dirancang sepanjang tahun untuk sambutan ke 50 tahun DUN," katanya

Ceramah 'Manik Urai' di Selangor, 7 Julai depan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Satu ceramah umum sempena Pilihan Raya Kecil Manik Urai yang akan membariskan tokoh-tokoh pemimpin terkenal termasuk calon, akan diadakan pada Selasa, 7 Julai depan.

Ceramah tersebut akan diadakan di Kompleks Muhibbah Taman Bolton, berdekatan Batu Caves dekat sini bermula jam 9.00 malam.

Pemimpin-pemimpin yang tidak asing lagi yang bakal menyampaikan ceramah terdiri daripada Pesuruhjaya PAS Selangor;Dato' Dr Hassan Ali, AJK PAS Pusat;Dato' Husam Musa, Haji Mohammad Sabu dan calon PAS di Manik Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Orang ramai adalah dijemput hadir ke ceramah umum anjuran JPN Selangor dan MTD/UKJ Gombak itu untuk mendengar amanat dan kata-kata penuh perangsang para pemimpin PAS berhubung isu-isu semasa dan politik yang hangat diperkatakan mutakhir ini. _

A(H1N1): Malaysia rekod 20 lagi kes baru

MALAYSIA KINI


PUTRAJAYA: Dua puluh lagi kes influenza A(H1N1) dilaporkan di Malaysia iaitu 16 adalah kes import dan empat lagi ialah kes jangkitan tempatan menjadikan jumlah kes yang melibatkan penyakit itu kini mencecah 144, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya 20 kes baru berkenaan melibatkan 13 rakyat Malaysia dan tujuh rakyat asing - Vietnam (1), Jerman (1), Australia (1), Jepun (1), Amerika (1) dan dua lagi ialah rakyat Indonesia.

"Daripada 16 kes import itu, mereka mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak influenza A (H1N1) iaitu Australia (6), Indonesia (5), United Kingdom (2), Jepun (1), Singapura (1) dan Thailand (1).

"Empat kes jangkitan tempatan melibatkan rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan peningkatan kes import dari Indonesia dan Thailand, Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan menetapkan mulai sekarang, semua pelawat yang datang dari kedua-dua negara itu akan diperiksa sebaik tiba di Malaysia seperti yang dilaksanakan terhadap pelawat dari Filipina, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kes tempatan terbaru iaitu yang ke-19, melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan kontak kepada tiga kes wabak itu (isteri dan dua anaknya).

Beliau mula menunjukkan gejala sakit tekak pada 25 Jun semasa menjalani kuarantin rumah sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang dua hari lepas dan disahkan positif pada hari yang sama serta berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antiviral.

Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban menjadi kes tempatan ke20 dan beliau merupakan adik pelajar Malaysia yang baru pulang dari Melbourne, yang juga telah dijangkiti wabak influenza A (H1N1).

Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Sabtu lepas sementara 46 rakan sekelas serta 12 guru dari sekolahnya dikenakan kuarantin di rumah sehingga 3 Julai.

Kes tempatan ke-21 membabitkan seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Jumaat lepas dan disahkan positif semalam.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Tsun Jin Height, Jalan Loke Yew, Cheras di sini menjadi mangsa tempatan ke-22 dijangkiti wabak itu selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh Sabtu lepas dan disahkan positif semalam.

Menurut kenyataan itu, pengesanan kontak sedang dijalankan dan rakan sekelas pelajar terbabit diminta supaya menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Mohd Ismail berkata jumlah pesakit A (H1N1) yang masih dirawat di hospital berjumlah 42 orang dan kesemuanya telah menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa komplikasi manakala jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya serta dibenar keluar dari hospital setakat ini adalah 102 orang.

Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 618 orang, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki dijangkiti A (H1N1) setakat ini ialah sebanyak 2,343 kes iaitu 144 kes disahkan positif manakala 28 kes masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) adalah 61,688 kes dengan 265 kematian daripada 112 negara, iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 497 kes.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tiada pertambahan jumlah kematian dan negara baru.Australia muncul sebagai negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi dengan 180 kes, Singapura (145), China (51), Hong Kong (66), Korea (21), New Zealand (16), Malaysia (12) dan Brunei (4).

‘Kiasan’ Tok Guru Nik Aziz tidak salah, Pemimpin UMNO Boleh Berdebat

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Sebagai seorang ulama’ dan pemimpin politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih arif memberikan kiasan tersendiri dalam usaha menyedarkan pemimpin Islam supaya melaksanakan perjuangan ke arah kebenaran Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Uztaz Satiful Bahri Mamat berkata ‘kiasan’ yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS itu kepada UMNO tidak salah.

“Tok Guru sudah menyatakan, apa yang dikatakannya terhadap UMNO adalah kiasan. Tok Guru orang yang belajar dan mengajar akidah, cuma dari segi pandangan masyarakat, ia kelihatan kasar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata kiasan Tok Guru itu adalah satu peringatan dan amaran kepada pemimpin Islam Melayu supaya sensitif terhadap tuntutan agama.

Oleh itu katanya, sekiranya mana-mana ungkapan Tok Guru Nik Aziz yang dirasakan tidak benar, UMNO sepatutnya menerima pelawaan beliau untuk berdebat.

“Mereka yang tidak menerima Islam atau tidak mahu mengikut Islam boleh dianggap sesat dan sama dengan perumpamaan itu. Dari segi politik, kadang-kadang kata-kata sebegini perlu dalam usaha memberi kesedaran.

”sekiranya pemimpin UMNO tidak puas hati, atau merasakan apa yang dikatakan oleh Tok Guru tidak betul, boleh berdebat untuk mencari titik kebenaran” katanya.

Tok Guru Nik Aziz mengulas sifat dan sikap pemimpin dan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan Komunis ketika berceramah di Padang Majlis Daerah Laloh, Kelantan pada 21 Jun lalu.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kegusaran dikalangan pemimpin UMNO yang menganggap ia boleh menimbulkan ketegangan serta berbaur hasutan .

Tok Guru mengatakan kenyataannya hanya kiasan atau perumpamaan, namun mengajak pemimpin UMNO terutamannya Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Razak untuk berdebat bagi mencari penyelesaian, mengapa UMNO tidak mahu kepada Islam.

Alu-alukan sumbangan ke Tabung PRK Manik Urai

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Demi membantu dan memantapkan lagi jentera Pilihan Raya Kecil Manik Urai, PAS menyeru dan merayu kepada para pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat untuk sudi menyalurkan sumbangan dana ke Tabung Dana Pilihanraya yang telah pun ditubuhkan sebelum ini.

Bendahari PAS Pusat, merangkap Bendahari PRK Dr Hatta Ramli amat berharap kepada sokongan para penyokong untuk melancarkan operasi dan gerak-kerja jentera.

"Kita tidak seperti mereka yang mempunyai peruntukan yang banyak dan menggunakan jentera kerajaan untuk kempen berbanding kita hanya berharap semata-mata kepada sokongan rakyat.

"Sungguhpun begitu, tidak pernah kita patah semangat atau berundur malah dengan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada penyokong dan rakyat keseluruhannya kita akan terus berjuang dan memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Manik Urai," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau merayu, agar semua pihak dapat membantu dan menyalurkan sumbangan dana atas nama Tabung Dana Pilihanraya di nombor akaun CIMB Islamic 1449-0000017-10-4.

"Kepada yang sudi membantu dan bersedekah, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga, pengorbanan semua pihak akan menjadi pencetus semangat kita untuk terus bekerja kuat sekaligus memastikan kemenangan berada di pihak kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai. - azm _

Jabatan Perangkaan, EPU sahkan Kelantan pengeluar minyak

Lanjusoh


KOTA BHARU - Sekiranya Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum mengapa disenaraikan dalam Bank Data Malaysia sebagai salah sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini.

Selain itu, berdasar kepada laporan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) bertarikh 16 Mac 2009 Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan dalam sektor perlombongan meningkat secara mendadak kepada 22.4 peratus.

Sedangkan sebelum itu, sektor berkenaan hanya menyumbangkan sebanyak satu peratus sahaja kepada KDNK Kelantan.

"Ini seolah-olah menggambarkan EPU telah menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak sama seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Jadi mengapa ada menteri menyebut Kelantan tiada hak untuk mendapat royalti minyak," kata anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa pada persidangan Dun hari ini.

Isu royalti minyak menjadi topik menarik perhatian ahli-ahli Dewan apabila Haji Abdul Fatah Harun (PAS - Bukit Tuku) membangkitkan perkara itu berikutan soalan asal ditanya Dato' Noor Zahidi Omar (BN - Pengkalan Kubur).

Menghurai panjang lebar perkara itu Husam berkata, Laporan Band Data Malaysia 2007 pada muka surat 187 secara jelas menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum di negara ini sejak 2004.

Data tersebut menyebut nilai pertumbuhan industri petroleum di Kelantan, Sabah dan Terengganu sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak (37.5 peratus).

Manakala nilai ouput (pengeluaran) tiga negeri berkenaan iaitu RM46.8 bilion berbanding Sarawak (RM14 bilion).

"Kita menuntut royalti daripada bahagian yang diterima Malaysia kerana kawasan pengeluaran minyak terbabit terletak di lokasi tuntutan bertindih dengan Thailand dan Vietnam.

"Kelantan tidak menuntut bahagian yang diterima Thailand, sebaliknya agihan diterima Malaysia selepas pembahagian dibuat antara tiga negara," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih.

Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian persefahaman pada 1979 berkaitan kawasan pembangunan bersama (JDA) yang diteroka kedua-dua negara.

Malaysia dan Vietnam juga bersetuju mengusahakan secara bersama cali gali minyak di kawasan berkenaan.

Husam berkata, sekiranya kawasan pelantar carigali minyak dan gas tersebut terletak di sebelah Thailand sudah tentu pelantar tidak dinamakan dengan nama Melayu iaitu Kekwa, Cakrawala, Seroja, Bintang dan Lawen.

"Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion.

"Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan pusat sewajarnya membayar royalti sebanyak 5 peratus setahun seperti termaktub di bawah Akta Petroleum yang dianggarkan melibatkan sebanyak RM850 juta sehingga RM1 bilion sejak 2004 sehingga sekarang.

Beliau juga berkata, Kelantan masih mengharapkan pertimbangan sewajarnya kerajaan pusat bagi membayar royalti petroleum tersebut.

Menurutnya biar pun ada cadangan supaya tuntutan itu dibuat melalui perundangan, namun kerajaan negeri masih memilih menggunakan kaedah rundingan.

"Kita berharap ketua pembangkang di Dun Kelantan, Dato' Md Alwi Che Ahmad membantu menyelesaikan tuntutan tersebut.

"Sekiranya ia menjadi kenyataan hasrat Adun Paloh, Dato' Nozula Mat Diah untuk mendapat kenaikan elaun boleh dipertimbangkan," katanya.

Manakala Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) mencadangkan kerajaan negeri menjemput alim ulama bagi menunaikan solat hajat dan menujat bagi melembutkan hati perdana menteri menimbangkan royalti minyak kepada Kelantan. - mj _

Menggempur Umno di Manek Urai

Mohd Rashidi Hassan


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Manek Urai, Kuala Krai bermula 6 Julai ini harus dijadikan titik mula untuk membenam Umno-Barisan Nasional dipersada politik negara.

Dengan sokongan dan dokongan semua pihak, dari kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama, terutamanya daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat, PAS seharusnya berada dalam kedudukan yang selesa berbanding Umno-BN.

PAS memperolehi keselesaan, apabila sudah tiada lagi isu-isu dalaman mahu pun luaran yang boleh dipergunakan Umno-BN untuk menyerang atau memecahbelahkan PAS, khususnya dalam isu yang berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

Kepimpinan dan anggota Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberi akujanji untuk turun habis-habisan membantu kemenangan calon PAS.

Kesepaduan saf kepimpinan PAS sudah mulai terjalin. Tiada lagi kedengaran suara-suara teguran terhadap kepimpinan, lantaran kebijaksanaan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden merungkaikan isu Kerajaan Perpaduan.

Di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat juga, sudah tiada lagi pandangan negatif terhadap PAS dan mula memahami sedikit sebanyak fungsi dan peranan PAS sebagai parti tonggak orang-orang Melayu yang bertunjangkan Islam.

Dalam konteks Manek Urai, sebuah kawasan majoriti Melayu-Islam. Sudah tentu isu-isu berkaitan agama, bangsa, pembangunan dan keadilan sosial bakal mendominasi kempen.

PAS dalam isu-isu berkaitan agama, jauh lebih terkehadapan daripada Umno.

PAS juga dalam isu-isu berkaitan kepentingan bangsa Melayu, juga lebih diyakini dan semakin mendapat kepercayaan rakyat, khususnya dalam memperjuangkan isu bahasa, pendidikan dan pembahagian ekonomi orang-orang Melayu.

PAS beruntung kerana keperibadian dan kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, begitu disanjungi dan dihormati rakyat dari tahun 1990, kekal sehingga kini.

Namun, petugas-petugas PAS tidak seharusnya terlalu yakin dengan kelebihan yang ada. Mereka harus bekerja lebih keras untuk mempertahankan kemenangan PAS di Dun Manek Urai.

Mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar daripada merebut kerusi yang dikuasai parti lawan.

PAS tidak seharusnya memandang ringan keupayaan Umno-BN. Sebagai sebuah parti yang mendominasi Kerajaan Pusat sekian lama, sudah tentu Umno-BN begitu mahir dan licik mengeksploitasi peluang.

Sejak sekian lama, sama ada Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil, Umno-BN sentiasa mengambl peluang untuk mengeksploitasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyebarkan propaganda menerusi media arus perdana untuk menyerang PAS dan Pakatan Rakyat dan mempergunakan jentera kerajaan termasuk polis untuk kempen BN.

Semua institusi ini dipergunakan untuk mencemar dan memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat yang dilabel sebagai pembangkang.

Setakat ini, alhamdulillah, walaupun kita sering bertembung 'di padang yang tidak sama rata', namun Pakatan Rakyat berjaya memenangi hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil.

PAS dan Pakatan Rakyat tidak harus berdiam diri, harus dituntut supaya Pilihan Raya Kecil ini dianjurkan secara adil, telus dan saksama.

PAS juga harus membuktikan bahawa ianya merupakan sebuah parti yang benar-benar bersedia untuk menggantikan Umno-BN.

Semua ahli, penyokong PAS serta Pakatan Rakyat harus mengambil peluang untuk menyanggah doktrin Umno-BN di Manek Urai, bekerja keras untuk memenangkan calon PAS, sekaligus memperkukuhkan pengaruh PAS di Kelantan Darul Naim._

Kemelut politik antara penghalang kemasukan FDI, kata Mukhriz

BERNAMA


KANGAR: Kerajaan berazam untuk memulihkan keyakinan pelaburan langsung asing (FDI) yang masih di tahap yang rendah namun kemelut politik dalaman yang berterusan menjadi antara penghalangnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, kemelut politik yang berpanjangan dan sikap pemimpin pembangkang yang sering menimbulkan isu yang menakutkan para pelabur asing menjadi antara faktor kesukaran memulihkan kemerosotan FDI.

Bercakap kepada para pemberita selepas menghadiri majlis penutup konvensyen program usahawan muda (PUM) peringkat kebangsaan ke-13 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh dekat sini malam tadi, beliau berkata kestabilan politik akan membantu mempercepatkan proses memantapkan FDI.

"Kita harap kemelut politik akan berakhir secepat mungkin supaya negara ini dapat kembali ke tahap daya saing yang lebih tinggi daripada sekarang," katanya.

Menurutnya, usaha lebih keras perlu dilakukan bagi menyelesaikan segera masalah dalaman negara ini bagi memastikan keyakinan pelabur asing kepada negara ini kembali pulih.

Mukriz juga menyelar parti pembangkang yang hanya bijak membangkitkan isu tetapi mereka tidak mencadangkan langkah penyelesaian isu bagi memulihkan ekonomi negara.

Meski pun iklim pelaburan negara ini secara zahirnya dilihat dalam keadaan tidak menentu, namun menurutnya, kebanyakan pelabur Eropah yang ditemuinya menganggap kemelut politik di Malaysia bukan sesuatu yang mencemaskan.

"Mereka sendiri datang dari negara yang pergolakan politik berlaku setiap hari. Apa yang berlaku di Malaysia tak seteruk berlaku di negara mereka," katanya.

Beliau berkata, walau pun masih wujud keyakinan di kalangan para pelabur asing, namun apa yang lebih penting ialah usaha berterusan untuk membentuk iklim pelaburan yang lebih memikat mereka.

Ini kerana para pelabur kini mula menunjukkan minat kepada negara lain, termasuk Vietnam dan India sedangkan sebelum ini Malaysia adalah antara negara pilihan utama untuk melabur.

Beliau berharap semua pihak memberi fokus kepada isuisu utama yang boleh membantu kekuatan ekonomi negara termasuk melalui proses meredakan kemelut politik.

"Sepatutnya, isu remeh temeh tidak dibincangkan secara serius di negara ini. Sebaliknya, yang lebih penting ialah berusaha memulihkan kestabilan politik dan ekonomi," katanya.

Katanya tempias dari kegawatan politik dan ekonomi dunia telah memberi kesan kejatuhan kemasukan FDI yang amat dirasakan oleh negara ini.

Seramai 600 pelajar menyertai konvensyen PUM selama empat hari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh.

Majlis penutup konvensyen itu malam tadi disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Kelantan guna saluran politik, diplomasi dapatkan royalti minyak

BERNAMA


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menggunakan saluran politik dan diplomasi untuk mendapatkan bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion daripada kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri juga mendapatkan pandangan daripada beberapa firma guaman mengenai aspek teknikal namun langkah itu masih di peringkat strategi.

Beliau berkata pihaknya yakin isu tuntutan royalti minyak dapat diselesaikan melalui saluran politik dan diplomasi. "Saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) akan pertimbangkan surat yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya menjawab soalan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor (PAS) Datuk Noor Zahidi Omar pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Husam berkata beliau yakin kerajaan pusat akan mempertimbangkan pemberian royalti itu kerana Terengganu, yang pelantar minyaknya terletak 220 kilometer di perairan negeri itu menerima bayaran royalti minyak.

Katanya pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer dari perairan Kelantan maka jarak lebih dekat itu mewajarkan kerajaan pusat membuat bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau berkata nama pelantar minyak berkenaan juga menggunakan nama bahasa Melayu iaitu antaranya pelantar bunga raya, pelantar cakerawala dan pelantar bintang.

Katanya kesemua nama pelantar di dalam bahasa Melayu membuktikan ia milik syarikat Malaysia sekaligus Kelantan juga berhak membuat tuntutan royalti minyak.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya meminta antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Beliau berharap tiada diskriminasi dilakukan terhadap Kelantan dalam bayaran royalti itu seperti yang pernah berlaku kepada Terengganu semasa PAS memerintah pada 1999 hingga 2004 iaitu peruntukan itu ditukarkan kepada wang ehsan.

PKR ulangi pendirian mansuhkan PPSMI

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita sekali lagi ulangi desakan ini. Kita tuntut Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, jangan lengah-lengahkan lagi dan laksanakan segera dasar pendidikan kebangsaan dengan mengembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mendaulatkannya sebagai bahasa rasmi dalam sistem pendidikan kita.

"Kita minta mereka (kerajaan BN) kembali mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dalam Bahasa Melayu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata parti itu turut menggesa kerajaan BN, mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing.

Menurutnya, perkara tersebut telah menjadi satu kontroversi sejak memberi kesan negatif apabila berlakunya kemerosotan serius dalam penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar yang di luar bandar.

"Ini kami anggap pengkhianatan terhadap dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini," katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet.

Menurut Muhyiddin, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Anwar yang Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, PKR bersetuju dengan cadangan kerajaan BN untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah terutamanya di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi.

"Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan penguasaan guru-guru Bahasa Inggeris terutamanya di kawasan pendalaman.

"Tapi kita ingin beri amaran kepada BN jangan melakukan kesilapan besar untuk mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) secara terburu-buru kerana ini akan membebankan pelajar di sekolah luar bandar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata berharap kerajaan telus dalam melaksanakan dasar memberikan biasiswa nasional yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit.

"Mereka (kerajaan BN) harus ada program yang mengambil kira hak semua rakyat mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing. Di samping itu, kita harus membantu rakyat miskin yang terpinggir, golongan seperti ini harus dibantu," katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu pemberian biasiswa berasaskan kepada merit mulai tahun depan.

Semalam, Najib berkata biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar-pelajar terbaik yang layak dan tanpa mengira kaum.

Anwar sokong syor Nik Aziz mahu debat dengan PM

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kemelut politik kedua-dua parti.

"Pada pendapat saya adalah lebih baik beliau berdebat secara terbuka kerana ini dapat mengurangkan media Umno-Barisan Nasional (BN) salah tafsir dan membuat fitnah terhadap kenyataan-kenyataan beliau (Nik Aziz)," katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang ingin mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno dan PAS.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jalan terbaik adalah mengadakan dialog secara terbuka supaya tidak ada pihak yang boleh memutarbelitkan fakta dalam perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, mengenai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini, Anwar berkata, PKR akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam membantu parti itu memenangi pilihan raya kecil tersebut.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada PAS. Insya-Allah kita yakin PAS akan dapat pertahankan kerusi kawasan tersebut.

"Kita akan beri sokongan dalam apa jua bentuk kerjasama kepada calon PAS di Manek Urai," katanya. Kelmarin, pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah dinamakan sebagai calon parti itu.

Hari ini, Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dipilih sebagai calon BN.

Jadi ‘wanita’ dalam 24 jam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Golongan lelaki berperwatakan lembut sanggup menggunakan sejenis krim hormon ajaib yang didakwa mampu menukar bentuk tubuh mereka kepada wanita dalam tempoh hanya 24 jam.

Krim hormon mencecah RM800 yang dikilangkan secara haram di pinggir ibu kota itu didakwa mampu menumbuhkan payudara selain menyebabkan individu yang memakainya berubah menjadi montok mengalahkan wanita sejati.

Difahamkan, krim hormon haram itu dikesan mula dijual beberapa salun kecantikan yang menyedari krim berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada golongan itu yang `terdesak' untuk mengubah jantina tanpa membuang alat kelamin.

Kegiatan salun menjual hormon wanita haram itu dikesan selepas Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan mengejut kira-kira jam 11 pagi, beberapa hari lalu di premis yang terletak di Chow Kit, di sini.

Sumber berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat pemilik salun itu menjual hormon yang didapati tidak berdaftar dengan KKM.

“Hasil pemeriksaan, pegawai farmasi menemui beberapa tiub berbentuk alat suntikan yang mempunyai krim berwarna putih di dalamnya. Bagaimanapun, selepas disiasat krim itu hormon progesterone dan testosterone,” katanya.

Menurutnya, salun berkenaan milik seorang wanita dipercayai menjalankan kegiatan menjual dan menyapu krim berkenaan pada tubuh dan wajah pelanggan dengan mengenakan bayaran tinggi.

“Hasil pemeriksaan di salun terbabit, pegawai farmasi merampas 15 picagari mengandungi krim berkenaan yang disimpan dalam kotak.

“Semua krim itu dianggarkan bernilai RM4,000 dan dipercayai dibekalkan sebuah syarikat tempatan di Jalan Klang Lama yang mengilangnya secara haram,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa berusaha menjejaki kilang berkenaan sebelum melakukan serbuan mengejut dan mendapati premis terbabit menghasilkan produk tidak dilesenkan.

“Hasil serbuan itu, pegawai Farmasi merampas lebih 100 picagari dan pelbagai bahan mentah diseludup yang dikenal pasti digunakan untuk menghasilkan krim hormon berkenaan. Semua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.

Krim hormon haram itu dikesan berbahaya berikutan ia boleh menyebabkan emosi tidak stabil serta meningkatkan sel darah merah dalam tubuh. Ia juga boleh menyebabkan kemandulan jika diambil diambil secara tetap.

Krim hormon tidak berdaftar dengan KKM itu turut berupaya merangsang penyakit berbahaya pada payudara, alat sulit hingga membawa kepada risiko kanser.

Kami tak takut

Oleh Abu Bakar Al Sidek


TELUK INTAN: “Sila ambil gambar kami bang! Siarlah dalam surat khabar...kami tak takut. Lagipun, kami nak berhenti sekolah,” itu antara kata-kata beberapa pelajar sekolah yang ponteng di lokasi tersembunyi sekitar pekan Sungai Manik, dekat sini.

Sekumpulan lima hingga enam pelajar terbabit turut melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan sebelum menunggang basikal meninggalkan lokasi persembunyian di sebuah ladang kelapa sawit selepas menukar pakaian sekolah.

Fenomena ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar ini dan Taiping semakin teruk dan membimbangkan ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Mohd Rashid, 64, berkata gejala ponteng membabitkan beberapa sekolah menengah di bandar ini semakin serius sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, hairannya tidak ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu oleh pihak berkaitan.

Katanya, pihaknya juga mengesan sekumpulan pelajar terbabit dipercayai berasal dari Kampung Bahagia serta Sungai Manik menjadikan kafe siber di beberapa pasar raya di bandar Taiping sebagai lokasi ‘berseronok’.

“Sebelum ke lokasi itu, mereka menjadikan beberapa kawasan kunci air seperti Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia untuk menyalin pakaian.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan ibu bapa pelajar terbabit, tetapi tidak ada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat kepada ibu bapa, mereka membela anak masing-masing dan tidak mempercayai perbuatan itu dilakukan anak mereka.

“Ada ibu bapa mengatakan anak mereka ke sekolah dan pulang selepas waktu sekolah, tetapi tidak sedar mereka ditipu,” katanya.

Tajul Hasnan berkata, masalah itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat JKKP dan sudah membuat aduan ke pejabat pendidikan daerah.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil, malah kegiatan ponteng itu terus berlaku.

Bekas penagih bakal ganti buruh asing: Razali

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR- Kebanjiran buruh asing di dalam negara mengakibatkan ruang untuk bekas penagih memulakan hidup baru sedikit sebanyak terganggu kerana kesukaran memperolehi pekerjaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, pandangan masyarakat terhadap bekas penagih sangat mendukacitakan sehingga mereka gagal memperoleh sebarang pekerjaan setelah keluar dari pusat serenti.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan golongan ini terdedah semula dengan gejala yang tidak sihat ini.

“Bagi merealisasikan perkara tersebut, Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat bersama- sama dengan kementerian yang terlibat bagi membawa perkara ini untuk mencapai jalan penyelesaian,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Terapi Kekeluargaan Pusat Serenti Sungai Besi di sini, semalam.

Sambutan itu diadakan bagi meraikan kejayaan bekas penagih bebas daripada dadah dan seramai 60 bekas pelatih dipilih untuk menerima Anugerah Kepulihan Cemerlang. Keluarga pelatih Pusat Serenti tersebut turut di undang untuk memeriahkan majlis tersebut.

Razali berkata, Kementerian Sumber Manusia mewujudkan Skim Pekerja Asing dan sewajarnya mewujudkan skim pekerja bekas penagih.

“Ia memerlukan perbincangan lanjut dengan pelbagai kementerian bagi membantu golongan ini terus dapat berkhidmat kepada negara walaupun di sektor perladangan, pembinaan dan industri pembuatan,” katanya.

Ketika mengulas keengganan majikan memberikan kerjasama terhadap bekas penagih, Razali menyifatkan majikan tersebut mempunyai masalah.

“Apa bezanya mereka dengan kita? Mereka juga rakyat negara ini yang tidak boleh disisihkan dan majikan perlu membuang stereotaip terhadap mereka,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, selain dapat menyekat wang keluar ke negara buruh asing, ia memudahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memantau perkembangan dan pergerakan mereka dengan sistematik.

“Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, dengan mudah AADK dapat memantau mereka berbanding sekarang, AADK perlu menjejaki mereka sekiranya tidak lapor diri setiap bulan,” katanya

Skandal Pertanian Bakal Meletup !

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Pelbagai projek pertanian yang dirancang oleh kerajaan sehingga kini tidak membuahkan hasil sebagaimana yang disasarkan. Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang akan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dalam Negara masih jauh dari sasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar pada 22 Jun lalu, mengaku terdapat banyak penyelewengan dalam projek-projek pertanian kerajaan khususnya penyelewengan dalam Projek 'Contract Farming' dan 'mentor mentee'.

Beliau berkata dalam usaha kerajaan menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang pertanian, ia tidak seharusnya dicemari dengan penyelewengan oleh pihak tertentu yang menyalahguna kemudahan pemberian kerajaan.

Beliau memberi contoh sesetengah pihak yang mengambil kesempatan daripada program 'contract farming' untuk mendapat pelbagai kemudahan kerajaan dan kemudiannya mengekploitasi penglibatan orang ramai dalam projek mereka.

"Akhirnya orang ramai dibekalkan dengan benih (tanaman) sahaja, tetapi hasilnya terpaksa dijual sendiri," katanya dalam ucapan beliau pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Wisma Tani.

Namun begitu, samada Noh sebagai Menteri atau Timbalannya, Datuk Johari Baharum yang membaca teks beliau, tidak mencadangkan supaya siasatan dibuat dan tindakan diambil terhadap penyelewengan yang berlaku.

Noh hanya mencadangkan supaya projek 'Contract Farming' dan 'mentor mentee' di kaji semula.

Manakala di Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat hanya mampu mengeluarkan kenyataan menyokong apa yang diperkatakan oleh Noh.

Menurut Rozi, kerajaan memandang serius isu itu bagi menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang pertanian.

“Ia tidak wajar berlaku. Saya kesal jika benar ada penyelewengan di sebalik kemudahan diberikan kerajaan. Langkah kementerian mengkaji semula kedua projek itu amat dialu-alukan dalam usaha mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Rozi hanya mampu menjadi Pak Dogol yang menjadi ‘yes man’ atas apa sahaja yang diperkatakan oleh Pak Menteri itu.

Sedangkan penyelewengan yang berlaku dalam sektor pertanian sudah bertahun-tahun dan membazirkan jutaan ringgit wang rakyat. Kalau tidak percaya, tanyalah orang kampung dimerata ceruk rantau !

Rakyat umumnya sudah maklum, siapa yang membolot keuntungan melalui pengagihan subsidi inpt petanian; baja, benih dan racun setiap tahun!

Ada senarai nama yang terus menerima bantuan input tersebut, walaupun diketahui tidak menjalankan usaha pertanian langsung.

Berguni-guni baja padi (cap dacing) dilambakkan dibawah-bawah rumah yang bukan pesawah padi.

Berekor-ekor bantuan anak lembu, ayam, itik dan kambing diberikan kepada orang yang sama setiap tahun.

Bukankah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mengatur segalanya ??

Apa yang berlaku kepada subsidi baja, benih, racun, anak itik, ayam, kambing, lembu, ikan dan jentera yang diberikan kepada bukan petani, penternak dan peladang?

Soalan mudah ini tidak perlu menggunakan khidmat perunding professional untuk mendapatkan jawapannya.

Pergi sahaja ke kampong-kampung, buat tinjauan dimana-mana rumah yang ada timbunan baja dibawah rumah, tawarkan beberapa ringgit untuk membeli baja itu! Pasti baja subsidi yang di bekalkan oleh agensi-agensi kerajaan dengan wang rakyat itu dapat dibeli paling tinggi, 25% lebih murah dari harga pasaran!

Terlalu banyak kes yang berlaku dimana, bukan sahaja lembu pawah dijual orang, malah jentera pertanian, pembajak dan traktor boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.

Namun nama-nama hebat terus diberikan kepada projek-projek pertanian dan berita-berita ‘gelembung’ terus dipaparkan di dada-dada akhbar.

Antaranya SUTRATANI, Projek Fertigasi Mega, Jagung Hybrid, Serai Wangi Komersial, Strawberry tanah rendah, Zon Industri Akuakultur (ZIA), Mikro Kaprima

Pasti kita tidak lupa tentang berita tentang Projek Fertigasi Mega dimana Melon ‘Golden Langkawi’ dari Terengganu yang di ekspot ke Eropah, hebat bukan?

Kediaman kakitangan JKR serba kekurangan

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang membuat lawatan kerja ke kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini semalam, terkejut apabila melihat kediaman kakitangan jabatan itu serba kekurangan, berkeadaan usang dan saiz lebih kecil daripada rumah kos rendah.

Shaziman juga tidak berpuas hati dengan persekitaran kuarters berkenaan yang membabitkan laluan antara tiga blok itu kerana kotor dengan longkang tersumbat, semak dan boleh menjadi sarang ular serta tikus.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan JKR Wilayah Persekutuan mengambil langkah segera membersihkan sekitar kuarters terbabit supaya selamat diami sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya kagum kemajuan Kementerian Kerja Raya membina bangunan tinggi dan jalan yang hebat. Jadi, kita nak tahu juga bagaimana tempat tinggal kakitangan bawahan yang juga keluarga saya (Kementerian Kerjaraya).

“Jadi, untuk mengenali mereka lebih dekat, saya ambil sedikit masa meninjau kuarters kakitangan JKR di sini hari ini (semalam) dan saya dimaklumkan kuarters ini dibina sejak tahun 50-an dengan keluasan hanya 418 kaki persegi, lebih kecil daripada rumah kos rendah dan pada peringkat awal dibina dengan satu bilik.

“Yang jelas kuarters ini sudah tidak sesuai lagi didiami,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kuarters berkenaan selama kira-kira sejam, semalam. Kuarters berkenaan didiami kira-kira 50 keluarga yang menempatkan kakitangan Kumpulan Sokongan Dua, terdiri daripada pekerja bahagian pertukangan, tukang cat dan pemandu.

Difahamkan sebelum ini kawasan kuarters itu yang keseluruhannya seluas 0.8 hektar termasuk dalam perancangan kementerian berkenaan untuk pembangunan semula dengan pembinaan rumah pangsa sembilan tingkat untuk kakitangan Kumpulan Sokongan Dua berkenaan.

Shaziman berkata, perancangan baru akan dirangka untuk menjaga kebajikan kakitangan JKR di situ dan perkara itu akan dibincang di peringkat kementerian termasuk melihat peruntukan sedia ada atau akan dimasukkan ke dalam projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Yang penting kita berusaha memberi keselesaan kepada kakitangan bawahan. Jadi, saya akan cari jalan penyelesaian dan memberi pertimbangkan sewajarnya untuk menjaga kebajikan kakitangan di sini,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan RM18 juta yang dikatakan disediakan untuk meningkatkan kemudahan tempat tinggal di kuarters berkenaan, katanya memang ada perancangan membangunkan kawasan itu untuk dijadikan kediaman lebih selesa bagi kakitangan JKR terbabit, tetapi tidak mendapat persetujuan kementerian.

Pelancong tiga negara batal lawat Malaysia

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Industri pelancongan di negara ini mula menerima kesan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) apabila ramai pelancong dari China, Jepun dan Korea membatalkan tempahan pakej melawat Malaysia sepanjang Julai ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, laporan dari pejabat Tourism Malaysia di China memaklumkan 50 peratus tempahan melawat Malaysia telah dibatalkan.

Menurut beliau, di Jepun pula 2,000 pakej pelancongan melawat negara ini juga turut dibatalkan.

"Keadaan yang serupa juga berlaku di Korea, Taiwan dan Hong Kong apabila agensi-agensi pelancongan memaklumkan beberapa pakej pelancongan ke Malaysia mengalami nasib yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat pelancongan Melaka oleh Majlis Tindakan Pelancongan negeri di sini hari ini.

Menurut Yen Yen, kementerian menjangkakan kedatangan pelancong dari luar melawat negara ini akan terus berkurangan bermula bulan depan berdasarkan laporan yang diterima setakat ini.

Keadaan itu, kata beliau, jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan industri pelancongan di negara ini akan terjejas teruk.

Tambahnya, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Krisis Pelancongan akan diadakan di kementerian itu esok bagi mencari jalan terbaik menyelamatkan industri pelancongan di negara ini.

"Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua agensi berkaitan dengan pelancongan termasuk pemilik-pemilik hotel dan syarikat penerbangan," katanya.

Sementara itu, kata Yen Yen, industri pelancongan domestik menunjukkan peningkatan mendadak kerana rakyat negara ini tidak lagi melancong ke luar negara akibat penularan selesema babi.

UMNO, Pas perlu bincang - Pak Lah

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan UMNO dan Pas supaya mencari jalan menyelesaikan isu kepentingan orang Melayu melalui perbincangan bukannya berdebat secara terbuka.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu memilih pendekatan secara muafakat atas semangat persaudaraan sesama Islam bagi menyelesaikan pelbagai isu yang menimbulkan kebimbangan di kalangan orang Melayu kebelakangan ini.

"Saya rasa tidak perlu pendekatan itu (berdebat) kerana lebih baik kedua-duanya (UMNO dan Pas) duduk berbincang masalah yang ada dan mewujudkan persefahaman.

"Kita perlu selesaikan perkara-perkara yang menimbulkan percanggahan dan pendirian termasuk yang membabitkan soal agama," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Abdullah berkata, UMNO dan Pas memainkan peranan cukup besar untuk mewujudkan persefahaman di kalangan orang Melayu lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama.

"Sudah ada kecenderungan orang Melayu boleh bertelagah soal agama, (justeru) UMNO dan Pas perlu mewujudkan persefahaman agar orang Melayu tidak berbalah mengenai isu sebegini," jelasnya.

Katanya, kesepakatan UMNO dan Pas dalam membincangkan isu-isu secara bersama mampu menyediakan asas yang kukuh untuk mewujudkan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan orang Melayu.

Abdullah menambah, walaupun perpaduan menjadi keutamaan dalam asas perbincangan antara UMNO dan Pas, ia tidak bermakna kedua-dua parti itu tidak boleh berbeza pandangan dalam isu-isu tertentu.

"Perpaduan tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan, tetapi bila ia menyentuh soal agama dan bangsa maka kita perlu bersama-sama selesaikan," ujarnya.

Mengenai cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, beliau berkata, langkah permulaan perlu dibuat bagi membincangkan isu-isu penting membabitkan orang Melayu.

Ditanya mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO sebagai pergerakan komunis dan ajaran sesat, beliau berkata:

"Dia (Nik Abdul Aziz) terlajak cakap kot, tidak baik buat tuduhan seumpama itu."

Keputusan bekukan penghantaran amah ke Malaysia kekal – Duta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Indonesia kekal dengan keputusannya untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sehingga satu kata putus dibuat menerusi perbincangan khas kedua-dua pihak minggu depan.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, pihaknya belum yakin bahawa Malaysia boleh menjaga kebajikan pembantu rumahnya sehingga satu jaminan keselamatan termeterai dalam perbincangan khas itu.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi pekerjaan di republik tersebut telah diarah untuk menghentikan sebarang aktiviti merekrut tenaga buruh baru khususnya pembantu rumah bagi dibekalkan ke negara ini.

“Bagaimanapun bagi bakal pembantu rumah yang sudah melalui proses pemilihan, kursus dan latihan yang dikendalikan agensi pekerjaan di Indonesia, mereka masih dibenarkan untuk di bawa masuk ke negara ini.

“Ini kerana mereka telah pun membayar wang kursus dan latihan pembantu rumah malah telah menghabiskan banyak masa untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di sini hari ini.