Oleh Sarah Zulkifli
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan empat anggota polis antara 70 individu ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Kepong, awal pagi semalam kerana didapati positif dadah.
Difahamkan, pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota lain-lain pangkat itu yang berusia antara 20-an hingga 40-an serta bertugas di beberapa balai di daerah ini ditahan selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata serbuan kira-kira jam 3.10 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Menurutnya, semua 306 pengunjung pusat hiburan terbabit termasuk 15 pegawai dan beberapa anggota lain-lain pangkat diperiksa.
“Daripada jumlah itu, seramai 43 lelaki, termasuk seorang pegawai dan empat anggota serta 27 wanita berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif mengandungi dadah manakala selebihnya dibebaskan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di sini, semalam.
Menurutnya, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Zakaria berkata, hasil siasatan turut mendapati pusat hiburan berkenaan baru dibuka kira-kira sebulan lalu.
“Sebelum ini, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di pusat hiburan sama kerana memiliki senjata api, iaitu pistol jenis Taurus 9mm bersama enam butir peluru hidup.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan