BULETIN ONLINE
Walaupun sesetengah pemimpin UMNO Terengganu cuba menutup pertelingkahan yang berlaku, hakikatnya perbalahan dalam parti itu kini sudah menjadi ‘barah’ dan merebak hingga ke peringkat cawangan.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad mendakwa UMNO Terengganu semakin pulih dari perpecahan dengan perlantikan kepimpinan baru Badan Perhubungan UMNO negeri.
Yahaya berkata jangan bermimpi, PAS akan dapat menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 13 akan datang.
Namun hari ini, dilaporkan akhbar Utusan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali telah mempersoalkan keputusan Perhubungan UMNO Terengganu.
Ramlan mendakwa tindakan kepimpinan negeri mengarahkan UMNO Cawangan Tasik Tok Lebai supaya mengadakan semula mesyuarat cawangan telah menimbulkan tanda tanya selain rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.
Katanya, UMNO Terengganu telah mengarahkan cawangan tersebut berbuat demikian kerana mesyuarat pertama yang diadakan pada 18 Mei lalu didakwa tidak sah tanpa kehadiran wakil UMNO bahagian Setiu.
"Mengapa pula mesyuarat pertama didakwa tidak sah tanpa kehadiran wakil UMNO bahagian sedangkan peraturan telah jelas sebagaimana dalam Perlembagaan UMNO," katanya.
Beliau turut mendakwa pihak tertentu dalam Badan Perhubungan UMNO negeri telah cuba mengambil kesempatan, mengelirukan ahli-ahli dan melemahkan semangat ahli di cawangan .
Dalam perkembangan yang sama, sebuah laman blog mendakwa kemelut UMNO Setiu belum berakhir lagi dan episodnya disambung dalam mesyuarat cawangan UMNO dibahagian.
Laman tersebut menyebut, sebagai syarat, mesyuarat cawangan UMNO hendaklah dilaksanakan dan diwakili oleh AJK bahagian yang ditentukan oleh pengurusan Bahagian.
Tetapi, menurutnya, apa yang mengecewakan berlaku di DUN JABI.
Ramlan yang kalah dalam pemilihan Ketua bahagian berdegil, tetap ingin melaksanakan mesyuarat cawangan di DUN Jabi berdasarkan jadual mereka sendiri, tidak kira samada wakil bahagian akan hadir atau tidak.
”Keadaan ini menyebabkan ramai ahli ahli kebingungan dan tertanya tanya samada mesyuarat cawangan yang dijalankan tanpa wakil dari bahagian adalah sah atau tidak??.”tulis laman blog itu.
Menurutnya, kecelaruan yang berlaku di DUN Jabi sudah tidak dapat dibendung lagi ini kerana Ketua Bahagian, Dato’ Mohd Jidin Shafie dan Ramlan sudah tidak boleh duduk semeja.
”Yang lebih menyedihkan ADUN JABI (Ramlan Ali) berkiblatkan bekas MB (Dato Seri Idris Jusoh) dan Ketua Bahagian (Mohd Jidin) berkiblatkan MB sekarang (Dato’ Ahmad Said),”tegas laman itu
Oleh itu katanya, walaupun Ahmad Said turun padang ke JABI, Ramlan menghilangkan diri dan hanya hadir pada majlis yang dihadiri oleh Idris.
Pada pandangan penulis blog itu, apa yang dilakukan oleh Ramlan adalah lebih merupakan bersifat pentingkan diri sendiri.
”saya difahamkan oleh pengikut beliau (Ramlan) bahawa jikalau beliau tidak dicalonkan (semula) dalam PRU 13 akan datang, maka beliau akan pastikan DUN Jabi jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.
Sifat "menang jadi arang dan kalah jadi abu" adalah strategi yang beliau jalankan sekarang ini, tambah penulis blog itu yang dipercayai adalah ahli UMNO Bahagian Setiu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan