BULETIN ONLINE
Dasar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu adalah dasar yang paling tidak munasabah kerana membangunkan Pulau Warisan dengan menghapuskan warisan.
Sederet bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun yang terletak disebelah kiri, hujung jalan Kampung Cina menuju ke Pasar Besar Kedai Payang akan dimusnahkan sama sekali.
Hanya ungkapan ‘Nasi Sudah Menjadi Bubur’ dapat diluahkan oleh penduduk tersebut yang ditemui Buletinonline baru-baru ini.
Rumah-rumah kedai lama bakal dirobohkan untuk pembangunan ‘double frontage’ Pulau Warisan adalah sebahagian dari bangunan telah diwartakan sebagai warisan sejarah oleh sebuah badan dunia dibawah organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Namun apakan daya penduduk disitu, atas nama pembangunan yang menjadi ‘kegilaan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu, pengiktirafan yang penuh bermakna tersebut akan Cuma tinggal kenangan.
Pengambilan balik tanah kerajaan bagi kerja-kerja pembesaran jalan menuju Pulau Warisan (di belakang kampong Cina Kuala Terengganu) turut mencetuskan rasa tidak puas hati 102 buah keluarga yang terlibat.
Apa tidaknya, mereka telah diarahkan berpindah tanpa dibayar walaupun satu sen pampasan atas kerugian yang mereka alami.
Bekas Ahli Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Encik Tan Poh Kok merayu pihak kerajaan mempertimbangkan bayaran pampasan kepada penduduk di Kampung Cina
Beliau menegaskan penduduk terbabit bukan anti pembangunan tetapi mahukan keadilan serta menuntut hak mereka.
“Kami semua sudah tinggal disini (kampun Cina) lama dan ada yang dua generasi masih menetap di bangunan lama (lebih 100 tahun) ini.
“Kami tidak menentang pembangunan dan kemajuan tetapi berikan hak dan keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” jelasnya.
Menurutnya, fasa pertama yang sedang dilaksanakan sekarang melibatkan 10 buah rumah dan sebuah balai raya penduduk di Kampung Cina.
Seorang pemiliknya, Encik Chua Bun Seng, 68, mendakwa belum menerima apa-apa bayaran pampasan atau saguhati yang ‘dijanjikan’ pihak bertanggungjawab.
Encik Chua berkata, kerajaan negeri mengambil sikap ‘lepas tangan’ seolah-olah hanya menyerahkan kepada pihak kontraktor menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya dan ramai lagi penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah ini tidak menerima apa-apa bayaran lagi yang dijanjikan itu.
“Kerajaan sudah ‘lepas tangan’ dan dalam pertemuan antara penduduk dengan wakil rakyat (Toh Chin Yaw) beliau tidak memberi apa-apa jaminan positif (Gambar kanan - Chua Bun Seng…mana bayaran kami?).
“Sekarang rumah sudah roboh, kami sekeluarga sudah pindah tetapi bayaran mana?,” soalnya ketika ditemui.
Penduduk juga mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Encik Toh Chin Yaw tidak mengambil apa-apa usaha dan menyerahkan 100 peratus urusan bayaran ‘saguhati’ itu kepada pihak kontraktor.
Seorang pemilik kedai, Haji Yasin Syeikh Abdul Kadir, 55, berkata, penilaian yang dibuat terlalu kecil dan memohon ehsan kerajaan negeri supaya ia dipertimbangkan semula.
Katanya, jumlah saguhati RM5,000 setiap satu keluarga tidak mencukupi kerana kos perpindahan yang ditanggung melebihi apa yang akan penduduk perolehi.
“Mana cukup sekarang dengan bayaran RM5,000 kerana kos upah pecat rumah, pengangkutan dan pasang semula melebih dari bayaran itu hari ini.
“Pembelaan perlu dilakukan kerana majoriti penduduk terlibat orang berpendapatan rendah dan miskin,” jelasnya.
Menurutnya, dalam sesebuah rumah pula terdapat dua hingga tiga buah keluarga yang terhimpit serta perlu tempat tinggal yang lebih selesa.
Seorang juruelektrik, Encik Chong Wan Keh, 56, berkata walau pun hati ‘berat’ untuk pindah tetapi terpaksa mengalah.
Ini kerana, katanya jika tidak pindah nanti pihak kontraktor datang roboh dan penduduk akan didakwa di mahkamah.
“Kami semua tidak dibayar lagi yang ‘dijanjikan’ (saguhati) walau pun rumah sudah ‘hilang’ (pindah).
“Kami ini orang susah dengan bayaran RM5,000 yang dijanjikan itu apa yang dapat dibuat dan harap tambahlah sikit lagi,” ujarnya dengan nada terharu.
Puan Foo Siew Keah, 54, merayu kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) mengutamakan kebajikan dan hak rakyat.
Katanya, sewaktu kempen pilihan raya pelbagai janji-janji manis diberikan kepada rakyat tetapi tidak dikotakan
“Masa kempen pilihan raya beritahu rakyat kerajaan Barisan Nasional ‘membela’ rakyat tetapi akhirnya, rakyat tidak lena tidur kerana pelbagai masalah.
“Saya rayu juga kerajaan negeri tolong fikirkan sedikit pampasan dan tempat tinggal ganti kerana penduduk di kampung Cina tidak ada tempat lain,” ujarnya.
Manakala, Puan Lim Chua Tee, 55, mahukan kerajaan negeri tidak mengutamakan kepentingan pembangunan semata-mata dengan ‘mengorbankan’ rakyat di masa akan datang.
Katanya, tempat tinggal ganti wajar disediakan oleh kerajaan negeri kerana penduduk terbabit tidak mempunyai tempat lain.
“Slogan Rakyat Didahulukankan, Pencapaian Diutamakan tidak dihayati oleh kerajaan negeri hari ini ,” jelasnya.
Ketika tinjauan dibuat, kerja-kerja pembersihan sisa-sisa tapak bangunan terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor dan terdapat di kalangan penduduk terbabit masih datang melihatnya kerana kenangan Warisan Sejarah yang ‘hilang’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan