HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2009

Umno mahu guna tentera menangi p'raya Manek Urai

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Tindakan Umno yang mahu menggunakan tentera untuk memenangi pilihan raya kecil Manek Urai disifatkan bacul oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menuntut Umno supaya tidak bersikap bacul dengan menyalahgunakan sumber-sumber ketenteraan dalam pilihanraya.

Untuk mengalahkan calon PAS di Manek Urai, Umno akan membawa masuk Angkatan Tentera Darat untuk meraih undi daripada penduduk, kata Mahfuz.

Ketika mendedahkan perkara itu dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengemukakan pertanyaan kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Awang Adek membisu. Malah, kesemua menteri dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional diam ketika Mahfuz mengemukakan pertanyaan mengenai dokumen Kementerian Pertahaanan itu.

Tidak puas hati dengan sikap membisu para pemimpin Umno terhadap apa yang dibangkitkannya itu, beliau kemudiannya mengadakan sidang akhbar mendedahkan perkara itu .

Operasi meraih undi untuk Barisan Nasional menetapkan misi khas kepada anggota tentera melalui perlaksanaan beberapa projek kebajikan di kubu kuat PAS di DUN Manek Urai untuk menyakinkan pengundi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional, kata beliau.

Beliau memberikan bukti dalam bentuk salinan dokumen Kementerian Pertahanan yang memberi arahan khusus tentang perlaksanan projek itu.

"Bersama saya surat dari staf perisikan di Kementah kepada Panglima Angkatan Tentera, yang mengarahkan satu projek awam mesti dibuat di bawah Angkatan Tentera Darat di kawasan-kawasan peti undi kelabu dan hitam di mana Barisan Nasional (diharapkan) mampu memperkukuh tahap sokongan berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12," kata Mahfuz.

Beliau berkata walaupun angkatan tentera melaksanakan projek-projek itu seolah-olah untuk membantu rakyat, dokumen berkenaan jelas menunjukkan tentera turut "diseret ke dalam kempen politik bagi menjayakan kemenangan Barisan Nasional".

"Ini ayat cukup jelas hasil dari Bahagian Risik dan dipersetujui oleh Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan yang telah pun mengeluarkan arahan melaksanakan projek Jiwa Murni," tambah Mahfuz

Mahfuz berkata Projek Jiwa Murni dilancarkan bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional pada pilihanraya kecil Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Menurut beliau, antara kawasan yang disasarkan di bawah projek itu adalah Lata Rek, Laloh, Sungai Perial, Sungai Sok, Temalir, Chuchoh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.

"Ini semua berkaitan dengan kajian kekuatan dan kelemahan Barisan Nasional yang dibantu oleh Bahagian Perisikan Tentera," kata Mahfuz.

Menurut beliau, mengheret angkatan tentera untuk menjayakan kemenangan Barisan Nasional adalah di luar dari bidang tugas tentera.

"Saya bukan menghalang mereka buat projek membantu masyarakat.

"Di sini jelas menyatakan arahan supaya projek itu tidak dibuat dekat dengan penamaan calon nanti akan dilihat mengatakan pihak tentera terlibat secara langsung," kata Mahfuz.

Arahan itu, katanya, jelas merupakan satu taktik untuk mengabui mata rakyat dan Pakatan Rakyat.

"Hakikatnya ialah ini adalah projek pilihanraya," kata Mahfuz._

Tiada ulasan: